ISLAMABAD/KABUL: Pakistan dan Afghanistan bersetuju melaksanakan gencatan senjata sementara pada 15 Oktober selepas serangan udara dan pertempuran darat meningkatkan ketegangan antara dua jiran di Asia Selatan itu, menyebabkan lebih sedozen orang awam terbunuh dan 100 cedera.
Pertempuran di sepanjang sempadan yang dipertikaikan itu telah memusnahkan keamanan yang rapuh selepas berpuluh-puluh terbunuh dalam pertempuran hujung minggu, yang paling dahsyat antara kededua negara sejak Taleban merampas kuasa di Kabul pada 2021.
Pergolakan baru-baru itu tercetus selepas Islamabad menuntut pentadbiran Taleban Afghanistan bertindak terhadap militan yang telah meningkatkan serangan di Pakistan dan beroperasi dari tempat perlindungan di Afghanistan.
Taleban menafikan tuduhan itu, sebaliknya menuduh tentera Pakistan menyebarkan maklumat salah tentang Afghanistan, mencetuskan ketegangan sempadan serta melindungi militan yang dikaitkan dengan ISIS untuk menjejas kestabilan dan kedaulatan negara. Tentera Pakistan menafikan tuduhan tersebut.
Kenyataan Kementerian Luar Pakistan berkata kedua-dua negara akan melaksanakan “gencatan senjata sementara” selama 48 jam bermula 15 Oktober, sambil menambah, gencatan senjata itu adalah atas permintaan Kabul.
Jurucakap pentadbiran Taleban Afghanistan, Encik Zabihullah Mujahid, sebaliknya berkata gencatan senjata itu adalah atas “desakan pihak Pakistan”.
Kabul telah mengarahkan pasukannya supaya mematuhi gencatan senjata dengan syarat pihak lain tidak melakukan pencerobohan, kata beliau.
Terdahulu pada 15 Oktober, Pakistan melancarkan serangan udara di wilayah sempadan Afghanistan Kandahar dan bandar Spin Boldak, kata pegawai di kedua-dua negara.
Pegawai keselamatan Pakistan berkata serangan udara itu telah menyasarkan briged tentera Taleban Afghanistan dan menyebabkan berpuluh-puluh terbunuh, tanpa menyokong dakwaan itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Encik Enayatullah Khowarazmi, berkata kawasan kediaman Spin Boldak dan Kabul telah diserang.
Pusat Pembedahan kecemasan di Kabul berkata ia menerima 40 orang, termasuk lima yang terkorban. Setiap pihak menuduh satu sama lain melancarkan serangan darat.
Taliban Afghanistan berkata lebih sedozen orang awamnya terbunuh dan 100 cedera ketika tentera Pakistan melancarkan serangan di Spin Boldak.
Pakistan menafikan melancarkan serangan itu dan berkata empat orang awamnya cedera dalam serangan oleh “pasukan Taleban” di daerah Chaman, bertentangan dengan Spin Boldak di seberang sempadan.
Pertelingkahan minggu lalu menimbulkan kebimbangan antarabangsa, dengan China menggesa perlindungan untuk rakyat dan pelaburannya, Russia meminta sekatan, dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau boleh membantu menamatkan konflik itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg