SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pakistan galas misi sukar satukan AS-Iran, rundingan damai di Islamabad

Pakistan galas misi sukar satukan AS-Iran, rundingan damai di Islamabad

Delegasi Iran, AS dijadual ke Pakistan untuk rundingan pada 11 Apr
Apr 10, 2026 | 2:55 PM

Pakistan galas misi sukar satukan AS-Iran, rundingan damai di Islamabad

ISLAMABAD: Pakistan kini berdepan cabaran besar untuk menjadi pengantara dalam rundingan damai antara Amerika Syarikat dengan Iran – usaha yang dianggap sukar oleh ramai diplomat, tetapi penting bagi menstabilkan ekonomi sejagat dan meredakan ketegangan serantau.

Ketua Tentera Pakistan, Encik Asim Munir, bersama Perdana Menteri, Encik Shehbaz Sharif, telah mengadakan siri diplomasi selama beberapa minggu bagi menghentikan konflik yang berpotensi menjejas keselamatan di sempadan barat negara itu, khususnya dengan Iran dan Afghanistan.

Ibu negara Islamabad memperketat kawalan keselamatan menjelang ketibaan delegasi Iran dan Amerika.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, yang dijangka mengetuai delegasi Iran bertemu wakil Amerika.

Delegasi Amerika diketuai oleh Naib Presiden, Encik JD Vance, dengan rundingan dijadual berlangsung pada 11 April.

Encik Vance akan ditemani wakil khas, Encik Steve Witkoff, dan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.

Beliau akan menjadi Naib Presiden Amerika pertama melawat Pakistan sejak Encik Joe Biden pada 2011.

Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Saeed Khatibzadeh, mengesahkan pada 9 April, satu delegasi dari Teheran akan berangkat ke Pakistan untuk mengadakan rundingan damai dengan Amerika.

Bercakap dalam program Today di BBC Radio 4, Encik Khatibzadeh berkata Iran masih “memberi tumpuan untuk menjayakan perkara ini” kerana rundingan dengan Amerika adalah “dalam kepentingan nasional kami”. 

Penganalisis melihat usaha Pakistan membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan sebagai langkah kritikal ke arah mencapai perjanjian yang lebih berkekalan.

“Pakistan tidak mahu kekacauan berlaku di Iran akibat peperangan berterusan, kerana ia akan memburukkan lagi keadaan keselamatan di sempadan baratnya,” kata Zamil Kanan, Majlis Dasar Timur Tengah, Dr Kamran Bokhari.

Peranan Pakistan dalam rundingan ini turut dilihat sebagai ujian besar terhadap kewibawaan diplomatiknya di peringkat antarabangsa.

“Pakistan telah melaburkan modal politik dalam usaha pengantaraan ini.

“Jika rundingan gagal, ia berisiko dilihat sebagai menjanjikan lebih daripada yang mampu dicapai,” kata penganalisis, Encik Muhammad Faisal dari Universiti Teknologi Sydney (UTS), Australia.

Kejayaan rundingan dijangka mengukuhkan kedudukan Pakistan di pentas sejagat, manakala kegagalan boleh menjejas reputasinya yang baru pulih.

Pihak berkuasa mengambil langkah keselamatan luar biasa dengan menutup kawasan sekitar hotel mewah yang menjadi lokasi rundingan, selain meningkatkan rondaan, sekatan jalan raya dan pengawasan ruang udara.

Langkah itu mencerminkan kebimbangan terhadap ancaman militan serta risiko gangguan yang boleh menjejas proses diplomatik yang sensitif.

“Dengan risiko yang ada, masa persiapan yang singkat dan profil tinggi rundingan ini, ia merupakan cabaran besar dari sudut keselamatan,” kata Cik Elizabeth Threlkeld, Pengarah Program Asia Selatan di Stimson Center, di Washington.

Usaha pengantaraan Pakistan dilihat berubah daripada sekadar menyampaikan mesej kepada peranan lebih aktif dalam membentuk rundingan.

“Islamabad mempunyai keupayaan mempengaruhi persepsi kedua-dua pihak,” kata Dr Bokhari.

Menurut beliau, Washington memilih Pakistan kerana yakin negara itu bukan sahaja mampu berkomunikasi dengan Iran, bahkan juga mempengaruhi pendiriannya.

“Apabila proses ini berjalan, Pakistan juga memperoleh kepercayaan Amerika, sekali gus membuka ruang untuk mempengaruhi pendekatan Washington,” katanya.

“Presiden Trump optimis satu perjanjian boleh dicapai yang boleh membawa keamanan berpanjangan di Asia Barat,” kata Ketua Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Anna Kelly, kepada agensi berita, AFP, dalam satu kenyataan pada 9 April.

Walaupun berjaya membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan selepas usaha hampir gagal, Pakistan berdepan kekangan besar dalam memastikan hasil yang membina.

Penganalisis menyatakan Pakistan mungkin tidak mempunyai pengaruh yang mencukupi untuk memaksa kedua-dua pihak mencapai persetujuan, termasuk membuka semula laluan strategik Selat Hormuz.

“Apa yang kurang adalah pengaruh sebenar untuk memaksa tolak ansur jika Amerika dan Iran tidak bersedia mencapai kata sepakat,” kata Cik Threlkeld.

Rundingan itu turut dijangka menyentuh isu lebih luas, termasuk tekanan negara Teluk sekutu Amerika yang terkesan akibat serangan Iran serta usaha melanjutkan gencatan senjata ke Lebanon.

Walaupun ruang diplomasi semakin terbuka, pemerhati memberi amaran sebarang peningkatan ketegangan boleh menjejas rundingan dengan cepat. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg