RIYADH: Arab Saudi akan mendapat perlindungan di bawah payung nuklear Pakistan, menurut sumber rapat dengan kerajaan Riyadh pada 21 September, hanya beberapa hari selepas kedua-dua sekutu lama itu menandatangani perjanjian pertahanan bersama yang mengejutkan.
Seorang sumber kerajaan memberitahu AFP bahawa perjanjian itu telah dirancang sejak bertahun-tahun lalu dan dijangka India, seteru utama Pakistan, memahami keperluan keselamatan Arab Saudi.
Apabila ditanya sama ada senjata nuklear Pakistan boleh digunakan untuk mempertahankan Arab Saudi, penganalisis rapat dengan istana diraja, Encik Ali Shihabi menjawab tegas: “Ya, memang begitu.”
Beliau menambah: “Elemen nuklear adalah teras kepada perjanjian ini, dan Pakistan tidak lupa bahawa kerajaan Saudi pernah membiayai secara besar-besaran program nuklear mereka serta menyokong ketika mereka dikenakan sekatan antarabangsa.”
Menurut laporan media tempatan, Menteri Pertahanan Pakistan Encik Khawaja Asif turut mengesahkan melalui siaran televisyen bahawa program nuklear negara itu akan tersedia untuk digunakan jika Arab Saudi memerlukannya.
Perjanjian bersejarah itu ditandatangani di Riyadh hanya beberapa hari selepas serangan Israel terhadap pemimpin Hamas di Doha, Qatar, yang menggemparkan rantau Teluk. Kejadian tersebut sekali gus meningkatkan kerisauan negara-negara Teluk yang selama ini bergantung kepada Amerika Syarikat sebagai pelindung utama keselamatan mereka.
Perjanjian pertahanan bersama ini muncul hanya beberapa bulan selepas Pakistan dan India terlibat dalam konflik empat hari yang sengit pada Mei lalu. Pertempuran itu, melibatkan serangan peluru berpandu, dron dan artileri, meragut lebih 70 nyawa menjadikannya pertempuran terburuk antara dua negara bersenjata nuklear itu sejak 1999.
Ketika konflik tersebut, Perdana Menteri India Encik Narendra Modi yang sedang dalam lawatan rasmi ke Riyadh terpaksa memendekkan kunjungannya selepas satu serangan tembakan terhadap pelancong di India mencetuskan ketegangan besar.
India dan Pakistan saling menuduh antara satu sama lain menyokong kumpulan militan bagi menggugat kestabilan masing-masing. Arab Saudi pula dipercayai memainkan peranan penting dalam usaha menenangkan konflik berkenaan.
Arab Saudi sejak sekian lama menjadi pembekal minyak utama kepada India negara paling ramai penduduk di dunia dengan Riyadh disenaraikan sebagai pembekal ketiga terbesar, menurut Kementerian Luar India.
Bagi Pakistan pula, hubungan dengan Arab Saudi sudah terjalin rapat selama beberapa dekad. Lebih 2.5 juta rakyat Pakistan dilaporkan bekerja dan menetap di negara Teluk itu. Riyadh juga sering menjadi penyelamat ekonomi kepada Islamabad yang bergelut dengan masalah kewangan.
Encik Ali Shihabi menjelaskan lagi: “India akan faham bahawa keperluan keselamatan Arab Saudi tidak boleh dikompromi. Walaupun Riyadh mengekalkan hubungan baik dengan India, keselamatan tetap menjadi keutamaan.”
Pemerintah India bagaimanapun berhati-hati mengulas mengenai pakatan pertahanan tersebut. Jurucakap Kementerian Luar India, Encik Randhir Jaiswal, dalam satu sidang media berkata:
“India dan Arab Saudi mempunyai perkongsian strategik yang luas, yang semakin mendalam dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kami berharap hubungan ini akan terus mengambil kira kepentingan bersama dan sensitiviti kedua-dua pihak.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg