Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama nuklear awam Saudi-AS cetus kontroversi

Apr 21, 2025 | 5:30 AM
Menteri Tenaga  Putera Abdulaziz bin Salman bersama Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Encik Chris Wright di Pusat Kajian dan Penyelidikan Petroleum Raja Abdullah (KAPSARC) Arab Saudi
Menteri Tenaga  Putera Abdulaziz bin Salman bersama Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Encik Chris Wright di Pusat Kajian dan Penyelidikan Petroleum Raja Abdullah (KAPSARC) Arab Saudi - Foto X MOEMERGY_SAUDI

RIYADH: Perkembangan terkini di Riyadh mencetuskan perdebatan hangat apabila Amerika Syarikat dan Arab Saudi bersetuju memeterai perjanjian awal bagi membangunkan program tenaga nuklear awam di negara itu.

Ia bukan sahaja memberi dimensi baharu dalam usaha Riyadh mempelbagaikan sumber tenaga, malah mendedahkan risiko dan cabaran geopolitik di Timur Tengah.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Tenaga Amerika, Encik Chris Wright, dalam sidang media di Riyadh pada 13 April selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman.

“Kami berada di landasan untuk menjalinkerjasama dalam pembangunan program tenaga nuklear awam Arab Saudi.

“Ini adalah peluang untuk kedua-dua negara mencapai matlamat strategik masing-masing,” kata Encik Wright.

Namun, perkembangan itu tidak terlepas daripada kontroversi memandangkan program nuklear awam berpotensi membuka ruang kepada pembangunan senjata nuklear pada masa hadapan.

Bagi Arab Saudi, keperluan kepada sumber tenaga baru bukan lagi pilihan, malah, keperluan mendesak.

Di bawah visi ekonomi Wawasan 2030 yang diperkenalkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan memperbanyakkan sumber tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga nuklear.

“Arab Saudi mempunyai sumber tenaga solar yang sangat baik, tetapi tenaga nuklear adalah keperluan untuk menjamin kestabilan bekalan tenaga dalam jangka panjang,” ujar Encik Wright.

Dalam masa yang sama, Arab Saudi turut berhasrat membangunkan kapasiti tenaga nuklear sendiri, termasuk kemampuan memperkayakan uranium – langkah yang membimbangkan pengamat di peringkat antarabangsa.

Lebih membimbangkan, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, sebelum ini secara terbuka menyatakan jika Iran berjaya membangunkan senjata nuklear, maka Arab Saudi juga akan mengikuti langkah yang sama.

“Jika Iran mempunyai senjata nuklear, kami juga tidak akan ketinggalan,” katanya dalam satu wawancara pada 2018.

Kerjasama itu perlu mematuhi Seksyen 123 Akta Tenaga Atom Amerika Syarikat 1954, yang menetapkan sembilan syarat ketat bagi memastikan teknologi nuklear tidak disalahgunakan untuk pembangunan senjata.

Namun, cabaran terbesar ialah Arab Saudi yang sebelum ini enggan menandatangani syarat perjanjian 123 yang akan melarang negara itu memperkaya uranium atau memproses bahan api nuklear terpakai – dua ciri penting dalam penghasilan senjata nuklear.

“Masih banyak perincian yang perlu dirundingkan, tetapi kami percaya ada ruang untuk mencapai persetujuan yang memenuhi keperluan kedua-dua pihak,” tambah Encik Wright.

Menurut beliau, “perjanjian ini bukan hanya soal teknologi, bahkan juga berkaitan soal kawalan keselamatan dan pengehadan teknologi sensitif.”

Langkah itu sememangnya mendapat perhatian pengamat antarabangsa, termasuk kalangan penggubal dasar di Washington.

Anggota Kongres Amerika, terutama daripada Parti Demokrat dan sebahagian Republikan, menzahirkan kebimbangan perjanjian itu akan mempercepat perlumbaan senjata di Timur Tengah, lebih-lebih lagi apabila Iran sendiri kini dalam fasa mempercepatkan program nuklear mereka.

“Jika Arab Saudi dibenarkan memperkayakan uranium sendiri, ini akan menjadi preseden berbahaya di rantau yang penuh ketegangan,” kata seorang penggubal dasar Amerika kepada agensi berita, Reuters.

Dalam masa sama, kegagalan rundingan damai Israel-Palestin serta konflik berterusan di Gaza menambahkan lagi kerumitan dalam percaturan geopolitik serantau.

Israel, sebagai negara yang tidak menandatangani Perjanjian Non-Proliferasi Senjata Nuklear  (NPT) tetapi dipercayai memiliki senjata nuklear, menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap ancaman nuklear dari mana-mana negara jiran.

“Kami tetap berpendirian bahawa Timur Tengah perlu bebas daripada senjata nuklear. Mana-mana negara yang cuba melanggar prinsip ini akan berdepan dengan tindakan tegas,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Amerika jelas melihat peluang kerjasama ini sebagai jalan terbaik untuk mengekang pengaruh China dan Rusia dalam dunia tenaga nuklear.

Encik Wright sendiri mengakui bahawa sekiranya AS tidak menjadi rakan strategik utama Arab Saudi dalam bidang ini, maka negara itu mungkin akan mendapatkan teknologi nuklear daripada China atau Russia — dua kuasa besar yang mempunyai standard kawalan keselamatan jauh lebih longgar.

“Penting untuk memastikan Amerika menjadi rakan utama Arab Saudi dalam pembangunan tenaga nuklear. Jika tidak, ia hanya akan membuka ruang kepada pengaruh luar yang mungkin tidak selari dengan kepentingan serantau dan keselamatan global,” jelas Encik Wright.

Tambah beliau: “Arab Saudi telah menunjukkan kesungguhan mereka untuk bekerjasama dalam pelbagai sektor tenaga dan kami melihat ini sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik.”

Selain aspek keselamatan, rundingan itu turut berkait rapat dengan agenda ekonomi kedua-dua negara.

Encik Wright meramalkan Arab Saudi akan menjadi antara pelabur terbesar dalam sektor tenaga Amerika pada masa depan.

“Ini adalah keadaan sama-sama menang. Pelaburan Arab Saudi akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Amerika, dan dalam masa yang sama, mereka dapat mempelbagaikan sumber tenaga domestik mereka,” katanya.

Dalam konteks harga minyak sejagat pula, Encik Wright menjangkakan dasar tenaga baru Amerika di bawah pentadbiran Encik Trump akan menyaksikan penurunan harga minyak dalam tempoh empat tahun akan datang, berbanding tempoh empat tahun terdahulu.

“Pertumbuhan pengeluaran tenaga akan meningkatkan akses dan seterusnya menurunkan harga pasaran,” katanya.

Rundingan itu bukan sahaja berdepan cabaran teknikal, bahkan juga realiti politik yang kompleks.

Walaupun Encik Trump dan pentadbirannya melihat itu sebagai peluang strategik, kelulusan akhir perjanjian masih bergantung kepada Kongres Amerika.

Encik Wright tidak menafikan bahawa syarat-syarat keselamatan dalam perjanjian nuklear akan menjadi isu utama perbahasan di Washington.

“Kami belum sampai ke tahap butiran akhir perjanjian, tetapi saya yakin ada ruang untuk rundingan yang baik bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam masa yang sama, Arab Saudi sendiri perlu membuat pertimbangan sama ada mereka bersedia menerima syarat ketat Amerika tahu memilih untuk meneruskan kerjasama teknologi dengan kuasa besar lain.

Namun bagi Encik Wright, kerjasama tui tetap membawa satu harapan besar kepada dunia – bahawa tenaga masa depan perlu dibangunkan dengan kawalan keselamatan yang ketat dan berpaksikan kerjasama antarabangsa.

“Tenaga nuklear bukan hanya soal teknologi, malah soal tanggungjawab bersama untuk masa depan dunia yang lebih selamat, makmur dan stabil,” katanya menutup sidang media di Riyadh. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg