Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanama dilanda lebih 200 gegaran selepas gempa 7.7 magnitud
AS ikrar bantuan AS$5j
Panama dilanda lebih 200 gegaran selepas gempa 7.7 magnitud
PANAMA CITY: Panama mencatat lebih 200 gegaran susulan selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 pada 9 Oktober yang merosakkan ratusan rumah dan infrastruktur di wilayah tengah negara itu.
Pemerintah terpaksa mengisytiharkan darurat nasional pada hujung minggu lalu.
Tiada kematian dilaporkan, namun sekurang-kurangnya 27 orang cedera dan hampir 900 rumah rosak, menurut pihak berkuasa kecemasan.
Angka itu mungkin meningkat apabila penilaian diteruskan di kawasan pedalaman yang terpencil.
Pengisytiharan darurat itu membolehkan pemerintah memperuntukkan sehingga AS$100 juta ($128 juta) dana bantuan tanpa melebihi sasaran defisit fiskal 2026 sebanyak 3.5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), kata Kementerian Ekonomi.
“Kami sudah mencatat lebih 200 gegaran susulan dan ia berterusan, tetapi magnitudnya semakin berkurang dan jarak antara gegaran semakin panjang,” kata pengarah Institut Geosains Universiti Panama, Encik Nestor Luke, kepada Reuters.
Amerika Syarikat berikrar memberi bantuan sebanyak AS$5 juta dan menghantar pasukan 20 anggota untuk membantu operasi menyelamat serta penilaian infrastruktur, kata Duta Amerika, Encik Kevin Marino Cabrera.
Presiden Panama, Encik Jose Raul Mulino melawat kawasan terjejas untuk menyampaikan bantuan dan menggesa pembaikan segera jalan raya dan jambatan bagi memudahkan usaha bantuan.
Sekurang-kurangnya 14 jambatan rosak di wilayah Veraguas dan Los Santos.
Kelas dibatalkan di seluruh negara pada 12 Oktober, manakala Terusan Panama berkata operasi perkapalan tidak terjejas oleh gempa bumi itu. – Reuters.