LEBIH banyak negeri di Malaysia, terutama yang bergantung pada pelancongan, sedang berusaha ke arah memperkenal gelembung pelancongan bagi memperbaiki ekonomi masing-masing selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Antara negeri yang sedang berusaha mencapai itu ialah:.

Terengganu

Beberapa pulau popular di Terengganu telah mula menerima pengunjung yang sudah lengkap divaksin untuk menginap di hotel, resort atau inap desa (homestay) sejak 1 September.

Pulau-pulau itu ialah Kapas, Redang dan Tenggol serta Tasik Kenyir bermula 1 September.

Pahang

Pahang sedang menunggu persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka semula beberapa lokasi pelancongan utama di negeri ini.

Pulau Tioman, Taman Negara, Genting Highlands dan Janda Baik antara destinasi pelancongan yang penduduk tempatannya yang telah menerima dua dos vaksinasi Covid-19 bersedia menerima tetamu.

Kerajaan negeri berkata mereka bersedia memperkenalk gelembung perjalanan atau pelancongan di lokasi tersebut.

Lembah Klang

Perniagaan, pengusaha hotel, pemain pelancongan dan peruncit di Lembah Klang tidak sabar hendak membuka perniagaan berikutan sekatan Covid-19 dilonggarkan sebagai persediaan bagi Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (NRP).

Pemilik perniagaan bersedia beralih ke Fasa 2 NRP kerana lebih 80 peratus penduduk di Lembah Klang telah menerima vaksinasi lengkap mereka.

Sarawak

Sarawak antara negeri yang penuh berharap dapat menjadi destinasi gelembung perjalanan hijau selamat buat pelancong yang telah menerima vaksinasi penuh.

Bumi Kenyalang ini menyaksikan usaha vaksinasi besar-besaran di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dengan harapan dapat mencapai matlamat imuniti kelompok.

Pada akhir bulan lalu, Sarawak telah memvaksinasi sepenuhnya 86.6 peratus penduduk dewasanya, melibatkan lebih 1.76 juta orang, termasuk barisan depan pelancongan.

Vaksinasi remaja berusia 16 dan 17 tahun bermula di Sarawak pada 8 September.

Johor

Kerajaan Johor berharap dapat mengubah tiga kawasan di negeri ini yang mempunyai kadar imunisasi Covid-19 melebihi 80 peratus sebagai lokasi pelancongan di bawah program gelembung pelancongan.

Ketua Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri, Encik Onn Hafiz Ghazi, berkata perbincangan dengan Pelancongan Johor telah dilakukan agar kerajaan persekutuan menangani perkara tersebut melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Daerah Muar, kepulauan Mersing, dan Pantai Desaru Kota Tinggi antara tiga kawasan tumpuan terbabit, katanya.

Kepulauan Mersing, yang turut dikenali sebagai Maldives Malaysia, mempunyai kadar vaksinasi 100 peratus, melibatkan 594 penduduk pulau itu serta pekerja resort.

Sabah

Kerajaan Sabah membenarkan semua destinasi dan tapak pelancongan beroperasi bagi pelancong dalam negeri bagi daerah sama atau secara gelembung perjalanan.

Bagaimanapun, kebenaran itu tertakluk pada syarat pelancong, pengusaha dan pekerja pelancongan sudah menerima vaksin lengkap dan berstatus risiko rendah Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata itu antara kelonggaran yang dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) baru yang dikemas kini.

Operasi hotel dan penginapan dibenarkan bagi pelanggan dalam daerah sama dengan syarat pelanggan dan pekerja hotel atau inap desa sudah lengkap divaksin.

Namun, penggunaan kemudahan penginapan seperti gimnasium, sauna, jakuzi dan bilik seminar masih tidak dibenarkan. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti