JAKARTA – Indonesia kini berdebat mengenai peluasan peranan tentera di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto, termasuk kemungkinan membenarkan anggota aktif angkatan tentera memegang jawatan dalam sektor awam, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak sistem autoritarian Suharto dimansuhkan beberapa dekad lalu.
Perbahasan ini timbul susulan sesi kedua perbincangan di parlimen pada 4 Mac, yang menyaksikan ahli-ahli parlimen meneliti cadangan pindaan terhadap undang-undang tentera negara itu.
Jika diluluskan, pindaan ini akan membuka laluan bagi pegawai tentera aktif untuk memegang jawatan di kementerian dan agensi pemerintah, serta berpotensi menarik balik larangan yang menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti perniagaan.
Langkah ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis politik yang melihat kemungkinan Indonesia, sebagai demokrasi ketiga terbesar di dunia, akan kembali ke era di mana pemerintah dan sektor perniagaan dikawal oleh elit tentera.
Di bawah pemerintahan Suharto selama berdekad-dekad, tentera bukan sahaja berperanan dalam pertahanan tetapi juga mengawal banyak syarikat milik negara dan bekerjasama dengan sektor swasta dalam industri seperti perhutanan, perkilangan, serta pembangunan padang golf. Pegawai tentera juga dibenarkan untuk menjadi pemimpin awam seperti datuk bandar dan gabenor.
Namun, selepas Suharto digulingkan pada akhir 1990-an akibat protes jalanan, Indonesia memperkenalkan undang-undang yang melarang konsep “dwi-fungsi” yang membolehkan tentera mendominasi kedua-dua sektor pertahanan dan pentadbiran awam.
Kini, parlimen sedang membincangkan sama ada larangan ini perlu dikaji semula. Menurut undang-undang sedia ada, pegawai tentera hanya dibenarkan memegang jawatan tinggi dalam beberapa agensi berkaitan keselamatan seperti Kementerian Pertahanan, Badan Risikan Negara (BIN), dan Badan Narkotik Nasional (BNN). Mereka juga dilarang terlibat dalam perniagaan atau politik secara langsung.
Penyokong pindaan ini berpendapat bahawa undang-undang tentera yang berusia lebih 20 tahun perlu diperbaharui, termasuk menaikkan umur persaraan anggota tentera agar sejajar dengan institusi lain. Mereka juga menekankan bahawa kepakaran tentera semakin diperlukan bagi menghadapi ancaman keselamatan yang berubah-ubah.
Rang undang-undang yang serupa pernah diperkenalkan pada 2024 tetapi gagal mendapat sokongan kerana dikritik sebagai cubaan menghidupkan semula dominasi tentera.
Namun, kali ini, usaha untuk meluluskan pindaan semakin mendapat momentum selepas Encik Prabowo dilantik sebagai presiden, dengan parlimen memberikan keutamaan kepada rang undang-undang ini untuk tahun 2025.
Walaupun Encik Prabowo tidak memberi kenyataan rasmi mengenai sokongannya terhadap rang undang-undang ini, beliau dilihat berusaha memperkasa peranan tentera sejak awal pentadbirannya.
Menurut Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di Singapura, Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) kini mempunyai lebih 400,000 anggota aktif.
Sejak menjawat jawatan pada Oktober lalu, Encik Prabowo telah melantik pegawai tentera aktif ke jawatan awam, termasuk Setiausaha Kabinet dan penasihat dalam Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian - tindakan yang dikritik sebagai melanggar undang-undang sedia ada.
Selain itu, tentera turut berperanan dalam penyediaan makanan bagi program makanan percuma Encik Prabowo di sekolah, selain dikerah membantu usaha pemerkasaan bekalan makanan negara.
Tindakan Encik Prabowo juga semakin mencerminkan kecenderungan ketenteraan apabila beliau mewajibkan ratusan pemimpin wilayah untuk menghadiri latihan gaya ketenteraan di akademi tentera, di mana mereka mengenakan pakaian celoreng sebagai sebahagian daripada latihan membina pasukan. Pada tahun 2024, menteri-menteri kabinet turut menjalani latihan serupa dalam sebuah pertemuan anjuran presiden.
Banyak pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan ini, termasuk bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang merupakan seorang jeneral tentera sebelum menceburi dunia politik. Beliau menegaskan bahawa anggota tentera aktif mesti meletak jawatan sebelum menyertai pemerintah.
“Tentera harus kekal profesional dan tidak terlibat dalam politik atau pentadbiran awam. Sesiapa yang ingin menyertai pemerintah harus meninggalkan perkhidmatan tentera terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan kepada partinya.
Selain itu, pakar undang-undang dan pensyarah di Sekolah Undang-Undang Jentera Indonesia, Cik Bivitri Susanti, memberi amaran bahawa langkah ini boleh melemahkan kestabilan demokrasi negara.
“Mereka mahu tentera menyusup masuk ke semua sektor secara terbuka,” katanya. “Ini adalah titik kehancuran bagi demokrasi.”
Ahli parlimen pembangkang, Encik Tubagus Hasanuddin, berkata pihaknya masih menunggu draf undang-undang yang dikemas kini daripada pemerintah sebelum perbahasan diteruskan ke peringkat seterusnya.
“Kami tidak terburu-buru,” katanya, memberi isyarat bahawa proses ini masih boleh berubah bergantung kepada perbincangan yang lebih mendalam.
Namun, sama ada pindaan ini akan diteruskan atau tidak, kebimbangan tetap berlegar dalam kalangan rakyat Indonesia yang melihatnya sebagai satu langkah mundur.
Seperti yang dinyatakan oleh Cik Susanti, “Jika tentera kembali menguasai pemerintah dan ekonomi, kita bukan sahaja mengkhianati reformasi yang diperjuangkan sejak 1998, tetapi juga mempertaruhkan masa depan demokrasi kita.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg