JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menggunakan kunjungan luar negaranya yang pertama sebagai presiden untuk menegaskan komitmen Indonesia terhadap perdagangan bebas dan saksama, kelestarian tenaga dan kerjasama serantau.
Lawatan itu, yang melibatkan Beijing, Washington dan Lima, sempena Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dan Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20), menjadi wadah penting bagi Indonesia meningkatkan kedudukan diplomatik dan ekonominya di peringkat sejagat.
Dalam ucaptama pada Sidang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apec di Lima, Peru, Presiden Prabowo menekankan kepentingan perdagangan bebas dan saksama dalam memastikan kemakmuran serantau dan global.
Beliau menyeru kuasa besar dunia supaya mengetepikan persaingan geopolitik demi kepentingan bersama.
“Kita berada di tengah-tengah ketegangan geopolitik, tetapi saya optimis bahawa kepentingan manusia sejagat akan mengatasi perbezaan ini,” kata Encik Prabowo.
Beliau turut menggesa Apec agar memainkan peranan sebagai pemangkin kerjasama ekonomi yang terangkum dan adil.
Pendekatan itu selari dengan visi Indonesia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai penghubung antara ekonomi serantau dengan sejagat.
Profesor Teuku Rezasyah daripada Universiti Padjadjaran menyifatkan ucapan Encik Prabowo sebagai “penampilan yang meyakinkan” dalam menarik pelabur asing ke Indonesia.
“Prabowo memahami isu global dan menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau.
“Namun, cabaran utama ialah sejauh mana pentadbirannya dapat merealisasikan dasar ini,” jelasnya.
Encik Prabowo turut menggariskan komitmen Indonesia terhadap pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Dengan sumber biotenaga, geoterma dan tenaga suria yang melimpah, beliau optimis Indonesia boleh mencapai 100 peratus kebergantungan kepada tenaga hijau dalam beberapa tahun akan datang.
“Kami berpotensi menjadi salah sebuah negara terawal yang sepenuhnya bebas daripada bahan api fosil,” tambah Encik Prabowo.
Walaupun menekankan keutamaan tenaga hijau, Encik Prabowo turut mengakui keperluan meneruskan penerokaan minyak, gas dan mineral bagi memenuhi permintaan domestik.
Pendekatan itu mencerminkan strategi pragmatik yang mengimbangi keperluan jangka pendek dan jangka panjang.
Namun, pakar tenaga seperti Dr Andri Setiawan daripada Institut Teknologi Bandung memberi amaran bahawa pelaksanaan tenaga hijau memerlukan prasarana yang kukuh dan pelaburan besar.
“Komitmen kepada tenaga hijau perlu disokong oleh dasar yang tekal dan pendidikan kepada masyarakat untuk memastikan kejayaan jangka panjang,” katanya.
Selain agenda tenaga, Encik Prabowo memperkenalkan daya usaha hiliran komoditi sebagai strategi utama meningkatkan nilai tambah eksport Indonesia.
Beliau berkata usaha itu memerlukan pelaburan sekitar AS$600 bilion ($805.9 bilion) dan mengundang pelabur asing supaya mengambil bahagian.
Dalam ucaptamanya, Encik Prabowo memberi jaminan bahawa pentadbirannya akan mewujudkan persekitaran dasar yang mesra pelabur.
“Kami akan memastikan perjanjian pelaburan dilindungi dan kepercayaan komuniti perniagaan global dijaga,” tambahnya.
Pendekatan itu dilihat sebagai langkah strategik untuk menjadikan Indonesia pusat perdagangan serantau.
Menurut Profesor Mariana Kusuma daripada Universitas Gadjah Mada, inisiatif itu berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Hiliran komoditi dapat meningkatkan pendapatan negara, tetapi pelaksanaan yang cekap diperlukan demi memastikan hasil yang maksimum,” ujarnya.
Isu Laut Cina Selatan menjadi salah satu topik penting semasa lawatan Encik Prabowo.
Walaupun Indonesia menegaskan kebebasan mengemudi bersama Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, kenyataan bersama dengan China mengenai sokongan terhadap tuntutan wilayah Beijing menimbulkan persoalan.
Kementerian Ehwal Luar Indonesia kemudian menegaskan bahawa pendirian Jakarta tidak berubah dan tetap mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa.
Pendekatan Encik Prabowo, yang menekankan hubungan baik dengan semua pihak, mencerminkan strategi neutral yang pragmatik.
Beliau menegaskan bahawa dialog damai dan penyelesaian bersama adalah kunci dalam menangani isu geopolitik yang kompleks.
“Kami ingin menjadi jambatan yang menyokong kerjasama serantau,” tegas Encik Prabowo.
Pendekatan itu mendapat pujian daripada pengamat antarabangsa.
Profesor John McGuire daripada Universiti Nasional Australia menyifatkan strategi tersebut sebagai bukti kematangan diplomatik Indonesia.
“Indonesia mempunyai potensi besar menjadi kuasa diplomatik yang mempromosikan dialog damai di Indo-Pasifik,” katanya.
Encik Prabowo turut memanfaatkan Sidang Apec sebagai wadah untuk membincangkan isu-isu penting seperti transformasi digital, keselamatan makanan dan kelestarian iklim.
– Penghapusan Halangan Perdagangan
Memperjuangkan dasar perdagangan yang meningkatkan rantaian bekalan dan menarik pelaburan ke Asean.
– Peningkatan Adaptasi Iklim
Memohon pembiayaan teknologi hijau yang lebih besar untuk negara membangun dengan menjadikan amalan lestari Indonesia sebagai model.
– Transformasi Digital
Menggalakkan pembangunan prasarana digital dan merapatkan jurang digital dalam kalangan negara anggota Asean.
– Keselamatan Makanan dan Tenaga
Mencadangkan mekanisme untuk menstabilkan bekalan makanan serantau dan memastikan sumber tenaga yang mampu milik.
Profesor Mariana menyatakan bahawa strategi itu sejajar dengan kepentingan serantau Asean.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Indonesia, bahkan juga meningkatkan kestabilan serantau,” katanya.
Penyertaan Encik Prabowo dalam Sidang Puncak Apec, G20 dan lawatan ke negara-negara utama menunjukkan komitmen beliau untuk memperkukuh peranan Indonesia di peringkat sejagat.
Dengan menekankan perdagangan bebas, tenaga hijau dan kerjasama serantau, Encik Prabowo dilihat memperkenalkan visi yang menjanjikan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan diplomasi.
Namun, cabaran pelaksanaan tetap menjadi isu utama.
Kejayaan agenda itu bergantung pada keupayaan pentadbirannya melaksanakan dasar yang tekal, menarik pelabur dan mengekalkan keseimbangan antara keperluan domestik dengan tuntutan antarabangsa.
Jika dilaksanakan dengan berkesan, visi Encik Prabowo dapat mengubah Indonesia menjadi pemimpin serantau yang dihormati, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran global.
Seperti yang dinyatakan oleh Encik Prabowo dengan pandangan yang mencerminkan bukan sahaja optimisme beliau, bahkan visi besar untuk masa depan Indonesia, iaitu “kejayaan ekonomi adalah asas kepada keamanan dan kemakmuran dunia”. – Agensi berita.
“
Kita berada di tengah-tengah ketegangan geopolitik, tetapi saya optimis bahawa kepentingan manusia sejagat akan mengatasi perbezaan ini.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg