Topik diikuti
Pergi ke BHkuParlimen Iran lulus bayaran bagi kapal lalui Selat Hormuz
TEHERAN: Parlimen Iran mengambil langkah ke arah mengenakan bayaran ke atas kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.
Perkembangan itu berlaku ketika pertikaian dengan Amerika Syarikat mengenai kawalan laluan perkapalan strategik itu terus menjadi penghalang utama kepada rundingan damai.
Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran pada 23 Ogos meluluskan satu peruntukan dalam rang undang-undang yang membolehkan Teheran mengenakan bayaran bagi pelbagai perkhidmatan kepada kapal negara yang dibenarkan melalui selat tersebut, lapor agensi berita rasmi Iran, Irna.
Jurucakap suruhanjaya itu, Encik Hassan Qashqavi, berkata anggota meluluskan Artikel 3 dalam Pelan Tindakan Strategik bagi Memastikan Keselamatan dan Pembangunan Selat Hormuz, selepas keputusan mengenainya ditangguhkan dalam mesyuarat terdahulu.
Di bawah cadangan itu, Iran boleh mengenakan bayaran bagi perkhidmatan pelayaran dan alam sekitar, bekalan bahan api dalam keadaan tertentu, insurans, keselamatan serta perkhidmatan lain yang disediakan di Selat Hormuz.
Bayaran boleh dikutip dalam mata wang rial Iran atau mata wang lain yang ditetapkan Teheran.
Encik Qashqavi berkata rang undang-undang itu menghormati hak negara yang bersempadan dengan Selat Hormuz, serta mengiktiraf kebebasan pelayaran berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Pada masa sama, katanya, ia menegaskan hak kedaulatan negara pesisir dan keperluan melindungi keselamatan perairan berkenaan.
Langkah terbaru itu dibuat ketika Iran turut memberi amaran kapal yang gagal mematuhi peraturan transitnya di Selat Hormuz boleh dikenakan denda, ditahan atau dirampas apabila melalui laluan tersebut pada masa akan datang.
Penguasa Selat Teluk Parsi Iran berkata syarikat yang mengangkut kargo ke atau dari Teluk perlu memeriksa senarai terbaharu kapal yang didakwa melanggar peraturan sebelum menyewa sesebuah kapal.
Menurut penguasa itu, kapal yang bekerjasama dengan kapal yang sudah disenaraikan sebagai melanggar peraturan juga boleh dimasukkan ke dalam senarai tersebut.
Ia termasuk kapal yang terbabit dalam pemindahan kargo dari kapal ke kapal, pemindahan barangan melalui pelabuhan perantara dan operasi seumpamanya.
Kapal yang mahu dikeluarkan daripada senarai itu perlu mengemukakan permohonan rasmi dan menjelaskan alasan bagi permintaan tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Teheran dengan Washington kembali meningkat menjelang pengumuman sekatan ekonomi lebih ketat oleh Amerika terhadap Iran.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata Washington mahu “memutuskan setiap talian hayat ekonomi” yang membantu Iran.
Sebagai tindak balas, pegawai keselamatan kanan Iran, Encik Mohsen Rezaei, memberi amaran bahawa jika “perang ekonomi” Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berterusan, Teheran boleh menghentikan semua eksport minyak dari Teluk.
Beliau turut memberi amaran bahawa sokongan mana-mana negara terhadap sekatan Amerika boleh dianggap Iran sebagai “tindakan perang”.
Menteri Luar Oman, Encik Sayyid Badr al-Busaidi, pula dijadual mengunjungi Teheran pada 25 Ogos untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai Iran berhubung pertikaian Selat Hormuz.
Selat Hormuz menjadi antara isu utama yang menghalang kemajuan rundingan bagi menamatkan sepenuhnya konflik antara Amerika dengan Iran yang tercetus pada Februari.
Iran dan Amerika menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada Jun menerusi pengantaraan Pakistan dan Qatar, yang menghentikan pertempuran serta membuka laluan kepada rundingan bagi mencapai perjanjian muktamad.
Rundingan itu bagaimanapun terhenti berikutan pertikaian mengenai pelaksanaan MOU tersebut, termasuk aturan pelayaran di Selat Hormuz.
Teheran mahu mengekalkan kawalan ke atas laluan itu serta hak mengenakan bayaran tertentu terhadap kapal, sementara Washington menolak tuntutan berkenaan.
Selat Hormuz merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia kerana sebahagian besar eksport minyak dan gas dari negara Teluk melaluinya.
Cadangan mengenakan bayaran itu masih perlu melalui beberapa peringkat sebelum boleh dikuatkuasakan.
Laporan suruhanjaya berkenaan perlu dibentangkan kepada keseluruhan Parlimen Iran untuk dibahaskan dan diluluskan.
Jika mendapat kelulusan, rang undang-undang itu akan dikemukakan kepada Majlis Pengawal bagi memastikan ia mematuhi Perlembagaan Iran dan prinsip Islam sebelum boleh diwartakan oleh Presiden.
Jika berlaku pertikaian antara Parlimen dengan Majlis Pengawal, Majlis Penentu Kepentingan Negara boleh campur tangan untuk mencari penyelesaian. – Agensi berita.
