PARIS: Parti politik Perancis berdepan tugas berat untuk membentuk pemerintah pada 7 Julai selepas pusingan kedua pilihan raya yang menyaksikan parlimen digantung, dengan pakatan berhaluan kiri secara tidak dijangka mengambil tempat teratas di hadapan parti sayap kanan.
Berdasarkan unjuran peninjau, parti National Rally (RN) berhaluan kanan pimpinan, Cik Marine Le Pen, yang diramalkan akan menjadi parti terbesar, hanya menduduki tempat ketiga.
Ia juga merupakan tamparan buat Presiden Emmanuel Macron, yang berhaluan tengah, selepas ditewaskan dalam pilihan raya Parlimen Eropah pada Jun.
Perdana Menteri Perancis, Encik Gabriel Attal, mengumumkan beliau akan mengemukakan peletakan jawatannya kepada Encik Macron, lewat 8 Julai, susulan keputusan pusingan kedua pengundian bagi pilihan raya Parlimen pada 7 Julai.
Encik Attal berkata, tiada kumpulan ‘ekstrem’ – merujuk kepada parti berhaluan paling kanan, RN, dan pakatan berhaluan kiri, New Popular Front (NFP) - yang berjaya meraih majoriti mutlak untuk membentuk pemerintah akan datang.
Pilihan raya akan menyebabkan parlimen terbahagi kepada tiga kumpulan besar – berhaluan kiri, tengah dan paling kanan, dengan platform yang sangat berbeza dan tiada tradisi untuk bekerjasama.
Golongan sayap kiri, yang mahu mengehadkan harga barangan keperluan seperti bahan api dan makanan, menaikkan gaji minimum kepada 1,600 euro ($2,330) sebulan, menaikkan gaji pekerja sektor awam dan mengenakan cukai kekayaan, serta-merta berkata ia mahu mentadbir negara tersebut.
“Kehendak rakyat mesti dihormati... presiden mesti mengundang NFP untuk mentadbir pemerintah,” kata pemimpin berhaluan tegar, Encik Jean-Luc Melenchon.
Tetapi pakatan NFP agak janggal setelah tergesa-gesa disatukan sebelum hari pengundian tetapi jauh daripada majoriti mutlak.
Mata wang euro jatuh pada 7 Julai selepas unjuran undi diumumkan.
Persoalan utama adalah sama ada pakatan berhaluan kiri akan terus bersatu dan bersetuju dengan haluan yang perlu diambil.
Perlembagaan tidak mewajibkan Encik Macron meminta kumpulan sayap kiri membentuk pemerintah.
Encik Melenchon, ketua parti France Unbowed (LFI) yang berhaluan tegar, berkata Encik Macron mempunyai kewajipan menyeru pakatan kiri supaya memerintah.
Kumpulan tengah Encik Macron nampaknya akan menduduki tempat kedua, mengikut ramalan peninjau berdasarkan keputusan awal.
Agensi pengundian Ipsos meramalkan RN akan mendapat 120 hingga 134 kerusi, dan sekutunya 14 hingga 18, daripada 577 kerusi di Parlimen.
Peninjau Elabe mengunjurkan RN dan sekutu akan menang 136 hingga 144.
Angka ini jauh berbeza dari minggu semasa tinjauan pendapat secara konsisten mengunjurkan RN akan menang dengan selesa. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg