PARIS: Parti Perhimpunan Nasional (RN) berhaluan kanan pimpinan Cik Marine Le Pen memenangi pusingan pertama pilihan raya parlimen Perancis pada 30 Jun, menurut tinjauan ke atas pengundi selepas mereka membuang undi.
Bagaimanapun, keputusan akhir akan bergantung pada proses tawar-menawar sepanjang beberapa hari sebelum pusingan akhir pada minggu depan.
Parti RN dilihat memenangi sekitar 34 peratus undi, menurut dapatan tinjauan Ipsos, Ifop, OpinionWay dan Elabe, dalam kekecewaan besar bagi Presiden Emmanuel Macron, yang mengadakan pilihan raya mengejut selepas calonnya dikalahkan RN dalam pilihan raya Parlimen Eropah pada awal Jun.
Parti RN mendahului undi dengan selesa berbanding pesaingnya daripada parti sayap kiri dan berhaluan sederhana, termasuk pakatan bersama Encik Macron, yang bloknya kirinya dilihat memenangi antara 20.5-23 peratus undi.
Barisan Popular Baru (NFP), sebuah gabungan berhaluan kiri yang dihimpunkan secara terburu-buru, dijangka memenangi kira-kira 29 peratus undi, menurut tinjauan itu lagi.
Dapatan tinjauan itu selaras dengan tinjauan pendapat menjelang pilihan raya, tetapi memberi sedikit kejelasan sama ada RN, yang berpendirian antipendatang akan dapat membentuk sebuah pemerintah untuk “bersekedudukan” dengan Encik Macron, yang pro-Kesatuan Eropah (EU), selepas pemilihan pada 30 Jun selesai.
Peluang RN memenangi kuasa minggu depan akan bergantung pada kesepakatan politik yang dibuat oleh pesaingnya dalam beberapa hari mendatang.
Pada masa lalu, parti berhaluan kanan sederhana dan kiri sederhana bekerjasama untuk menghalang RN daripada kuasa.
Tetapi dinamik itu, yang dikenali sebagai “barisan republik,” kini kurang pasti, berbanding sebelum ini.
Cik Le Pen telah berusaha untuk membersihkan imej partinya, yang terkenal dengan perkauman dan antisemitisme, taktik yang berjaya di tengah-tengah kemarahan pengundi terhadap Encik Macron, kos sara hidup tinggi dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap imigresen.
Jika tiada calon mencapai kemenangan 50 peratus pada pusingan pertama, dua pencabar teratas secara automatik layak ke pusingan kedua, serta semua calon yang mendapat 12.5 peratus undi.
Dalam pusingan kedua, sesiapa yang memenangi undi terbanyak akan menguasai kawasan undi itu.
Peratusan keluar mengundi yang tinggi pada 30 Jun menunjukkan Perancis sedang menuju ke rekod bilangan pusingan tiga hala.
Ini biasanya memberi manfaat kepada RN lebih daripada pertandingan dua hala, kata pakar.
Proses tawar-menawar bermula hampir serta-merta pada 30 Jun malam.
Dalam satu kenyataan bertulis kepada media, Encik Macron menyeru pengundi supaya mengundi calon yang “jelas berpendirian republik dan demokratik”, yang, berdasarkan ikrar mereka baru-baru ini, akan mengetepikan calon daripada RN dan parti France Unbowed (LFI) yang berhaluan tegar.
Pemimpin LFI Jean-Luc Melenchon berkata pakatan NFP yang menduduki tempat kedua akan menarik balik semua calonnya yang menduduki tempat ketiga pada pusingan pertama.
“Garis panduan kami mudah dan jelas: tiada satu pun undi untuk Perhimpunan Nasional (RN),” katanya.
Encik Jordan Bardella, 28 tahun, presiden parti RN, berkata beliau bersedia menjadi perdana menteri – jika partinya memenangi majoriti mutlak.
Beliau telah menolak kemungkinan membentuk pemerintah minoriti. Encik Macron mahupun NFP tidak akan membentuk pakatan dengannya.
“Saya akan menjadi Perdana Menteri “bersekedudukan”, menghormati perlembagaan dan jawatan Presiden, tetapi tidak bertolak ansur dengan dasar yang akan kami laksanakan,” katanya. – Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg