Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen Victoria lulus perjanjian pertama Australia dengan penduduk asli

Oct 31, 2025 | 3:00 PM
Negeri Victoria di Australia telah meluluskan perjanjian pertama negara itu dengan penduduk asal orang asli satu langkah bersejarah sebagai pengiktirafan rasmi yang telah lama dinafikan kepada penduduk pertama benua tersebut.
Negeri Victoria di Australia telah meluluskan perjanjian pertama negara itu dengan penduduk asal orang asli satu langkah bersejarah sebagai pengiktirafan rasmi yang telah lama dinafikan kepada penduduk pertama benua tersebut. - Foto AFP

MELBOURNE – Negeri Victoria mencatat sejarah baharu apabila meluluskan perjanjian pertama Australia dengan penduduk asal orang asli, suatu langkah bersejarah yang dianggap sebagai pengiktirafan rasmi terhadap hak dan kedaulatan kaum Aborigin yang telah lama dinafikan.

Sorakan dan tepukan bergema di dalam Parlimen Victoria lewat malam 30 Oktober ketika rang undang-undang itu diluluskan. Detik penuh emosi itu menyebabkan ramai hadirin menitiskan air mata. “Ini adalah detik bersejarah bagi bangsa kami,” kata Encik Ngarra Murray dari Majlis Masyarakat Asli Victoria.

“Kami akan ceritakan kepada anak-anak kami, dan mereka pula akan ceritakan kepada anak-anak mereka tentang bagaimana ketabahan dan perjuangan masyarakat Aborigin selama berdekad-dekad akhirnya membawa kepada perjanjian pertama Australia.”

Perjanjian itu akan menubuhkan dewan wakil terpilih daripada masyarakat orang asli, melaksanakan proses “pendedahan kebenaran” (truth-telling) untuk mengiktiraf dan membincangkan ketidakadilan sejarah, serta membentuk badan penasihat khas bagi menangani jurang kesihatan antara masyarakat asal dan rakyat Australia lain.

Masyarakat Aborigin kini membentuk kurang daripada empat peratus daripada populasi Australia, namun purata jangka hayat mereka lapan tahun lebih pendek berbanding warga lain dan mereka juga lebih berisiko tinggi untuk dipenjarakan atau meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

“Sejarah telah tercipta,” kata Encik Jill Gallagher, seorang pemimpin masyarakat Aborigin yang telah bertahun-tahun memperjuangkan usaha ini. “Saya rasa akhirnya bangsa kami mempunyai harapan,” katanya kepada penyiar nasional ABC.

Selama beberapa generasi, masyarakat asli Australia telah mencuba namun gagal untuk mencapai perjanjian serupa dengan kerajaan persekutuan. Perjanjian ini dilihat sebagai tindakan pengiktirafan penting terhadap hak kedaulatan masyarakat Aborigin yang telah menduduki benua itu lebih 60,000 tahun sebelum ketibaan armada kolonial British pada tahun 1788.

Pada 2024, rakyat Australia secara besar-besaran menolak referendum peringkat nasional yang bertujuan untuk mengiktiraf masyarakat asli dalam perlembagaan - satu keputusan yang mengecewakan ramai aktivis hak penduduk asal.

Perdana Menteri Victoria, Cik Jacinta Allan, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai satu perubahan hubungan antara kerajaan negeri dan masyarakat asal. “Perjanjian ini memberikan kuasa kepada komuniti Aborigin untuk menentukan dasar dan perkhidmatan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” katanya dalam ucapan selepas pengundian.

Namun tidak semua pihak bersetuju. Beberapa ahli politik konservatif segera mengkritik langkah tersebut. “Saya rasa ini undang-undang yang amat mengecewakan,” kata Senator Persekutuan Cik Bridget McKenzie kepada Sky News Australia. “Perjanjian ini memberikan hak dan keistimewaan tertentu kepada satu kumpulan rakyat Australia berbanding yang lain.”

Awal tahun 2025 ini, satu siasatan kerajaan Victoria mendapati bahawa penjajah kolonial British telah melakukan jenayah genosid terhadap penduduk asal, termasuk pembunuhan besar-besaran, penyebaran penyakit, keganasan seksual, pemisahan kanak-kanak, dan dasar asimilasi paksa.

Laporan itu menyimpulkan bahawa dasar kolonial tersebut telah membawa kepada “kemusnahan hampir total” masyarakat asal di negeri Victoria. Bagi ramai rakyat Australia, pengiktirafan melalui perjanjian ini bukan sahaja soal keadilan, tetapi juga pemulihan maruah dan sejarah.

“Ia bukan sekadar dokumen rasmi,” kata Encik Ngarra Murray. “Ia simbol bahawa kita akhirnya diiktiraf sebagai penjaga asal tanah ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi hak yang hidup dan berterusan.”

Perjanjian bersejarah ini menandakan permulaan baharu bagi Australia dalam mendefinisikan semula hubungan antara masyarakat asal dan kerajaan moden.

Seperti yang ditegaskan oleh Encik Gallagher, “Kami tidak mahu simpati, kami mahu pengiktirafan dan peluang untuk memperbaiki masa depan.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg