LONDON: Encik Keir Starmer akan menjadi perdana menteri baru Britain apabila Parti Buruh pimpinannya mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada 5 Julai, menamatkan pemerintahan Konservatif sayap kanan selama 14 tahun.
Dalam perhimpunan partinya di tengah London, Encik Starmer, 61 tahun, memberitahu aktivis yang bersorak bahawa “perubahan bermula di sini” dan menjanjikan “dekad pembaharuan nasional” serta meletakkan “negara didahulukan, parti kedua”.
Tetapi beliau memberi amaran bahawa perubahan tidak akan berlaku sekelip mata, walaupun Parti Buruh merampas sebahagian besar kerusi di seluruh negara, termasuk daripada sembilan anggota Kabinet dan mantan perdana menteri, Cik Liz Truss.
Beliau kehilangan kerusinya selepas berdepan kempen yang menggulingkannya oleh aktivis akar umbi – digelar ‘Taleban Turnip’ – di kawasan luar bandar di barat daya Norfolk dan kalah hanya dengan 630 undi.
“Parti Buruh telah memenangi pilihan raya umum ini, dan saya telah menelefon Sir Keir Starmer untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya,” kata Encik Rishi Sunak yang kelihatan muram selepas beliau berjaya mempertahankan kerusinya.
“Hari ini, kuasa akan bertukar tangan dengan cara yang aman dan teratur dengan semangat muhibah di semua pihak,” tambah pemimpin Parti Konservatif itu, sambil menyifatkan keputusan itu “menyedihkan” dan berkata beliau bertanggungjawab atas kekalahan itu.
Encik Sunak akan menyerahkan peletakan jawatannya kepada Raja Charles III, yang kemudiannya akan meminta Encik Starmer, sebagai ketua parti terbesar di Parlimen, untuk membentuk kerajaan.
Keputusan pilihan raya Parti Konservatif yang paling buruk sebelum ini ialah 156 kerusi pada pilihan raya 1906.
Setiausaha Pertahanan, Encik Grant Shapps, adalah antara nama-nama besar termasuk menteri kanan, Cik Penny Mordaunt, dan pemimpin pejuang Brexit, Encik Jacob Rees-Mogg, yang kecundang dalam pilihan raya tersebut.
Parti Buruh telah melepasi 326 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti keseluruhan di Parlimen sebanyak 650 kerusi, dengan keputusan akhir dijangka dibuat pada pagi 5 Julai.
Tinjauan penyiar Britain yang diterbitkan selepas ia ditutup pada 10 malam pada 4 Julai meletakkan Parti Buruh di landasan untuk kembali berkuasa buat kali pertama sejak 2010, dengan 410 kerusi dan majoriti 170 kerusi.
Parti Konservatif hanya mendapat 131 kerusi di Dewan Rakyat – rekod terendah – dengan undi sayap kanan nampaknya disambung oleh parti anti-imigresen Reform UK pimpinan Encik Nigel Farage, yang memenangi empat kerusi.
Parti pembangkang yang lebih kecil seperti Liberal Demokrat memperoleh 61 kerusi, menyingkirkan Parti Kebangsaan Scotland dengan 10 kerusi sebagai parti ketiga terbesar.
Akhbar-akhbar British semuanya tertumpu kepada Parti Buruh yang akan kembali berkuasa buat kali pertama sejak Encik Gordon Brown digulingkan oleh Encik David Cameron pada 2010. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg