LONDON: Bekas Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson, membuat penampilan mengejut dalam kempen pilihan raya negara itu pada 2 Julai, sambil mengeluarkan tawaran terakhir untuk mendapatkan sokongan bagi parti Konservatif dan pemimpinnya, Encik Rishi Sunak, orang yang membantu menyingkirnya.
Encik Johnson memenangi majoriti besar pada pilihan raya 2019, sebelum dipaksa meletak jawatan pada 2022 ekoran pemberontakan anggota Konservatif yang dimulakan dengan bantuan Encik Sunak.
Kejadian itu mendedahkan perpecahan mendalam dalam parti kerajaan, termasuk antara Encik Sunak dengan Encik Johnson.
Disambut dengan laungan “Boris! Boris!” oleh penyokong parti – dua hari sebelum pilihan raya yang Konservatif diramalkan kalah teruk – beliau memperkenalkan perdana menteri Encik Sunak dalam satu acara kempen di London.
Dalam ucapan yang menyenaraikan banyak pencapaiannya sendiri, Encik Johnson memberikan sedikit sokongan peribadi kepada Encik Sunak, tetapi memberi tumpuan pada apa yang dikatakannya bahawa akan timbul bahaya jika parti pembangkang memenangi kuasa.
“Tiada seorang pun daripada kita boleh berdiam diri kerana kerajaan Buruh bersedia untuk menggunakan majoriti tukul besi bagi memusnahkan begitu banyak apa yang telah kita capai,” katanya.
Mengakui mungkin ada yang terkejut melihatnya, Encik Johnson berkata beliau gembira diminta membantu oleh Encik Sunak.
“Sudah tentu saya tidak boleh mengatakan tidak,” tambahnya. “Walau apa pun perbezaan antara kami, ia adalah remeh jika dibandingkan dengan bencana yang mungkin kita hadapi, jika tinjauan pendapat ini betul,” kata Encik Johnson.
Encik Johnson, antara tokoh politik Britain paling dikenali dan pemenang besar pilihan raya lalu, menghabiskan hampir keseluruhan kempen di luar setelah berhenti secara aktif daripada politik pada 2023.
Beliau pernah muncul memberi mesej dalam video, tetapi tidak pernah muncul di acara kempen besar sebelum ini.
Encik Sunak, yang muncul kemudian – tetapi tidak bersama Encik Johnson di atas pentas – mengucapkan terima kasih kepada pemimpin pendahulunya itu.
“Bukankah seronok apabila keluarga Konservatif kita bersatu, kawan-kawan,” katanya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg