KUALA LUMPUR: Parti dalam kerajaan perikatan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya kecil Kelantan, pada 17 Ogos, daripada pesaing Perikatan Nasional (PN).
Kemenangan itu dilihat sebagai rangsangan kepada pemimpin Malaysia itu yang selama ini bergelut untuk memenangi semula sokongan pengundi Melayu.
Kerusi luar bandar Nenggiri di negeri kubu kuat PN Kelantan itu, disandang Umno sejak ia diwujudkan pada 2003, tetapi kalah dengan hanya 810 undi pada pilihan raya negeri Ogos 2023.
Umno ialah parti ahli gabungan Barisan Nasional (BN), salah satu pertubuhan di bawah ‘kerajaan perpaduan’ Datuk Seri Anwar.
Pada pusingan ini, Umno menang dengan kelebihan 3,352 undi, dengan 14,560 undi dibuang dan peratusan keluar mengundi kira-kira 74 peratus.
Calon Umno, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38 tahun, memperoleh 9,091 undi, atau 61.3 peratus daripada undi sah, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.
Saingannya, Encik Mohd Rizwadi Ismail, 41 tahun, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – salah satu parti komponen PN – memperoleh 5,739 undi, atau 39.7 peratus undi.
Pilihan raya kecil Malaysia sering digunakan sebagai pengukur cepat populariti kerajaan atau pembangkang.
Pilihan raya kecil di Nenggiri yang majoritinya Melayu, bertambah penting selepas pakatan Datuk Seri Anwar kalah teruk, di satu lagi kerusi majoriti Melayu Sungai Bakap di Pulau Pinang, hanya enam minggu lalu.
Nenggiri mempunyai 20,259 pengundi pada 2024 – 85.9 peratus adalah Melayu, 0.2 peratus Cina dan 13.8 peratus daripada kumpulan etnik lain, termasuk sebilangan besar Orang Asli.
Nenggiri yang terpencil, terletak di sebelah kawasan perhutanan Taman Negara dan dikelilingi oleh bukit batu kapur yang indah dan subur.
Ia adalah kira-kira tiga jam melalui jalan darat dari kedua-dua ibu kota Malaysia Kuala Lumpur dan Kota Bharu, ibu negeri Kelantan.
Cerminan lokasi luar bandarnya dilihat apabila mesin tunai automatik (ATM) pertama kawasan itu dipasang oleh kerajaan semasa tempoh berkempen selama dua minggu.
Kedai KFC, Pizza Hut, Subway dan McDonald’s terdekat terletak 16 kilometer jauhnya di bandar Gua Musang.
Bagi pilihan raya kecil ini, Umno dibantu oleh keupayaannya memanfaatkan kelesuan pengundi tempatan terhadap kepimpinan Kelantan yang diterajui Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang memerintah negeri itu sejak 1990, kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Encik Awang Azman Awang Pawi. PAS dan Bersatu ialah ahli utama PN.
“Kemenangan itu boleh dikreditkan kepada pakatan strategik Umno dengan Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pergi enam kali ke Nenggiri dan menangani kebimbangan pengundi di situ,” katanya kepada akhbar The Straits Times.
Media telah melaporkan penduduk Nenggiri mengadu pada 5 Ogos mengenai kekurangan ATM di kawasan undi itu.
Penduduk kampung berkata mereka terpaksa membayar RM50 ($15) tambang teksi pergi balik untuk perjalanan sejauh 50 kilometer, untuk mengeluarkan wang tunai dari Gua Musang atau bandar Dabong.
Sebagai tindak balas, Kementerian Kewangan berbincang dengan bank untuk menyelesaikan isu itu, dengan ATM dipasang hanya tiga hari sebelum hari undian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg