Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, menyaksikan seramai 20,259 pengundi bakal memilih wakil rakyat baru, bermula 8 pagi 17 Ogos.
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu membentuk sekitar 17,369 orang, manakala pengundi Orang Asli 2,738 dan selebihnya Cina dan India, sekali gus menjadikan Nenggiri kawasan majoriti Melayu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menjangkakan peratusan keluar mengundi akan mencapai 60 peratus.
Calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) dari Umno, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Perikatan Nasional (PN) Encik Mohd Rizwadi Ismail, yang bertanding di bawah logo Parti Islam SeMalaysia (PAS), akan berdepan pertandingan dua penjuru.
PRK Nenggiri adalah yang kesembilan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada November 2022.
Namun, ia agak berbeza dengan lapan PRK lain sebelum ini berikutan kekosongan kerusi DUN itu bukan kerana kematian mantan penyandang atau petisyen pilihan raya, sebaliknya kerana hilang keanggotaan parti selepas mengisytihar sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mantan Adun Nenggiri, Encik Mohd Azizi Abu Naim, hilang keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas parti itu meminda Perkara 10 perlembagaannya, yang melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Menyusuli itu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong luar jangka.
Cubaan Encik Mohd Azizi menghalang PRK Nenggiri dengan mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan di Mahkamah Tinggi juga gagal, selepas mendapati beliau tidak mengalami sebarang kemudaratan dengan pelaksanaan PRK itu.
Rata-rata pengamat politik meramalkan PN mampu mengekalkan penguasaan kerusi DUN Nenggiri, sekali gus menafikan cubaan Umno untuk merampas kerusi tradisi BN itu selama empat penggal sejak 2004.
Walaupun Umno mempertaruh keyakinan undi rakyat akan berpihak kepada Encik Mohd Azmawi, pelbagai isu nasional dan tempatan memanaskan tempoh kempen terutama terkait isu kos sara hidup dan pemilikan tanah penduduk.
Encik Mohd Azmawi Fikri dalam rayuan terakhirnya memohon pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dan memberi kemenangan kepada BN pada PRK DUN Nenggiri.
“Tiada apa lagi saya harapkan selain kemenangan dan untuk itu saya merayu semua pengundi memilih BN. Berilah mandat kepada BN untuk kerusi DUN Nenggiri dan saya berjanji akan melaksanakan tugas sebaik mungkin,” katanya.
Wakil pembangkang, Encik Mohd Rizwadi, 41 tahun, melalui tempoh kempen yang agak baik biarpun pada awalnya dihimpit kontroversi, susulan mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang itu baru dua hari menjadi ahli Bersatu sebelum diumum sebagai calon.
“Saya sudah berusaha sehabis baik mendekati semua lapisan pengundi termasuk masyarakat Orang Asli. Saya serahkan segala ketentuan kepada Allah dan berdoa semoga pengundi memilih PN,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg