Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Parti menang Selangor ada kelebihan tawan Dewan Undangan Negeri

Nov 09, 2022 | 05:30 AM



SELANGOR menjadi tumpuan parti politik yang ingin menguasai negeri terkaya di Malaysia itu, yang menawarkan 22 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.



Mentelah parti atau gabungan yang menang besar kerusi Parlimen di Selangor kali ini, dijangka mempunyai kelebihan untuk menguasai negeri yang menjadi 'jantung' Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) yang perlu diadakan menjelang Julai 2023.



PH, yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah), dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), mentadbir negeri yang menjadi nadi ekonomi Malaysia itu sejak 2008, apabila ia berjaya mengakhiri penguasaan Umno dan Barisan Nasional (BN).



Ia terus mendapat sokongan kuat pengundi, rata-rata dari bandar dan pinggir bandar, selain perubahan sokongan mendadak pengundi luar bandar berpihak padanya.



Pada PRU ke-14 pada 2018, PH, yang pada masa itu turut dianggotai Bersatu, menang 20 daripada 22 kerusi yang dipertandingkan, tetapi selepas berlaku kekecohan politik pada 2019, ia kehilangan kerusi Gombak, Ampang dan Kuala Langat, manakala Umno, yang menang dua kerusi, hilang satu kerusi kepada Bersatu.



Namun, demografi pengundi berubah apabila Akta Undi18 diperkenal membolehkan rakyat mencecah usia 18 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi sah. Di Selangor, kira-kira 273,703 pengundi berusia 18-20 tahun layak mengundi kali ini, sekali gus boleh merubah pola mengundi yang selama ini kecenderungan pilihan mereka sudah diketahui.



Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), kumpulan usia 21-59 tahun membentuk pengundi terbesar, iaitu 2,805,586 orang, daripada keseluruhan 3,677,848 pengundi di Selangor.



Yang menarik tentang Selangor ialah latar belakang pengundinya yang sebahagiannya datang dari pelosok lain Malaysia untuk mencari rezeki lalu mendaftar diri sebagai pengundi, walaupun ada masih sanggup pulang ke kampung, terutama dari Kelantan dan Terengganu, untuk mengundi atas faktor sentimen tempatan.



Bagi pengundi bukan anak tempatan, peluang pekerjaan, perniagaan, kediaman dan keselesaan hidup faktor utama yang mendorong mereka mengundi kerajaan pilihan mereka, dan setakat ini PH berjaya memenuhi kehendak pengundi tersebut selain tidak lupa mengutamakan anak tempatan.



Tidak hairan parti bertanding di Selangor berlumba-lumba mengetengahkan calon besar dan terkenal, selain mantan menteri yang mempunyai rekod cemerlang, untuk merebut seberapa banyak kerusi yang ditawarkan bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan Persekutuan.



PH mendahului parti lain dengan meletak pemimpin tertingginya, antaranya timbalan presiden PKR, Encik Rafizi Ramli, di di Pandan; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, di Gombak; presiden Amanah, Encik Mohamad Sabu, di Kota Raja, dan pengarah strategi, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad, di Kuala Selangor.



DAP, yang bertanding empat kerusi Parlimen, meletak dua mantan menteri, Encik Gobind Singh Deo dan Cik Yeo Bee Yin, masing-masing di Damansara dan Puchong.



Umno dan BN, yang mempunyai misi mahu merampas Selangor pada PRN 2023, meletak calon besar seperti mantan menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, dan mantan menteri kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, di Sungai Buloh dan Kuala Selangor.



Tidak mudah menawan kembali Selangor, yang pengundinya peka mengenai perkembangan semasa melibatkan isu kebangsaan atau tempatan hasil pendedahan kepada media arus perdana dan media sosial, selain majoriti mereka golongan profesional Melayu, Cina dan India.



Oleh itu, nama besar seperti Encik Khairy dan Datuk Tengku Zafrul, yang sudah diuji sebagai menteri, dapat membuka mata dan minda pengundi bahawa Umno bersedia mendengar rintihan rakyat dan berupaya melontar idea baru di Parlimen, dan bukannya 'jaguh menjerit' yang sinonim dengan beberapa Anggota Parlimen (AP) Umno sebelum ini.



Perikatan Nasional (PN), yang kali pertama menyertai PRU, juga meletak nama besar, seperti mantan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Datuk Seri Azmin Ali; mantan menteri pembangunan keluarga dan wanita, Datuk Seri Rina Harun; dan mantan timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi, Datuk Muslim Yahaya, selain rakan komponen PAS yang juga menampilkan tokoh agama.



Namun, kebanyakan calon PN yang sebelum ini daripada PKR atau Umno bakal melalui jalan sukar untuk menemui semula pengundi yang memilih mereka pada 2018 atas tiket dua parti itu. Perbuatan mereka melompat parti menimbul kemarahan pengundi yang memilih mereka.



Apa jua alasan yang diberi Datuk Azmin dan rakannya meninggalkan PKR, beliau berdepan dengan pengundi marah akan tindakannya mengkhianati perjuangan PH demi laba peribadi. Ini selain sentimen pengkhianatan yang dimainkan PKR.



Tarikh 19 November akan menentukan apakah nama besar seperti Encik Khairy, Datuk Tengku Zafrul dan Datuk Azmin akan merubah landskap politik Selangor dan Lembah Klang, yang sudah 14 tahun dalam penguasaan PH.



PH pula, yang semakin diterima pengundi terutama pengundi atas pagar sejak akhir-akhir ini - lepas kekalahan teruk mereka di PRN Melaka dan Johor - yakin, berdasarkan kajian dan temu bual melalui telefon, ia boleh menang PRU kali ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >