Topik diikuti
Pergi ke BHkuParti Netanyahu dakwa Qatar bantu ‘curi’ pilihan raya Israel susulan kejayaan pengundi Arab
Parti Netanyahu dakwa Qatar bantu ‘curi’ pilihan raya Israel susulan kejayaan pengundi Arab
Parti Netanyahu dakwa Qatar bantu ‘curi’ pilihan raya Israel susulan kejayaan pengundi Arab
TEL AVIV: Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mendakwa pilihan raya negara itu telah “dicuri” susulan peningkatan luar biasa jumlah pengundi Arab dan kejayaan parti-parti yang mewakili masyarakat Palestin memenangi 19 kerusi Parlimen.
Dakwaan itu mencetuskan pertikaian politik baru ketika blok pembangkang berusaha membentuk pemerintah bagi menamatkan pemerintahan Encik Netanyahu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa pilihan raya Israel dan pemimpin pembangkang menolak tuduhan tersebut kerana tiada bukti kukuh yang menunjukkan keputusan pengundian telah dimanipulasi.
Dalam kenyataan pada 29 Oktober, parti Likud memberi amaran mengenai apa yang disifatkannya sebagai usaha “mengIslamkan Israel”, selepas agensi perisikan domestik Shin Bet diminta menyiasat dakwaan campur tangan asing dalam pilihan raya.
Ahli politik dan media yang menyokong pemerintah mendakwa Qatar membiayai usaha menggalakkan rakyat Palestin yang mempunyai kewarganegaraan Israel keluar mengundi.
Anak Encik Netanyahu, Encik Yair Netanyahu, turut mengulangi tuduhan itu menerusi platform X, dengan mendakwa Qatar, Turkey dan beberapa negara Arab lain telah “mencuri” pilihan raya Israel.
Namun, Qatar menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tuduhan yang “tidak masuk akal dan berbahaya”.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, berkata tindakan sesetengah ahli politik Israel yang berulang kali mengaitkan negaranya dengan pilihan raya mencerminkan sikap terlalu taksub terhadap Qatar.
“Qatar tidak sepatutnya dijadikan kambing hitam bagi kegagalan politik sesetengah ahli politik Israel,” tegas beliau.
Keputusan pilihan raya menyaksikan parti-parti pimpinan masyarakat Palestin, yang bertanding menerusi dua gabungan berasingan, memenangi keseluruhan 19 kerusi di Knesset, iaitu Parlimen Israel.
Pencapaian itu berpotensi menjadikan mereka penentu dalam rundingan pembentukan kerajaan campuran, khususnya jika blok pembangkang memerlukan sokongan mereka untuk memperoleh majoriti.
Bagaimanapun, kedua-dua gabungan menolak tuduhan campur tangan asing dan menuduh Encik Netanyahu cuba mempertikaikan kesahihan undi masyarakat Arab.
Gabungan Joint List menegaskan bahawa masyarakat Arab tidak lagi akan mempertahankan diri daripada tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh golongan berhaluan kanan.
“Kami sudah tidak mahu lagi meminta maaf atau mempertahankan diri daripada pembohongan kotor dan tuduhan tidak berasas oleh golongan kanan yang enggan menerima keputusan pilihan raya,” menurut kenyataannya.
Pemimpin parti Ra’am, Encik Mansour Abbas, turut menafikan sebarang pembabitan dalam dakwaan campur tangan asing dan berjanji memberikan kerjasama penuh kepada siasatan.
Beliau turut menyindir Encik Netanyahu berhubung dakwaan hubungan individu dalam pejabat Perdana Menteri dengan Qatar.
Sementara itu, pemimpin utama pembangkang, Encik Gadi Eisenkot, menuduh Likud melancarkan kempen terancang untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keputusan pilihan raya.
Menurut beliau, tindakan itu bertujuan menghalang usaha pembangkang membentuk pemerintah baru.
Kontroversi itu semakin hangat selepas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel, Hakim Noam Sohlberg, meminta ketua Shin Bet, Encik David Zini, menyiasat kemungkinan campur tangan asing melalui pembiayaan kegiatan berkaitan pilihan raya.
Bagaimanapun, surat beliau tidak menamakan mana-mana negara atau individu yang disyaki terlibat.
Menurut laporan akhbar Haaretz, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai dakwaan bahawa Qatar membiayai usaha meningkatkan jumlah pengundi Arab.
Namun, Ketua Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat, Encik Dean Livne, menegaskan bahawa tiada asas untuk mendakwa pilihan raya telah dicuri atau berlaku penipuan secara sistematik.
Shin Bet turut menjelaskan bahawa siasatannya mempunyai skop terhad dan tidak bermakna seluruh masyarakat Arab terlibat dalam sebarang salah laku.
Dalam perkembangan lain, sekutu berhaluan kanan Encik Netanyahu meningkatkan tekanan terhadap pemimpin politik Arab.
Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben Gvir, menggesa Shin Bet menangkap pemimpin parti Arab dan individu yang disyaki terbabit dalam campur tangan asing, termasuk mereka yang didakwanya mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin.
Tokoh berhaluan kanan, Encik Moshe Feiglin, pula menggesa keputusan pilihan raya dibatalkan, manakala anggota Parlimen parti Otzma Yehudit, Encik Yitzhak Kroizer, menyeru rakyat Israel mempersenjatai diri kerana bimbang berlaku penganasan.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan masyarakat Arab dan kemungkinan pertikaian politik mencetuskan perpecahan lebih mendalam.
Keputusan awal menunjukkan blok Encik Netanyahu memperoleh 53 kerusi, manakala pembangkang pimpinan Encik Eisenkot mendapat 48 kerusi.
Dengan 19 kerusi yang dijangka dimenangi parti-parti Arab, tiada blok mencapai majoriti 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk pemerintah dalam Knesset yang mempunyai 120 kerusi.
Keadaan itu meletakkan parti-parti Arab dalam kedudukan penting untuk menentukan siapa bakal menjadi Perdana Menteri Israel.
Bagaimanapun, kerjasama dengan parti Arab masih menjadi isu sensitif dalam politik Israel kerana beberapa parti pembangkang Yahudi sebelum ini menolak kemungkinan membentuk pemerintah dengan sokongan mereka.
Penganalisis melihat serangan politik terhadap parti Arab sebagai usaha meningkatkan tekanan terhadap Encik Eisenkot supaya tidak bekerjasama dengan mereka.
Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, turut mengingatkan pemimpin politik supaya tidak mencemarkan nama seluruh masyarakat Arab hanya kerana mereka menggunakan hak demokrasi untuk mengundi. - Agensi berita