Parti-parti Bangladesh guna kebangkitan 2024 pada hari terakhir kempen pilihan raya
Parti-parti Bangladesh guna kebangkitan 2024 pada hari terakhir kempen pilihan raya
DHAKA: Kempen pilihan raya Bangladesh memasuki hari terakhirnya pada 9 Februari sebelum pengundian bermula minggu ini, dengan parti-parti bersaing dengan menggunakan kebangkitan 2024 yang menamatkan pemerintahan autokratik mantan perdana menteri Sheikh Hasina.
Puluhan ribu penyokong yang mengibarkan bendera menyertai beberapa perhimpunan saingan di seluruh ibu kota yang luas, Dhaka, ketika parti-parti-parti giat berusaha memanfaatkan legasi kebangkitan besar-besaran itu.
Mereka juga mengemukakan visi perubahan untuk negara yang mempunyai 170 juta penduduk dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 12 Februari.
Negara Asia Selatan itu akan memilih parlimen yang mempunyai 350 kerusi, dengan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) – pimpinan Encik Tarique Rahman, yang kembali pada Disember selepas 17 tahun hidup dalam buangan.
Beliau secara meluas disebut-sebut sebagai calon utama.
Saingan utama BNP ialah Jamaat-e-Islami, parti Islam terbesar Bangladesh yang diketuai oleh Encik Shafiqur Rahman dan telah bersekutu dengan Parti Warga Negara Kebangsaan (NCP), dibentuk oleh pemimpin pelajar yang menerajui kebangkitan itu.
Calon Perdana Menteri, Encik Tarique, kelihatan yakin ketika beliau melompat ke atas pentas untuk berucap di depan ribuan penyokong setia BNP yang mengibarkan bendera dan simbol parti, seikat beras dan menyambut pemimpin mereka seolah-olah berada di konsert rok.
“BNP sahaja yang mempunyai rancangan untuk mentadbir negara dan pengalaman untuk berbuat demikian,” katanya, merujuk kepada mendiang ibu bapanya, Encik Ziaur Rahman dan Cik Khaleda Zia, yang kedua-duanya pernah memimpin negara.
Encik Rahman, 60 tahun, yang lebih dikenali di Bangladesh sebagai Tarique Zia, mengambil alih kepimpinan BNP daripada ibunya, Cik Khaleda Zia, yang meninggal dunia pada Disember.
Cik Hasina digulingkan pada 5 Ogos 2024, selepas 15 tahun berkuasa, dan parti Liga Awami pimpinannya telah diharamkan oleh pemerintah sementara daripada bertanding dalam pilihan raya.
Beliau kini bersembunyi di India.
Beliau yang dikenali kerana pemerintahan kuku besinya, telah dijatuhkan hukuman mati tanpa kehadiran pada November atas jenayah terhadap kemanusiaan – tindakan keras yang membawa maut terhadap penunjuk perasaan dalam usahanya yang gagal untuk memegang kuasa.
Ketua Jamaat-e-Islami, Encik Shafiqur, yang mengetuai gabungan parti-parti Islam yang secara ideologinya sehaluan dengan Ikhwanul Muslimin, turut mengetuai perhimpunan yang penuh sesak.
“Jika Jamaat berkuasa, pemerasan dan keganasan akan berkurangan. Mereka akan tegakkan keadilan,” kata Encik Ashikuzzaman Shaon, seorang pelajar berusia 21 tahun. –AFP.

