NUUK, Greenland: Parti pembangkang pro-niaga, Demokraatit, muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya Parlimen Greenland pada 11 Mac, menewaskan gabungan pemerintah haluan kiri dalam satu pilihan raya yang dibayangi oleh minat terbuka Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menguasai pulau Artik tersebut.
Demokraatit yang menyokong pendekatan berperingkat terhadap kemerdekaan daripada Denmark, memperoleh 29.9 peratus undi, melonjak jauh berbanding 9.1 peratus pada tahun 2021. Parti pembangkang pro-kemerdekaan, Naleraq, di tempat kedua dengan 24.5 peratus undi.
Sejak mengangkat sumpah pada Januari lalu, Encik Trump menyatakan hasratnya untuk menjadikan Greenland, wilayah autonomi Denmark, sebagai sebahagian daripada Amerika Syarikat atas alasan kepentingan keselamatan. Namun, majoriti rakyat Greenland menolak idea itu.
Ketua Demokraatit, Jens-Frederik Nielsen, menyuarakan aspirasi rakyat: “Rakyat mahukan perubahan… Kita perlukan pertumbuhan ekonomi untuk membiayai kebajikan sosial.”
“Kita tidak mahu kemerdekaan esok. Kita perlukan asas yang kukuh terlebih dahulu,” katanya kepada wartawan di Nuuk.
Beliau kini dijangka membentuk pemerintahan baru melalui perbincangan dengan parti-parti lain. Sementara itu, gabungan pemerintah semasa, Inuit Ataqatigiit dan Siumut, yang juga menyokong laluan berperingkat ke arah kemerdekaan, hanya memperoleh 36 peratus undi, jauh menurun berbanding 66.1 peratus pada 2021.
Greenland, bekas tanah jajahan Denmark sejak 1953, memperoleh kuasa autonomi terhad pada tahun 1979. Namun, bidang kuasa luar negara, pertahanan dan kewangan masih dikendalikan oleh Copenhagen, yang menyumbang hampir AS$1 bilion ($1.3 bilion) setiap tahun kepada ekonomi Greenland.
Walaupun Greenland diberi hak untuk merdeka melalui referendum pada 2009, kebimbangan terhadap kejatuhan taraf hidup telah menyebabkan langkah itu belum diambil.
“Saya yakin kita akan mula hidup berdasarkan budaya dan bahasa kita sendiri, dengan undang-undang yang kita tentukan sendiri, bukan lagi mengikut Denmark,” kata calon Naleraq, Qupanuk Olsen.
Calon dari parti pemerintah, Inge Olsvig Brandt, pula menegaskan: “Kemerdekaan bukan keutamaan sekarang. Kita perlu pulihkan diri dahulu, dan memahami sejarah serta identiti kita sebelum melangkah ke fasa seterusnya.”
Kempen pilihan raya kali ini turut dicemari oleh kenyataan kontroversi Trump, yang tidak menolak penggunaan kekerasan tentera dalam cubaan menguasai Greenland, sebelum menyatakan kesediaan untuk “melabur berbilion dolar” sekiranya rakyat bersetuju untuk bergabung dengan AS.
“Kami tak mahu jadi sebahagian daripada AS. Sebabnya jelas, sistem kesihatan dan Trump,” kata Tuuta Lynge-Larsen, seorang kakitangan bank di Nuuk. “Kami tak selesa dengan perhatian yang berlebihan ini.”
Greenland kaya dengan sumber galian termasuk nadir bumi yang penting untuk industri teknologi tinggi. Namun, eksploitasi seumber masih terbatas kerana cuaca ekstrem, kebimbangan alam sekitar, dan dominasi China dalam sektor berkenaan.
“Saya faham mengapa rakyat berasa tidak selamat. Trump cuba mempengaruhi kita,” kata Erik Jensen, ketua parti Siumut.
Perdana Menteri Greenland, Mute Egede, sebelum ini menegaskan bahawa Greenland “bukan untuk dijual” dan menggesa pembentukan pemeriuntah campuran yang luas bagi mengukuhkan pendirian terhadap tekanan luar.
“Tawaran Trump itu menghina. Kami terbuka untuk kerjasama dengan negara lain, tetapi kami akan tentukan masa depan kami sendiri,” kata Egede dalam satu wawancara bersama penyiar Denmark, DR.
“Kami tak perlukan pemisahan segera. Tapi suara kita semakin kuat. Kemenangan ini memberi kami peluang untuk menentukan masa depan atas landasan kita sendiri,” kata Jens-Frederik Nielsen, menutup sidang medianya. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg