WEST PALM BEACH, FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump, dilaporkan serius mahu mendapatkan Greenland sebagai usaha memperluas pengaruh Amerika di Hemisfera Barat dan mengukuhkan legasi pentadbirannya.
Hasrat ini telah mengejutkan sekutu Eropah yang bimbang terhadap kestabilan sempadan global ketika situasi geopolitik semakin tegang.
Menurut sumber yang rapat dengan pemikiran Trump, beliau tidak menolak kemungkinan menggunakan tindakan diplomatik atau ekonomi untuk mencapai hasrat itu selepas beliau memegang jawatan pada 20 Januari.
“Legasi sebenar ialah anda telah memperluaskan Amerika Syarikat. Dalam 70 tahun, tiada satu pun wilayah baharu ditambah ke portfolio negara ini,” kata seorang individu yang diberi taklimat mengenai perbincangan dalaman bersama Encik Trump.
Greenland, wilayah Denmark yang memiliki 57,000 penduduk, kini menguruskan hal ehwal domestiknya sendiri.
Walaupun Encik Trump pernah membangkitkan idea membeli Greenland semasa penggal pertamanya, komen terbarunya menunjukkan keinginan mendalam yang bukan sekadar fantasi sementara.
Encik Trump melihat Greenland sebagai aset strategik untuk keselamatan negara. Dengan sumber minyak, gas, dan mineral yang berharga serta kedudukan penting di laluan perkapalan Artik, Greenland juga menjadi lokasi pangkalan tentera Amerika Syarikat di utara.
Encik Trump turut menyatakan kebimbangannya terhadap pengaruh Russia dan China di rantau tersebut. “Setiap keputusan Presiden Trump dibuat demi kepentingan Amerika Syarikat dan rakyatnya,” kata jurucakap Encik Trump, Cik Karoline Leavitt.
Denmark dengan tegas menolak cadangan tersebut, menyatakan bahawa Greenland bukan untuk dijual.
Walaupun Denmark pernah menolak tawaran rahsia Presiden Harry Truman pada 1946 untuk membeli Greenland dengan harga ASS$100 juta ($137 juta).
Encik Trump dikatakan mempertimbangkan pelbagai strategi baharu, termasuk Perjanjian Persatuan Bebas atau Compact of Free Association (COFA) jika Greenland menjadi bebas sepenuhnya.
Penasihat Encik Trump juga memaklumkan bahawa rancangan ini termasuk memperkukuhkan kehadiran Amerika di Artik dan mengurangkan pengaruh Russia di kawasan itu.
Namun, pengkritik berpendapat bahawa rancangan Encik Trump ini lebih kepada memenuhi aspirasi peribadi untuk mencipta legasi. “Trump ingin dikenang sebagai pemimpin yang memperluaskan wilayah Amerika, seperti bekas Presiden William McKinley,” kata seorang penasihat keselamatan negara yang pernah bekerja dengan Encik Trump.
Idea Trump untuk membeli Greenland pertama kali dibangkitkan pada 2017 dan menjadi lebih serius pada 2019. Namun, apabila hasrat ini diketahui umum melalui laporan media, Denmark secara terbuka menolak cadangan tersebut, menyebabkan pentadbiran Trump tidak mengambil langkah lanjut.
Walaupun rancangan ini belum jelas, usaha untuk mendapatkan Greenland mencerminkan pendekatan luar biasa Trump terhadap dasar luar Amerika Syarikat, yang sering kali mencetuskan kontroversi. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg