Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan Korea Selatan ditahan; disyaki bunuh bayi berusia lima hari

Jul 3, 2023 | 3:55 PM
CARI BUKTI: Pasukan polis mencari bukti berkaitan kes kematian seorang bayi yang disyaki dibunuh ibu bapanya.
CARI BUKTI: Pasukan polis mencari bukti berkaitan kes kematian seorang bayi yang disyaki dibunuh ibu bapanya. - Foto AGENSI POLIS WILAYAH GYEONGNAM

SEOUL: Satu pasangan suami isteri sedang ditahan dan disiasat polis kerana disyaki menanam bayi lelakinya berusia lima hari dan merahsiakannya.

Ini adalah kejadian terbaru dalam beberapa insiden mendera kanak-kanak yang diketahui, selepas pemerintah Korea Selatan melancarkan siasatan untuk memeriksa keadaan dan status lebih 2,000 kelahiran bayi yang tidak didaftarkan sejak 2015, berikutan penemuan dua bayi yang baru lahir di dalam sebuah peti sejuk pada Jun.

Waran tangkap telah dikeluarkan ke atas seorang lelaki berusia 20-an tahun dan seorang wanita berusia 30-an, lapor Agensi Polis Wilayah Gyeongnam, pada Ahad lalu.

Mahkamah Daerah Changwon mengeluarkan waran tangkap itu kerana besar kemungkinan pasangan itu akan melarikan diri.

Pasangan itu dikatakan telah mencekik leher bayi lelakinya dan membuang mayat bayi tersebut di sebuah sungai berdekatan di Geoje, di wilayah selatan Gyeongsang, Korea Selatan.

Menurut polis, bayi itu dilahirkan pada September 2022 dan dibenarkan dibawa pulang empat hari kemudian.

Pasangan itu mulanya mengatakan bayi itu telah meninggal dunia selepas dibawa keluar daripada hospital.

Mereka juga mendakwa telah menanam bayi tersebut, kerana mengalami kesulitan kewangan dan tidak mampu untuk menjalankan upacara pembakaran mayat.

Pasangan tu berkata mereka khuatir ibu bapa mereka akan memisahkan mereka jika diketahui tentang kehamilan itu.

Pemerintah wilayah Goseong mendapati pasangan itu tidak mendaftarkan kelahiran bayi tersebut dan melaporkan kepada pihak polis tentang kehilangan bayi itu, pada Khamis.

Polis mengerahkan sekitar 80 anggota termasuk polis pencegah rusuhan untuk mencari di sekitar kawasan pergunungan yang dinamakan oleh bapa bayi itu, tetapi tidak menjumpai sebarang mayat.

Setelah menjalani siasatan lanjut, bapa bayi itu mengaku telah mencekik bayinya dan cuba menanamnya di kawasan semak, tetapi beralih ke lokasi lain kerana terlalu ramai orang berulang alik di situ.

Polis kini menumpukan siasatan untuk mengesan mayat bayi itu dengan bantuan anggota pengawal pantai. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg