JAKARTA: Sidang pleno Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada 9 Julai bersetuju membentuk sebuah pasukan penyiasat untuk menyiasat pengendalian ibadah haji, yang berakhir Jun, oleh pemerintah.
Keputusan itu dibuat berikutan banyak aduan mengenai bekalan logistik, kapasiti tempat tinggal, dan pengangkutan untuk jemaah haji Indonesia sepanjang 40 hari di Makkah dan Madinah, lapor Jakarta Globe.
Indonesia kerap menghantar lebih 200,000 anggota jemaah haji setiap tahun, tetapi berjuta-juta kekal dalam senarai menunggu, hingga ada menunggu lebih sedekad bagi giliran mereka.
Timbalan Speaker DPR, Encik Muhaimin Iskandar, berkata pasukan penyiasat itu akan terdiri daripada 30 anggota parlimen daripada pelbagai parti.
Pasukan itu termasuk tujuh anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P); masing-masing empat daripada Parti Golkar dan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra); masing-masing tiga daripada Parti Kebangkitan Nasional (PKB), Parti Demokrat Nasional ( Nasdem), Parti Demokrat, dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS); dua daripada Parti Amanat Nasional (PAN), dan satu daripada Parti Pembangunan Bersatu (PPP).
Encik Muhaimin berkata Pasukan Pengawas Haji Dewan sebelum ini mengenal pasti banyak isu dalam pengendalian jemaah haji Indonesia di Arab Saudi, khususnya berkaitan logistik dan penginapan.
Pasukan penyiasat itu bertujuan mencari penyelesaian kepada masalah yang berulang itu dan mengelakkan ia daripada berlaku lagi pada ibadah haji akan datang, katanya.
Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Yaqut Cholil Qoumas, berkata kementeriannya bersedia untuk siasatan berhubung pengurusan haji 2024.
“Nah, kita ikut siasatan perundangan kerana ia dijamin oleh Perlembagaan,” katanya, menjawab soalan mengenai pembentukan pasukan itu.
Dilaporkan sebelum ini bahawa pasukan pemantau haji DPR mendapati khemah jemaah Indonesia di Mina menyerupai “kem pelarian.”
“Kami kesal dengan layanan buruk yang diberikan kepada jemaah haji kami di Mina,” kata Encik Wisnu Wijaya Adiputra, anggota pasukan pemantau haji DPR, dalam satu kenyataan media.
Oleh kerana kapasiti khemah terhad, beberapa anggota jemaah terpaksa tinggal di khemah yang padat tanpa pengasingan jantina, dedahnya.
Encik Adiputra berkata beberapa jemaah haji, terutamanya warga emas, memilih untuk tinggal di luar bagi mengelakkan khemah penuh sesak yang keadaannya menyerupai “khemah pelarian”.
Pasukan pemantau haji juga menemui sebuah khemah di Mina yang berkapasiti 80 orang terpaksa menempatkan kira-kira 1,200 orang, tambahnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg