Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen Indo bakal nilai pengurusan haji

Jun 19, 2024 | 12:12 PM
haji
Sebuah pasukan petugas telah dibentuk oleh Parlimen Indonesia untuk menilai pengurusan jemaah haji negara itu yang menghadapi pelbagai masalah termasuk tempat penginapan, makanan dan pengangkutan. - Foto FACEBOOK INFORMASI HAJI

JAKARTA: Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) merancang menilai pengurusan haji 2024, berikutan masalah berulang yang melanda jemaah haji Indonesia di Arab Saudi, termasuk tentang tempat penginapan dan keracunan makanan.

Suruhanjaya VIII DPR yang menyelia hal ehwal agama dan sosial berkata pasukan petugas akan dibentuk sejurus selepas musim haji 2024 berakhir.

Ia khusus untuk mengkaji bagaimana Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan haji dan menyelaras dengan pihak ketiga di Saudi dan bagaimana dana jemaah haji dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Dana (BKPH).

Rancangan itu dibuat selepas beberapa masalah dibongkar oleh sepasukan Ahli Parlimen yang memeriksa penganjuran haji di Arab Saudi, dengan aduan paling banyak diterima adalah berkaitan khemah sementara untuk menempatkan jemaah haji Indonesia di Mina dan Arafah.

Khemah-khemah itu, sama ada ditempah dua kali, penuh sesak, kekurangan katil yang selesa atau alat penyaman udara yang rosak.

Contohnya, ditemui di sebuah kem yang terletak di Mina, tempat sebilangan jemaah haji Indonesia terpaksa meninggalkan khemah mereka gara-gara tempahan berganda.

“Terdapat laporan bahawa (jemaah haji dari) Trenggalek di Jawa Timur dan Cirebon di Jawa Barat secara tiba-tiba diarah keluar dari khemah mereka, kerana khemah itu sebenarnya sudah dikhaskan untuk jemaah haji lain,” kata seorang anggota pasukan pemeriksa, Cik Ina Ammania, dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pada 17 Jun.

Sebuah kem untuk jemaah haji Indonesia di Arafah turut dilaporkan sesak, dengan kapasiti awal hanya sekitar 360 orang, tetapi akhirnya menempatkan 400 anggota jemaah.

Ketua pasukan haji DPR, Encik Muhaimin Iskandar dari Parti Kebangkitan Negara (PKB) menyuarakan masalah bilangan tandas dan bilik air, yang sangat terhad untuk jemaah warga emas dan orang kurang upaya.

Kejadian keracunan makanan telah menyebabkan hampir 100 jemaah haji Indonesia mengalami pening dan cirit-birit.

Seorang anggota pasukan penyiasat DPR, Cik Endang Maria Astuti, dari Parti Golkar menimbulkan persoalan mengenai mutu makanan yang dihidangkan, yang katanya hanya bernilai 10 riyal ($3.60), jauh daripada kontrak nominal 15 riyal.

Ibadah haji 2024 juga dicemari dengan kelewatan pesawat Garuda Indonesia membawa jemaah haji Indonesia ke Arab Saudi akibat kerosakan mekanikal.

Seorang pakar dasar awam, Encik Trubus Rahadiansyah, memberitahu The Jakarta Post bahawa berulangnya masalah haji yang melanda jemaah haji Indonesia, adalah petunjuk perbuatan keji yang berleluasa.

Ia dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam penganjuran haji, termasuk pegawai di Kementerian Hal Ehwal Agama dan syarikat pelancongan haji, dakwanya.

Oleh itu, beliau meragui pembentukan pasukan petugas oleh DPR akan memberi kesan dalam menangani masalah berterusan itu, melainkan mereka melaporkan pelaku yang didakwa kepada agensi penguatkuasaan undang-undang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg