SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pasukan pengaman PBB dakwa kereta kebal Israel rempuh kenderaannya di selatan Lebanon

Pasukan pengaman PBB dakwa kereta kebal Israel rempuh kenderaannya di selatan Lebanon

Apr 13, 2026 | 12:28 PM

Pasukan pengaman PBB dakwa kereta kebal Israel rempuh kenderaannya di selatan Lebanon

unifil
Anggota Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil), meronda jalan raya di kampung Tair Debba di selatan Lebanon dengan kenderaan berperisai, pada 12 April. - Foto AFP

BEIRUT: Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil) menyatakan, sebuah kereta kebal Israel telah merempuh kenderaannya di selatan negara itu pada 12 April.

“Dua kali hari ini, askar Angkatan Pertahanan Israel (IDF) merempuh kenderaan Unifil dengan kereta kebal Merkava, dalam satu kes menyebabkan kerosakan yang ketara,” kata kenyataan itu.

Ia menambah bahawa askar Israel telah menyekat jalan di Bayada selatan Lebanon yang digunakan untuk mengakses kedudukan Unifil.

“Sepanjang minggu lalu, askar Israel telah melepaskan tembakan amaran di kawasan itu, mengenai dan merosakkan kenderaan Unifil yang boleh dikenal pasti dengan jelas.

“Dalam satu kes, tembakan amaran dilepaskan satu meter dari seorang anggota pengaman yang turun daripada kenderaannya.

“Askar Israel terus menyekat pergerakan pasukan pengaman di jalan berkenaan sejak kebelakangan ini, selain tidak memberikan mereka kebebasan bergerak yang turut direkodkan di kawasan lain,” kata kenyataan itu.

Anggota Unifil meronda di selatan Lebanon berhampiran sempadan Israel.

Ia merupakan tempat Israel dan Hezbollah berperang sejak Mac selepas kumpulan militan yang disokong Iran itu menyertai Lebanon dalam perang Timur Tengah dengan tembakan roket ke arah Israel untuk menyokong Iran.

Pada Mac, tiga anggota pengaman Indonesia terbunuh di selatan Lebanon, dan siasatan awal PBB mendapati seorang terbunuh akibat tembakan kereta kebal Israel, manakala dua yang lain terbunuh akibat alat letupan buatan sendiri yang mungkin ditanam oleh Hezbollah.

Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata:

“Ini adalah dapatan awal berdasarkan bukti fizikal permulaan. Proses siasatan penuh masih berjalan termasuk penglibatan semua pihak berkaitan,” katanya.

Anggota pengaman Unifil yang lain juga cedera sejak perang meletus.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai “tidak boleh diterima” dan memberi amaran bahawa serangan terhadap anggota pengaman PBB boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

“Serangan terhadap anggota pengaman PBB mungkin merupakan jenayah perang,” tegasnya.

PBB memaklumkan dapatan awal siasatan telah dikongsi dengan pemerintah Indonesia, Israel dan Lebanon, sambil menegaskan bahawa siasatan penuh akan diteruskan melalui lembaga siasatan rasmi.

Encik Dujarric menegaskan semua pihak perlu dipertanggungjawabkan atas tragedi tersebut.

“Kami meminta pihak berkuasa negara berkaitan menyiasat dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab supaya keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Unifil turut memaklumkan tentera Israel telah menahan seorang anggota pengaman selepas menyekat konvoi logistik, sebelum membebaskannya kurang sejam kemudian.

Pada April, “askar Israel juga telah memusnahkan kamera perlindungan pasukan” di ibu pejabat Unifil di Naqura “dan lima kedudukan lain”, tambah kenyataan itu.

Askar Israel juga telah “menyembur cat pada tingkap pintu masuk pejalan kaki ibu pejabat Unifil, sekali gus menjejas penglihatan ke bahagian luar”, tambahnya.

Unifil berkata tindakan itu tidak selaras dengan “keperluan untuk memastikan keselamatan dan keamanan anggota pengaman”.

Pasukan pengaman PBB telah berkhidmat sebagai penampan antara Lebanon dengan Israel selama beberapa dekad, tetapi mandat mereka akan tamat pada akhir 2026. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg