SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Siasatan PBB: Punca kematian anggota pengaman Indonesia libatkan Israel, Hezbollah

Siasatan PBB: Punca kematian anggota pengaman Indonesia libatkan Israel, Hezbollah

Insiden boleh diklasifikasi sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa
Apr 8, 2026 | 11:46 AM

Siasatan PBB: Punca kematian anggota pengaman Indonesia libatkan Israel, Hezbollah

pbb, israel
Ahli keluarga anggota tentera Indonesia, Mejar Zulmi Aditya Iskandar, yang terkorban ketika bertugas bersama Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) di selatan Lebanon, berada di sisi keranda beliau ketika tiga keranda anggota tentera Indonesia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang pada 4 April. - Foto AFP

NEW YORK: Siasatan awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati seorang anggota pengaman Indonesia di Lebanon terbunuh akibat tembakan peluru kereta kebal Israel, manakala dua lagi maut akibat letupan peranti buatan sendiri yang dipercayai dipasang oleh Hezbollah.

Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata dapatan tersebut masih bersifat awal dan berdasarkan bukti fizikal di tempat kejadian, dengan siasatan penuh masih diteruskan.

“Ini adalah dapatan awal berdasarkan bukti fizikal permulaan. Proses siasatan penuh masih berjalan termasuk penglibatan semua pihak berkaitan,” katanya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai “tidak boleh diterima” dan memberi amaran bahawa serangan terhadap anggota pengaman PBB boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

“Serangan terhadap anggota pengaman PBB mungkin merupakan jenayah perang.

“Semua pihak perlu memastikan keselamatan dan perlindungan anggota PBB dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Menurut siasatan awal, kejadian pertama pada 29 Mac melibatkan tembakan peluru 120mm yang mengenai kedudukan Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).

Analisis serpihan peluru dan kesan letupan menunjukkan ia dilepaskan dari kereta kebal Merkava milik tentera Israel, dipercayai dari arah timur ke kawasan Ett Taibe.

Seorang anggota pengaman, Koperal Farizal Rhomadon, terbunuh dalam serangan tersebut.

Sehari kemudian, dua lagi anggota pengaman Mejar Zulmi Aditya Iskandar, dan Sarjan Satu Mohammed Nur Ichwan, maut apabila kenderaan konvoi logistik mereka musnah akibat letupan di tepi jalan berhampiran Bani Hayyan.

Siasatan mendapati letupan itu berpunca daripada peranti letupan buatan sendiri yang diaktifkan mangsa, dipercayai menggunakan perangkap wayar.

“Berdasarkan lokasi, jenis peranti dan keadaan keselamatan, peranti itu berkemungkinan besar dipasang oleh Hezbollah,” tambah laporan penilaian awal PBB.

PBB memaklumkan bahawa dapatan awal siasatan telah dikongsi dengan pemerintah Indonesia, Israel dan Lebanon, sambil menegaskan bahawa siasatan penuh akan diteruskan melalui lembaga siasatan rasmi.

Encik Dujarric menegaskan bahawa semua pihak perlu dipertanggungjawabkan atas tragedi tersebut.

“Kami meminta pihak berkuasa negara berkaitan menyiasat dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab supaya keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemudahan dan anggota PBB dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak boleh menjadi sasaran dalam apa jua keadaan.

Dalam perkembangan berasingan, Unifil memaklumkan tentera Israel telah menahan seorang anggota pengaman selepas menyekat konvoi logistik, sebelum membebaskannya kurang sejam kemudian.

Jurucakap Unifil, Encik Kandice Ardiel, menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

“Sebarang penahanan anggota pengaman PBB adalah pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa,” katanya.

Unifil turut menegaskan bahawa sebarang gangguan terhadap pergerakan pasukan pengaman melanggar Ketetapan 1701 Majlis Keselamatan PBB yang menjamin kebebasan operasi mereka di selatan Lebanon.

Kejadian itu berlaku ketika ketegangan di sempadan Lebanon-Israel terus memuncak, dengan pertukaran tembakan semakin kerap berlaku antara tentera Israel dengan kumpulan bersenjata yang disokong Iran.

Serangan udara Israel turut menyebabkan kematian orang awam termasuk wartawan dan petugas perubatan, manakala serangan berterusan memaksa konvoi bantuan kemanusiaan berpatah balik.

Dalam satu kejadian pada 7 April, konvoi bantuan yang dianjurkan oleh kedutaan Vatican untuk sebuah bandar Kristian yang terkepung terpaksa dihentikan akibat pengeboman berterusan. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg