KAHIRAH: Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera Sudan berkata ia terbuka kepada gencatan senjata jangka panjang dengan tentera dan membentangkan visinya untuk “Kelahiran Semula Sudan”, satu daya usaha yang boleh memulihkan perbincangan langsung antara pihak yang bertelagah.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pertempuran antara RSF dengan pihak tentera negara itu memasuki minggu ke-20 tanpa sebarang pihak mendakwa kemenangan manakala berjuta-juta penduduk telah diusir dari rumah mereka di ibu kota Khartoum dan bandar lain.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran tentang “malapetaka kemanusiaan yang besar”, dengan peningkatan masalah kelaparan, penjagaan kesihatan semakin berkurangan dan prasarana yang rosak.
RSF dan militia bersekutu juga telah dituduh melakukan pembersihan etnik di Darfur Barat.
Kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain kerana memulakan perang pada 15 April, selepas berminggu-minggu berlaku ketegangan berhubung penyepaduan tentera menjadi satu kuasa sebagai sebahagian daripada peralihan kepada demokrasi.
Kedua-dua pihak memimpin negara secara bersama sejak menggulingkan Encik Omar al-Bashir pada 2019 dan memberhentikan anggota politik awam daripada pemerintah dalam rampasan kuasa pada 2021.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Ahad, pemimpin RSF, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, kelihatan bersedia untuk berunding dengan tentera mengenai bentuk negara Sudan pada masa depan, melangkaui aspek teknikal gencatan senjata kekal yang telah menghalang usaha pengantaraan yang ditaja Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
“Usaha untuk menamatkan krisis yang berlarutan mesti disasarkan ke arah mencapai gencatan senjata yang berkekalan, ditambah pula dengan penyelesaian politik menyeluruh yang menangani punca peperangan Sudan,” kata kenyataan itu.
Di bawah rancangan “Kelahiran Semula Sudan” Leftenan-Jeneral Dagalo memberikan komitmen RSF terhadap prinsip yang dipersetujui seperti pembentukan persekutuan, pemerintahan berbilang budaya, pilihan raya demokratik dan kesatuan tentera.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas ketua tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, tiba pada Ahad di Pelabuhan Sudan dalam perjalanan pertamanya di luar ibu kota sejak pertempuran meletus.
Sumber pemerintah berkata beliau akan pergi ke Saudi dan Mesir untuk berbincang.
Para anggota politik prodemokrasi memberi amaran kepada Jeneral Burhan agar tidak mengumumkan pemerintah baru, dengan menyatakan ia akan mendorong RSF membentuk pihak berkuasa mereka sendiri. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg