Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Militia bersenjata terus jerumus Sudan ke kancah krisis

Jul 2, 2023 | 5:30 AM
SUDAN TERUS BERGOLAK:  Bangunan-bangunan menjadi sasaran serangan bom dalam pertempuran antara Pasukan  Sokongan Pantas (RSF) dan tentera di Khartoum, Sudan.
SUDAN TERUS BERGOLAK: Bangunan-bangunan menjadi sasaran serangan bom dalam pertempuran antara Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dan tentera di Khartoum, Sudan. - Foto REUTERS

Batalion infantri tentera Sudan hampir tidak kelihatan di sekitar Khartoum sepanjang konflik selama dua bulan yang melanda negara itu, menyebabkan sebahagian besar ibu kota di bawah kawalan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera.

Ini di sebalik hakikat bahawa tentera terdiri daripada sekitar 200,000 orang – dua kali ganda daripada RSF.

Namun, jumlah tentera Sudan jauh lebih kecil bilangannya di jalan raya di Khartoum, serta dua bandar di seberang Sungai Nil iaitu Bahri dan Omdurman.

Pejuang RSF pada mulanya bergerak di sekitar tiga bandar dengan kenderaan pikap bersenjata mereka, tetapi mereka kini kebanyakannya menggunakan kereta biasa.

Ramai penduduk mengadu di media sosial bahawa RSF telah mencuri kereta mereka dan menggunakannya untuk mengelak daripada terkena serangan udara.

Dengan kuasa udara sebagai kekuatan terbesarnya, tentera Sudan sentiasa melakukan serangan untuk melemahkan RSF.

Walaupun mereka dipercayai telah membunuh ratusan orang awam, mereka tidak dapat menghalang pasukan separa tentera daripada mara di Khartoum, Bahri dan Omdurman.

Sebagai tamparan hebat kepada tentera, pejuang RSF melakukan serangan awal bulan ini ke atas al-Yarmouk, salah satu kompleks tentera terbesar di Sudan, tempat senjata dikilangkan dan disimpan.

Ketika kebakaran marak di kompleks itu selama beberapa hari, RSF mengisytiharkan bahawa ia telah menguasainya.

Ini disahkan oleh penduduk tempatan. Tentera, bagaimanapun, belum mengesahkan kejatuhan kompleks itu ke tangan RSF.

Tentera melancarkan serangan balas tetapi hanya mampu merampas kawalan secara ringkas ke atas sebuah jambatan penting yang menghubungkan pejuang RSF di Omdurman dengan kumpulan mereka di Khartoum dan Bahri.

RSF juga mengawal tapak utama lain di dalam dan sekitar tiga bandar, termasuk:

– Terminal minyak utama. Paramilitari telah mengubahnya menjadi pangkalan mereka;

– Ibu pejabat media negara, memberikan RSF kawalan gelombang udara radionya, walaupun tentera telah berjaya mengekalkan kawalan ke atas stesen televisyen dengan menyiarkannya dari tempat lain;

– Sebahagian besar kompleks presiden, dan

– kebanyakan lapangan terbang antarabangsa, yang telah ditutup sejak konflik bermula.

Ibu pejabat agensi pengintip juga dikatakan telah diduduki oleh RSF pada awal konflik, tetapi tidak jelas siapa yang mengawalnya.

Tentera masih menguasai beberapa tempat penting – ibu pejabatnya dan pangkalan udara di Wadi Saeedna, tempat jet pejuangnya menyerang RSF.

Tentera telah menggali parit panjang dan dalam untuk menghalang paramilitari daripada mara ke kededua lokasi.

“Percubaan mereka untuk menyerang kami tidak mempunyai apa-apa kesan sekarang. Peluru yang mereka tembak jatuh ke atas pokok, atau menjadi sejuk apabila jatuh di sebelah kami,” kata seorang pegawai.

Sejarah masalah perkauman

Seramai dua juta orang daripada kira-kira 10 juta penduduk telah meninggalkan bandar yang dahulunya aman, meninggalkan rumah, kedai dan pejabat mereka. Sebahagian daripada mereka telah dibedil dan dibom, yang lain telah diduduki dan digeledah, dengan penghawa dingin dan perabot antara barang-barang yang dilarikan oleh RSF.

Bagi sesetengah pihak, kegagalan batalion infantri membuat kejayaan besar di medan perang bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Sudan bukanlah sebuah negara demokrasi dengan tentera profesional yang terlatih.

Tentera, seperti banyak sektor masyarakat yang lain, masih terpengaruh dengan sejarah perkauman, perhambaan dan penjajahan Sudan.

Ia bermula lebih dua abad apabila penakluk Uthmaniyyah dan Mesir menubuhkan tentera hamba abdi.

Pengambilan anggota tentera daripada komuniti kulit hitam Afrika yang kebanyakannya miskin, diteruskan di bawah pemerintahan British, dan kekal begitu sepanjang era pasca kemerdekaan. Sebahagian daripada tentera itu sebenarnya adalah keturunan hamba.

Di bawah pemerintahan bekas Presiden Omar al-Bashir selama tiga dekad, orang kulit hitam Afrika jarang diterima di kolej tentera Sudan, dengan pemohon dikehendaki menyebut kumpulan etnik mereka.

Akibatnya, hanya segelintir yang naik ke pangkat kanan, dengan tentera sebahagian besarnya di bawah kawalan jeneral daripada elit Arab dan Nubia yang bersempadan dengan Mesir.

Askar memperoleh hanya AS$11-$16 ($15-$22) sebulan, berbeza daripada jeneral yang memperkayakan diri mereka dengan menubuhkan syarikat dan kilang yang telah memberi mereka kawalan ke atas 80 peratus ekonomi, menurut bekas Perdana Menteri awam Sudan Abdullah Hamdok.

Disebabkan gaji mereka yang rendah, beberapa askar menyertai RSF untuk berperang – pada satu ketika, sebagai sebahagian daripada gabungan Arab Saudi-Amiriah Arab Bersatu di Yaman, dengan ganjaran wang tunai sebagai ganti.

Komander RSF Mohamed Hamdan “Hemedti” Dagalo menjadi pedagang emas besar apabila tenteranya mengambil alih lombong emas paling menguntungkan di Sudan pada 2017, dan mengawal sempadan dengan Chad dan Libya.

Ketua kakitangan tentera Sudan tidak menyukainya dan lantas mahu wang daripada perdagangan emas digunakan untuk menguatkan pasukan tetap, tetapi Bashir mempunyai keyakinan terhadap RSF, memberikan Hemedti nama samaran “Himayti”, yang bermaksud “Pelindung Saya”.

Kem latihan didirikan berhampiran Khartoum. Beratus-ratus trak pikap Land Cruiser telah diimport dan dipasang dengan mesingan.

Dengan anggaran 80,000 hingga 100,000 lelaki dan lebih daripada 10,000 trak pikap bersenjata, RSF menjadi infantri sebenar Sudan.

Orang Arab dari Darfur membentuk tulang belakang RSF. Mereka nampaknya percaya bahawa kini giliran mereka untuk memerintah, terutama selepas peranan penting mereka dalam membantu tentera memerangi pemberontak Darfuri pada 2000-an.

Salah satu kekuatan terbesar RSF terletak pada fakta bahawa banyak “batalion”nya terdiri daripada ahli keluarga atau kumpulan etnik yang sama, jadi mereka berjuang dengan ganas untuk melindungi satu sama lain.

Sebaliknya, menteri pertahanan telah dipaksa untuk menggesa penggemblengan pegawai dan askar yang telah bersara untuk mengalahkan RSF.

Rayuannya disambut dengan cemuhan oleh ramai rakyat Sudan, yang melihatnya sebagai bukti lanjut kelemahan tentera.

Realitinya ialah tentera Sudan, bukannya berperang sendiri, telah lama bergantung kepada militia. Ini adalah sesuatu yang dilakukan dalam perang saudara selama beberapa dekad, yang berakhir dengan Sudan Selatan memperoleh kemerdekaan pada 2011, dan baru-baru ini di Darfur, dengan militia Arab dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Kini kumpulan militia bersenjata yang dilengkapkan oleh pihak tentera kembali menghantui dan menjerumuskan Sudan ke dalam krisis terbarunya. – BBC

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg