JAKARTA: Paus Francis, Ketua Gereja Katolik dan pemimpin tertinggi Kota Vatican, tiba di Jakarta pada 3 September, menandakan permulaan lawatan bersejarah beliau ke Asia-Pasifik. Lawatan ini merupakan yang paling lama ditempuhi oleh Paus sejak beliau memegang jawatan pada tahun 2013.
Ketibaan beliau di Indonesia, negara dengan penduduk Muslim terbesar di dunia, disambut dengan penuh mesra oleh rakyat dan pemimpin negara itu. Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo mengalu-alukan dan menyatakan rasa syukur serta kegembiraannya atas ketibaan Paus Francis.
Menurut Encik Jokowi, lawatan ini adalah satu peristiwa yang sangat bersejarah dan telah lama dinantikan. Ia sepatutnya diadakan lebih awal, tetapi terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
“Lawatan ini bukan sahaja bersejarah, tetapi juga penting dalam memperkukuh hubungan antara Indonesia dan Vatican. Kedua-dua negara berkongsi komitmen yang sama dalam memupuk keamanan, persaudaraan, dan kesejahteraan rakyat,” kata Encik Jokowi kepada para pemberita selepas ketibaan Paus.
Paus Francis, yang kini berusia 87 tahun, tiba di Lapangan Terbang Soekarno–Hatta, Jakarta, menaiki penerbangan sewa khas yang turut membawa rombongan rasmi serta beberapa wartawan antarabangsa yang mengikuti perjalanan Paus.
Selepas mendarat, Paus Francis disambut oleh beberapa pemimpin utama Indonesia termasuk Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas, Duta Besar Indonesia ke Vatican, Michael Trias Kuncahyono, dan Ketua Persidangan Waligereja Indonesia (KWI), Rev. Antonius Bunjamin.
Walaupun jadual lawatan Paus Francis sangat padat, beliau tidak dijadualkan menghadiri sebarang acara awam pada hari pertama untuk membolehkannya berehat selepas penerbangan panjang selama 13 jam dari Rome.
Lawatan rasmi Paus di Indonesia akan bermula 4 September dengan pertemuan bersama pemimpin politik Indonesia di Istana Presiden. Dalam pertemuan tersebut, Paus Francis dijangka menyentuh mengenai pelbagai isu, termasuk hubungan antara agama dan usaha untuk memperkukuh kerjasama antara Indonesia dan Vatican.
Pada Khamis, 5 September Paus Francis akan menghadiri satu pertemuan antara agama di Masjid Istiqlal, yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara. Dalam pertemuan tersebut, Paus akan berbincang dengan wakil-wakil daripada enam agama rasmi di Indonesia, iaitu Islam, Kristian Katolik, Kristian Protestan, Hindu, Buddha, dan Konfusianisme. Pertemuan ini adalah simbol penting dalam usaha untuk memperkukuh hubungan antara agama dan mempromosikan keamanan sejagat.
Paus Francis dan Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Nasaruddin Umar, dijangka menandatangani satu perisytiharan bersama. Perisytiharan ini akan memberi tumpuan kepada isu-isu kemanusiaan seperti usaha menentang keganasan, melindungi golongan wanita dan kanak-kanak, serta menjaga alam sekitar.
Paus Francis telah lama dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat prihatin terhadap isu-isu ini, dan lawatan ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh mesej beliau di peringkat global.
Lawatan ini juga dijangka akan memberi tumpuan kepada isu perubahan iklim, dengan Paus Francis terus menyuarakan gesaannya untuk tindakan global dalam menangani pemanasan global.
Jakarta, sebagai ibu negara Indonesia yang terdedah kepada risiko perubahan iklim seperti banjir dan penenggelaman tanah, adalah contoh jelas tentang kesan negatif perubahan iklim. Oleh itu, lawatan Paus ke Indonesia turut diharap dapat meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan menangani isu ini dengan serius.
Selepas Indonesia, Paus Francis akan melawat Timor-Leste, Singapura, dan Papua New Guinea. Setiap negara dalam jadual lawatannya mempunyai kepentingan tersendiri, dan lawatan ini dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan Vatican dengan negara-negara di Asia-Pasifik. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg