Paus Francis tiba di Jakarta pada 3 September, selepas menempuh perjalanan hampir 11,000 kilometer dari Rome. Ini merupakan perjalanan yang ke-45 beliau, kali ini menuju ke empat negara di Asia-Pasifik.
Pesawat biru milik syarikat penerbangan ITA Airways, yang membawa Paus Francis dan rombongannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, sekitar 11.20 pagi.
Persiapan sudah sedia termasuk permaidani merah bagi menyambut ketibaan ketua negara Vatican itu di Indonesia.
Beliau dijadual berada di sini sehingga 6 September.
Paus Francis keluar dari lif yang menurunkannya dari pesawat. Duduk di atas kerusi roda, Paus Francis melambaikan tangan ketika diiringi melalui permaidani merah.
Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Yaqut Cholil Qoumas; Duta Besar Indonesia ke Holy See, Encik Michael Trias Kuncahyono; dan Ketua Persidangan Uskup Indonesia (KWI), Rev Antonius Bunjamin, sudah bersedia untuk menyambutnya.
Seorang anak perempuan berusia enam tahun dari Jakarta yang memakai kostum tradisional Jawa, bersama seorang budak lelaki berusia 12 tahun dari Maluku yang memakai kostum tradisional Papua, memberikan sejambak bunga kepada Paus Francis, yang kemudian membalas dengan memberikan cenderahati.
Paus berusia 88 tahun itu kemudian bangkit dari kerusi rodanya untuk duduk di tempat duduk hadapan, bersebelahan pemandu dalam kereta berwarna putih dengan plat kereta SCV 1.
Paus Francis memilih untuk menaiki kenderaan itu sepanjang lawatannya di sini, menggantikan limousin kalis peluru yang biasanya disediakan untuk para pemimpin dunia yang berkunjung ke Indonesia.
Paus ketiga yang melawat Indonesia itu turut membuka tingkap kenderaannya untuk melambai tangan kepada orang ramai yang menunggu untuk melihatnya ketika rombongannya bergerak meninggalkan lapangan terbang, menuju ke kedutaan Holy See di Jakarta Pusat.
Beliau memilih untuk menginap selama tiga malam di situ, berbanding di hotel lima bintang.
Siaran langsung konvoi Paus sepanjang perjalanan ke kedutaan menunjukkan bahawa Paus terus membuka tingkap kenderaan dan melambai-lambai tangan kepada orang ramai di sepanjang jalan utama Jakarta yang dilaluinya.
“Kami berasa bertuah dengan kehadiran Paus Francis di Indonesia. Sudah 35 tahun sejak seorang paus terakhir kali melawat negara kami. Ini adalah saat yang penuh kegembiraan dan kebanggaan untuk kita semua,” kata Encik Yaqut kepada para wartawan.
Paus kedua yang melawat Indonesia ialah Paus John Paul II, yang tiba pada Oktober 1989.
Dalam lawatan tersebut, beliau mengunjungi Jakarta, Medan, Yogyakarta dan Maumere di Pulau Flores yang majoritinya beragama Katolik di Nusa Tenggara Timur, serta Dili di Timor Timur yang pada waktu itu masih di bawah pendudukan Indonesia.
Paus pertama yang melawat Indonesia adalah Paus Paul VI pada Disember 1970.
Timor-Leste yang kini sudah merdeka dan baru sahaja meraikan ulang tahun ke-25 referendum yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), di mana majoriti rakyat Timor memilih untuk merdeka dari Indonesia, akan menjadi destinasi ketiga dalam jadual lawatan Paus Francis.
Ia merupakan satu-satunya negara yang majoritinya beragama Katolik dalam lawatan ini, selepas Papua New Guinea dan sebelum mengakhiri perjalanan selama 12 hari di Singapura.
Paus Francis akan memulakan jadual rasminya di Indonesia pada 4 September dengan pertemuan dengan Presiden yang bakal bersara, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, di Istana Presiden.
“Saya percaya Presiden Jokowi dan Paus Francis akan mengadakan dialog antara agama dengan fokus pada memperkukuh hubungan antara Indonesia dengan Vatican,” kata Encik Yaqut.
Beliau turut menambah bahawa paus juga dijadual bertemu Presiden terpilih, Encik Prabowo Subianto, yang akan memulakan penggalnya pada 20 Oktober.
Kemuncak lawatan Paus Francis yang berasal dari Argentina ke Indonesia adalah pertemuan silang agama dengan Imam Besar Masjid Istiqlal, Encik Nasaruddin Umar, bersama 500 wakil dari enam agama rasmi di Indonesia: Islam, Buddha, Confucian, Hindu, Katolik dan Protestan.
Pertemuan tersebut akan diadakan pada 5 September, di Masjid Istiqlal – yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara.
Ia terletak berdekatan dengan Katedral Jakarta yang beraliran neo-Gothic, yang akan turut dikunjungi paus.
Sekitar 87 peratus daripada kira-kira 230 juta penduduk Indonesia beragama Islam; dengan kira-kira 27 hingga 30 juta (atau 10 peratus) adalah penganut Kristian.
Penganut Katolik membentuk sekitar 3.12 peratus daripada jumlah penduduk, atau kira-kira 3.5 juta orang.
Pada sebelah petang, Paus akan memimpin sesi di Stadium Gelora Bung Karno dan sekitar 90,000 orang dijangka hadir.
Pertubuhan Muslim terbesar kedua di Indonesia, Muhammadiyah, dalam satu kenyataan menyambut baik lawatan Paus Francis dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan bagi negara itu.
“Rancangan Paus Francis untuk bertemu dengan kumpulan silang agama menunjukkan keterbukaan beliau terhadap dialog dan kerjasama antara agama.
“Ini akan memperkenalkan Indonesia kepada dunia sebagai negara pluralistik yang menghargai toleransi antara agama dan budaya,” kata Setiausaha Muhammadiyah, Encik Abdul Mu’ti, dalam kenyataan tersebut.
Encik Mu’ti menambah bahawa lawatan Paus itu signifikan bagi hubungan antara agama, khususnya antara Islam dengan Katolik.
Beliau menegaskan bahawa lawatan Paus Francis menekankan peranan Indonesia dalam membina dan memperkukuh hubungan antara Gereja Katolik dengan Dunia Islam.
Encik Mu’ti turut memuji paus kerana meluangkan masa, di tengah-tengah jadual serta komitmennya yang sibuk untuk melawat Indonesia dengan menggunakan penerbangan komersial dan melakukan perjalanan panjang tanpa menginap di hotel lima bintang.
“Ini menunjukkan sikap teladan yang boleh menjadi inspirasi bagi para pemimpin, baik di peringkat nasional mahupun sejagat,” katanya.
Semasa kunjungan ke masjid terbesar di Asia Tenggara ini, Paus Francis akan mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil daripada enam agama yang diiktiraf di Indonesia.
Beliau juga akan menandatangani satu deklarasi bersama Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Nasaruddin Umar.
Deklarasi itu akan menumpukan perhatian kepada usaha menentang penghinaan terhadap nilai-nilai kemanusiaan, khususnya berkaitan dengan penyebaran keganasan dan konflik yang menjejas wanita dan kanak-kanak, serta pengabaian isu persekitaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg