PBB: Angka korban awam akibat perang Sudan naik 2 kali ganda pada 2025
PBB: Angka korban awam akibat perang Sudan naik 2 kali ganda pada 2025
GENEVA: Pembunuhan orang awam dalam perang Sudan meningkat lebih dua kali ganda pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, kata ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 Februari.
Encik Volker Turk juga memberi amaran bahawa beribu-ribu lagi yang mati tidak dapat dikenal pasti atau masih dilaporkan hilang.
Sejak April 2023, Sudan telah dilanda konflik antara tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang telah membunuh puluhan ribu orang, menyebabkan 11 juta orang kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
“Perang ini hodoh. Ia berdarah dan tidak masuk akal,” kata Encik Turk kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, menyalahkan kedua-dua pihak, yang setakat ini menolak sebarang gencatan senjata kemanusiaan.
Beliau juga menyalahkan penaja asing yang membiayai apa yang beliau sebut sebagai konflik “berteknologi tinggi”.
“Pada tahun 2025, dokumentasi pejabat saya menunjukkan peningkatan lebih dua setengah kali ganda dalam pembunuhan orang awam berbanding tahun sebelumnya. Beribu-ribu orang masih hilang atau tidak dapat dikenal pasti,” kata Encik Turk.
Tiada angka rasmi mengenai jumlah kematian keseluruhan konflik itu.
Beliau turut mengutuk apa yang disifatkan sebagai perbuatan “keji dan kejam” yang dilakukan, termasuk keganasan seksual, hukuman mati dan penahanan sewenang-wenangnya.
Menurutnya, “pembunuhan beramai-ramai” yang dilakukan oleh RSF dalam serangan pada April ke atas kem penempatan Zamzam dan sekali lagi pada Oktober di El-Fasher, tempat terakhir tentera ketika itu di barat Darfur.
Kes rogol, rogolsecara berkumpulan, penyeksaan seksual dan perhambaan juga telah melonjak, kata Encik Turk, dengan lebih daripada 500 mangsa didokumenkan pada 2025.
“Mayat wanita dan gadis Sudan telah dijadikan senjata untuk mengganas komuniti,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan, menteri luar kumpulan teras Sudan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkata keganasan yang diketuai RSF di El-Fasher “merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dan membawa ciri-ciri pembunuhan beramai-ramai”.
Jerman, Ireland, Belanda, Norway dan Britain berkata mereka akan membentuk gabungan “untuk mencegah kekejaman selanjutnya di Sudan dan menyokong rakyat Sudan dalam meletakkan asas untuk keadilan masa depan”.
Sejak Januari, serangan dron di wilayah selatan Kordofan dan seterusnya telah “membunuh atau mencederakan hampir 600 orang awam”, kata Encik Turk.
Kebuluran telah diisytiharkan November lalu di ibu kota Darfur Utara, El-Fasher dan di Kadugli, ibu kota Kordofan Selatan, menurut penilaian yang disokong PBB. - AFP

