Siasatan PBB: Serangan konflik di Sudan papar ciri genosid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan PBB: Serangan konflik di Sudan papar ciri genosid

Feb 19, 2026 | 3:38 PM

Siasatan PBB: Serangan konflik di Sudan papar ciri genosid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sudan, Ramadan, buka puasa, genosid
Orang ramai di Sudan berkumpul untuk berbuka puasa pada hari pertama bulan suci Ramadan di sebuah jalan di kawasan kejiranan Al-Hattana di Omdurman, bandar kembar Khartoum, pada 18 Februari. - Foto AFP

GENEVA: Pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat bukan Arab ketika kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menawan bandar al-Fashir di Sudan menunjukkan ciri yang mengarah kepada jenayah genosid.

Demikian menurut laporan siasatan bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada 19 Februari.

Misi Pencari Fakta Antarabangsa Bebas PBB bagi Sudan memaklumkan pada akhir Oktober 2023, RSF menawan al-Fashir – kubu terakhir Angkatan Tentera Sudan (SAF) di wilayah Darfur.

Dalam tempoh tiga hari yang disifatkan sebagai penuh keganasan, ribuan orang dilaporkan terbunuh dan dirogol.

Menurut laporan itu, serangan tersebut berlaku selepas 18 bulan pengepungan yang menyaksikan RSF mengenakan keadaan hidup yang bertujuan memusnahkan masyarakat bukan Arab, khususnya Zaghawa dan Fur.

Misi PBB berkata mereka menemui bukti RSF menjalankan pola serangan yang tersusun dan berulang terhadap individu berdasarkan etnik, jantina dan kecenderungan politik.

Antara perbuatan yang didokumentasikan termasuk pembunuhan besar-besaran, rogol, penyeksaan serta penciptaan keadaan hidup yang boleh membawa kepada kemusnahan fizikal sesuatu kumpulan – ciri utama jenayah genosid di bawah undang-undang antarabangsa.

Draf akhir laporan itu telah dikongsi dengan pemerintah Sudan namun, tiada maklum balas diterima.

RSF dan SAF tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Sebelum ini, RSF menafikan dakwaan pelanggaran tersebut dan menyifatkannya sebagai tuduhan yang direka oleh musuh mereka, selain membuat tuduhan balas.

Pengerusi Misi Pencari Fakta Sudan, Encik Mohamad Chande Othman, berkata skala dan penyelarasan operasi menunjukkan ia bukan sekadar keterlaluan dalam peperangan.

“Skala, penyelarasan dan sokongan terbuka oleh kepimpinan kanan RSF menunjukkan bahawa jenayah yang dilakukan di al-Fashir dan sekitarnya bukan tindakan rawak dalam konflik,” katanya.

“Ia merupakan sebahagian daripada operasi yang dirancang dan teratur yang mempunyai ciri utama genosid.”

Menurut laporan itu, sebelum penawanan, majoriti penduduk al-Fashir terdiri daripada masyarakat Zaghawa, manakala kem penempatan sekitar kawasan tersebut dihuni komuniti Fur serta Berti, Masalit dan Tama.

Mangsa yang terselamat melaporkan ancaman jelas untuk “membersihkan” bandar tersebut.

RSF dilaporkan menyerang kem pelarian, dapur masyarakat dan pusat perubatan menggunakan dron serta senjata berat.

Selain itu, berlaku pembunuhan, rompakan, pemukulan dan keganasan seksual di dalam bandar tersebut.

Laporan itu menyatakan retorik “pemusnahan” yang digunakan RSF serta pelanggaran lain menunjukkan niat untuk memusnahkan masyarakat Zaghawa dan Fur secara keseluruhan atau sebahagian.

“Saksi mendengar anggota RSF berkata, ‘Adakah sesiapa di sini Zaghawa? Jika kami jumpa Zaghawa, kami akan bunuh mereka semua’,” ujar laporan itu.

Mangsa yang terselamat turut menggambarkan pelaksanaan hukuman mati secara jarak dekat terhadap orang awam, dengan mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak memenuhi jalan raya.

Wanita dan kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh dengan 70 tahun daripada masyarakat bukan Arab, terutama Zaghawa, dilaporkan menjadi mangsa rogol serta keganasan seksual termasuk sebatan dan paksaan berbogel.

Misi PBB tersebut diberi mandat oleh anggota Majlis Hak Asasi Manusia pada November 2025 untuk menyiasat segera pelanggaran undang-undang antarabangsa di al-Fashir dan kawasan sekitarnya.

Laporan itu menambah tekanan antarabangsa terhadap konflik berpanjangan di Sudan, yang terus menyaksikan pertempuran antara RSF dengan SAF dengan kesan kemanusiaan yang serius di Darfur dan wilayah lain. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg