BANDAR GAZA: Pakar kesihatan mental Palestin memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berdepan “letusan trauma psikologi” selepas dua tahun serangan ketenteraan Israel yang dahsyat, dengan kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental 2.3 juta penduduknya.
Ketua Hospital Kesihatan Mental Gaza, Dr Abdallah al-Jamal, berkata jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan meningkat secara mendadak selepas gencatan senjata bermula pada awal Oktober.
“Sejak gencatan senjata diumumkan, ia seperti gunung berapi meletus... pesakit datang dalam jumlah yang luar biasa. Stigma terhadap perkhidmatan kesihatan mental yang dahulu wujud kini lenyap sama sekali,” katanya.
Bangunan hospital yang rosak teruk akibat serangan memaksa Dr Abdallah dan rakan-rakannya berpindah ke klinik kecil berdekatan.
Mereka kini melihat lebih 100 pesakit setiap hari dalam ruang sempit tanpa privasi. “Ia amat menyedihkan bagi pesakit kami. Tetapi kami berusaha sedaya upaya menyediakan rawatan walau dalam kekangan,” ujarnya.
Di kalangan kanak-kanak, kesan trauma amat ketara.
Menurut Cik Nivine Abdelhadi daripada Pusat Belia Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, ramai kanak-kanak mengalami mimpi ngeri, kencing malam serta sukar menumpukan perhatian.
“Kanak-kanak Gaza kini kekurangan makanan, air, tempat perlindungan dan pakaian. Mereka bukan sahaja lapar, tetapi ketakutan yang berpanjangan telah merampas zaman kanak-kanak mereka,” katanya.
Pertubuhannya kini menjalankan aktiviti terapi seperti permainan dan penceritaan bagi membantu mereka melepaskan tekanan emosi.
Di khemah sementara di utara Gaza, Cik Mariam Abu al-Kas, 31 tahun, duduk termenung dengan tangan menggigil. “Setiap kali saya pejam mata, saya kembali ke malam-malam yang mengerikan itu,” katanya perlahan. Cik Mariam kehilangan suami dan lima anaknya dalam satu serangan udara Israel pada pertengahan 2024.
“Saya masih mendengar jeritan mereka dalam mimpi. Saya seolah-olah masih terperangkap di bawah runtuhan, mencari mereka dengan tangan kosong,” katanya. Sebelum perang, Cik Mariam seorang guru di sekolah swasta di Bandar Gaza. Kini, katanya, “Saya tidak lagi mengenali diri sendiri. Perang telah merampas wajah, suara dan jiwa saya.”
Cik Samah Ahmed, pelajar kejuruteraan berusia 22 tahun yang kehilangan saudara kembarnya, berkata beliau kini tidak lagi mampu menangis.
“Saya nampak dinding rumah kami runtuh. Saya dengar dia panggil nama saya, tapi selepas itu hanya debu dan asap. Sejak hari itu, hati saya seolah-olah beku. Saya tidak lagi rasa sedih atau gembira,” katanya.
Ahli psikologi Gaza, Encik Salem Abu Taha, menjelaskan bahawa simptom seperti Cik Samah dikenali sebagai kebas emosi tindak balas mental terhadap kehilangan besar secara tiba-tiba.
“Apabila minda tidak dapat menanggung trauma, ia memutuskan hubungan dengan realiti. Tanpa rawatan, keadaan ini boleh membawa kepada kemurungan kronik dan gangguan tingkah laku,” jelasnya.
Encik Abu Taha menambah bahawa ratusan anak muda Gaza kini mengalami gejala serupa dan menyeru agar program terapi berkumpulan serta pemulihan pelajar dijalankan segera.
Di Khan Younis, kanak-kanak turut menunjukkan kesan fizikal akibat trauma.
Lana al-Sharif, berusia 10 tahun, menghidap vitiligo selepas menyaksikan rumah jiran musnah dibom. Ibunya berkata Lana sering terjaga pada waktu malam sambil menutup telinga, ketakutan mendengar letupan dalam mimpinya.
Dr Abdallah menyifatkan keadaan kesihatan mental di Gaza sebagai “bencana kemanusiaan.”
“Majoriti penduduk Gaza kini mengalami gangguan psikologi sederhana hingga teruk akibat ketakutan yang berterusan. Gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) dan kemurungan adalah paling biasa,” katanya.
Beliau menambah bahawa bekalan ubat psikiatri kini kurang daripada separuh paras sebelum perang. “Pusat kesihatan pula kekurangan kakitangan terlatih, manakala sokongan antarabangsa amat terhad,” jelasnya.
Laporan Program Kesihatan Mental Komuniti Gaza pada Oktober 2025 bertajuk Krisis Kesihatan Mental: Dua Tahun Hidup di Bawah Genosid mendedahkan 68 peratus penduduk Gaza mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), manakala 96 peratus kanak-kanak berasa kematian sudah hampir.
Sebanyak 92 peratus kanak-kanak dilaporkan gagal menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan 87 peratus masih dihantui ketakutan serta mimpi ngeri.
Dr Abdallah  menegaskan bahawa pemulihan psikologi mesti seiring dengan usaha membina semula Gaza. “Orang tidak akan sembuh jika setiap hari mereka takut bom akan jatuh semula. Pemulihan mental memerlukan keselamatan, kestabilan, dan masa,” katanya. Beliau menutup dengan seruan: “menyembuhkan Gaza bukan hanya membina semula bangunan, tetapi memulihkan jiwa yang telah musnah.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg