Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB beri amaran lebih banyak ‘kekejaman’ di Myanmar

May 20, 2024 | 3:36 PM
Ketua Hak Asasi PBB Encik Volker Turk membuat rayuan terus kepada tentera Myanmar dan Tentera Arakan supaya menghentikan pertempuran, melindungi orang awam dan membenarkan akses kemanusiaan segera dan tanpa halangan” ke Myanmar.
Ketua Hak Asasi PBB Encik Volker Turk membuat rayuan terus kepada tentera Myanmar dan Tentera Arakan supaya menghentikan pertempuran, melindungi orang awam dan membenarkan akses kemanusiaan segera dan tanpa halangan” ke Myanmar. - Foto REUTERS

GENEVA: Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Mei berkata beliau sangat bimbang berlaku semula keganasan di Rakhine, Myanmar, dan memberi amaran tentang “kekejaman” lanjut.

Pertempuran telah menggegarkan Rakhine sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November, menamatkan gencatan senjata sejak rampasan kuasa tentera 2021.

 “Saya amat bimbang dengan laporan mengenai keganasan baharu dan kemusnahan harta benda di perbandaran Buthidaung di Rakhine, utara Myanmar.

“Kejadian itu mengakibatkan potensi puluhan ribu orang awam kehilangan tempat tinggal, terutamanya Rohingya,” kata Encik Volker Turk dalam satu kenyataan.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia itu menyatakan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang berusaha untuk “menyokong maklumat yang menunjukkan pelanggaran serius”.

Beliau menambah: “Dengan ketegangan antara kaum antara etnik Rakhine dengan Rohingya yang memuncak – dan didorong secara aktif oleh tentera – ini adalah tempoh kritikal apabila risiko jenayah kekejaman yang lebih teruk adalah sangat meruncing.”

Tentera Arakan adalah antara beberapa kumpulan etnik minoriti bersenjata di wilayah sempadan Myanmar, dengan banyak yang telah memerangi tentera sejak mendapat kemerdekaan daripada Britain pada 1948 berhubung autonomi dan kawalan sumber yang menguntungkan.

Kumpulan AA mendakwa memperjuangkan lebih banyak autonomi untuk penduduk etnik Rakhine di negeri itu.

Pertempuran telah merebak ke 15 daripada 17 perbandaran di Rakhine sejak November, kata Encik Turk pada April.

Ratusan orang telah terbunuh atau cedera dan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Encik Turk membuat rayuan langsung kepada tentera Myanmar dan AA agar “menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, membenarkan akses kemanusiaan segera dan tanpa halangan” dan mematuhi “tanpa syarat” dengan undang-undang antarabangsa.

Beliau juga merayu kepada negara jiran Bangladesh supaya memberikan perlindungan kepada “orang yang terdedah yang mencari keselamatan”.

Pertempuran antara AA dengan tentera pada 2019 telah menggemparkan wilayah itu dan menyebabkan kira-kira 200,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Tentera melancarkan tindakan keras terhadap minoriti Rohingya di sana pada 2017, yang kini menjadi subjek kes mahkamah genosid PBB. – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg