NEW YORK: Sidang Puncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 September menyaksikan hampir seluruh negara dunia mengemukakan komitmen baru bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dalam tempoh sedekad akan datang.
Negara kuasa besar seperti China, Russia, Jepun, Jerman; puluhan negara kepulauan kecil dan negara miskin termasuk Chad, Republik Afrika Tengah, Venezuela, Syria dan Iran turut hadir kecuali Amerika Syarikat, yang tidak kelihatan.
Ketidakhadiran Amerika menyerlahkan lagi kedudukannya yang semakin terasing dalam isu perubahan iklim.
Pendekatan Presiden Donald Trump yang menolak tenaga boleh diperbaharui dilihat bercanggah dengan gelombang global yang sedang giat membina ladang angin, pemasangan solar dan sumber tenaga hijau lain, termasuk di negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.
“Kita berada di ambang era tenaga baru,” kata Setiausaha Agung PBB Encik Antonio Guterres ketika membuka sidang itu.
Beliau menegaskan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui bukan ancaman ekonomi, sebaliknya masa depan yang lebih selamat dan makmur.
Sebaliknya, Encik Trump dalam ucapannya pada 23 September di Perhimpunan Agung PBB memberi amaran kepada dunia.
“Jika anda tidak hentikan penipuan hijau ini, negara anda akan gagal,” katanya, sambil mendesak Eropah dan Asia membeli lebih banyak bahan api fosil dari Amerika.
Amerika kini pengeluar terbesar minyak dan gas asli dunia dan Encik Trump mahu meningkatkan eksport bahan api itu.
Antara langkah awal pentadbirannya ialah menarik diri daripada Perjanjian Paris iaitu pakatan global yang ditandatangani pada 2015 bagi mengehadkan pemanasan bumi.
Di sidang puncak itu, 121 negara menyampaikan komitmen baru bukan sahaja untuk memperlahankan pemanasan global, tetapi juga disebabkan tenaga boleh diperbaharui kini lebih murah berbanding jangkaan.
Malah, dalam banyak kes, kos tenaga solar dan angin sudah lebih rendah berbanding loji arang batu atau minyak.
Perdana Menteri Bahamas, Encik Philip Davis, menekankan bahawa perubahan ke arah tenaga hijau penting untuk masa depan ekonomi.
“Kita perlukan pembuat dasar memahami bahawa menggantikan bahan api fosil dengan tenaga boleh diperbaharui bukan ancaman kepada kemakmuran, tetapi syarat untuk kemakmuran masa depan,” katanya.
Encik Guterres pula menyifatkan bahan api fosil sebagai “pertaruhan yang rugi”.
Namun, Encik Trump telah memansuhkan insentif bagi tenaga solar, kenderaan elektrik dan mempercepatkan kelulusan lombong arang batu serta terminal penghantaran gas asli.
Walaupun ada kebimbangan tindakan Amerika ini boleh melemahkan usaha global, kebanyakan pemimpin dunia kini berikrar untuk meneruskan peralihan tenaga hijau.
Pesuruhjaya Iklim Kesatuan Eropah (EU), Encik Wopke Hoekstra, menyifatkan pendirian Amerika amat membimbangkan.
“Kami melakukan perkara yang bertentangan dengan Amerika Syarikat dan ini amat merisaukan.
“Ekonomi terbesar dunia, penyumbang pelepasan karbon kedua terbesar, kini seolah-olah menarik diri,” katanya di New York.
Sementera itu, Presiden China, Encik Xi Jinping mengumumkan negaranya akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 7 hingga 10 peratus daripada paras tertinggi menjelang 2035 serta meningkatkan penggunaan tenaga bukan fosil melebihi 30 peratus.
Encik Xi turut menyindir tanpa menamakan Amerika, “Ketika ada negara bertindak menentang peralihan tenaga bersih, komuniti antarabangsa harus kekal di laluan yang betul,” ujarnya.
EU pula mengisytiharkan sasaran pengurangan pelepasan karbon antara 66 hingga 72 peratus menjelang 2035 berbanding paras 1990.
Meskipun belum lagi muktamad, perincian dijangka diumumkan sebelum rundingan Persidangan Iklim ke-30 (COP30) di Brazil November ini.
Namun EU berdepan cabaran kerana Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen sebelum ini berjanji membeli bahan api Amerika bernilai AS$750 bilion ($965 bilion) menjelang akhir penggal Trump, yang dikhuatiri boleh menjejaskan peralihan hijau Eropah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg