DARFUR (Sudan): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyeru adanya perlindungan segera dan laluan selamat bagi ratusan ribu orang awam di el-Fasher, Sudan, ketika anggota kumpulan sebahagian tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mendakwa telah merampas kawalan bandar yang dikepung itu.
Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Encik Tom Fletcher, membuat seruan tersebut pada 27 Oktober di tengah-tengah laporan korban awam dan perpindahan secara paksa di ibu kota Darfur Utara.
RSF telah mengepung el-Fasher selama hampir 18 bulan dalam usaha menguasai kubu kuat terakhir tentera Sudan di wilayah barat Darfur.
Pertempuran itu telah memerangkap sekurang-kurangnya 250,000 orang awam dan memaksa ratusan ribu yang lain melarikan diri dari rumah mereka.
“Dengan para anggota semakin mara ke dalam bandar dan laluan melarikan diri tersekat, ratusan ribu orang awam terperangkap dan dicerut ketakutan – dibedil, kelaparan dan tanpa akses kepada penjagaan kesihatan, makanan dan juga keselamatan,” kata Encik Fletcher dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru akses bagi kemanusiaan tanpa halangan dan laluan selamat untuk orang awam mendapatkan perlindungan daripada pertempuran.
“Gencatan senjata sekarang di El Fasher, di Darfur dan di seluruh Sudan,” tulis Encik Fletcher di media sosial.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, pula memberi amaran mengenai “peningkatan yang dahsyat”, dengan menyatakan keadaan kemanusiaan di Sudan sejak perang saudara melanda pada April 2023 kini menjadi “tidak tertanggung”.
Bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur, Malaysia, Encik Guterres menggesa semua negara yang campur tangan dalam konflik dan “menyediakan senjata kepada pihak-pihak yang berperang” supaya berhenti melemahkan usaha untuk mencapai gencatan senjata.
Para pemerhati berkata penguasaan el-Fasher boleh menjadi titik perubahan yang berpotensi dalam perang saudara Sudan, yang telah membunuh puluhan ribuan orang, menyebabkan 12 juta rakyat kehilangan tempat tinggal dan 30 juta yang lain memerlukan bantuan, menjadikannya krisis kemanusiaan terbesar di dunia.
Di sebalik jaminan perlindungan awam, RSF dituduh melakukan kekejaman di el-Fasher.
Menurut Rangkaian Doktor Sudan, anggota RSF membunuh orang awam yang tidak bersenjata atas “alasan etnik”.
Sementara itu, Gabenor Darfur, Encik Minni Minnawi, yang bersekutu dengan tentera Sudan, menuntut agar orang awam dilindungi daripada RSF.
Beliau turut menyeru “siasatan bebas terhadap pelanggaran dan pembunuhan beramai-ramai” yang didakwa dilakukan oleh RSF. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg