DARFUR: Dua tahun selepas Sudan terjerumus ke dalam perang saudara yang menghancurkan, kumpulan separa tentera Pasukan Tindakan Pantas (RSF) mengisytiharkan penubuhan sebuah pemerintah saingan, menandakan cabaran terbuka terhadap pemerintahan Angkatan Bersenjata Sudan yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.
Langkah ini bukan sahaja memperdalam konflik, malah menimbulkan kebimbangan antarabangsa tentang masa depan negara yang kini sedang berdepan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Encik Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti, komander RSF, mengumumkan penubuhan “Pemerintah Keamanan dan Perpaduan” dalam satu kenyataan rasmi di Telegram. “Pada ulang tahun ini, kami dengan bangga mengisytiharkan penubuhan Pemerintah Keamanan dan Perpaduan, satu gabungan luas yang mencerminkan wajah sebenar Sudan,” katanya.
Pemerintah baharu ini dibentuk berdasarkan piagam yang telah ditandatangani di Nairobi pada Februari lalu. RSF turut meluluskan sebuah perlembagaan peralihan yang mencadangkan penubuhan majlis presiden 15 anggota, yang dikatakan mewakili semua wilayah Sudan.
Pengumuman ini dibuat pada hari yang sama satu persidangan penderma antarabangsa berlangsung di London untuk menandakan ulang tahun kedua konflik. Menteri Luar United Kingdom, Encik David Lammy, menyeru dunia supaya tidak berpaling daripada nasib rakyat Sudan.
“Ramai yang telah berputus asa terhadap Sudan — itu salah. Ia salah dari segi moral apabila kita melihat kanak-kanak menjadi mangsa rogol, orang awam dipenggal kepala, dan lebih ramai yang kini berhadapan dengan kebuluran berbanding tempat lain di dunia,” katanya.
Namun di sebalik seruan antarabangsa untuk damai, pertempuran terus berlaku. Tentera Sudan mendakwa mereka telah mengebom kedudukan RSF di pinggir bandar el-Fasher, yang menyebabkan ratusan ribu pelarian terpaksa meninggalkan kem pelarian Zamzam dan berjalan kaki sejauh 70 kilometer ke Tawila.
Pertubuhan perubatan Médecins Sans Frontières (MSF) melaporkan ada kanak-kanak mati akibat kehausan dalam perjalanan tersebut.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 300 orang awam terbunuh dalam serangan RSF ke atas kem-kem pelarian di Darfur Utara pada hujung minggu lalu. Lebih 700,000 orang kini hidup dalam keadaan kebuluran di sekitar el-Fasher, tetapi bantuan tidak dapat disampaikan kerana sekatan jalan dan ancaman keselamatan.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Tammy Bruce, mengecam keras tindakan RSF. “Kami amat bimbang dengan laporan bahawa RSF dengan sengaja menyasarkan orang awam dan petugas kemanusiaan,” katanya, sambil menyeru agar semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Penubuhan pemerintah saingan oleh RSF meningkatkan lagi risiko pemecahan Sudan secara tidak rasmi. Pakar Sudan dari Universiti Cambridge, Sharath Srinivasan, memberi amaran bahawa kedudukan RSF yang semakin mengukuh di wilayah Darfur boleh membawa kepada pemisahan sebenar.
“Sudan sedang bergerak ke arah perpecahan ‘de facto’ jika konflik ini berterusan tanpa penyelesaian politik,” katanya kepada AFP.
Kesatuan Afrika turut menyatakan bahawa mereka tidak akan membenarkan Sudan dipecahkan oleh dua kuasa bersenjata. Pengerusi bersama persidangan penderma menegaskan keperluan untuk gencatan senjata serta peralihan kepada pemerintahan awam yang inklusif.
Sejak perang meletus pada 15 April 2023, lebih 150,000 orang terbunuh dan hampir 13 juta terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka. Pertempuran bermula selepas ketegangan berpanjangan antara Angkatan Bersenjata Sudan dan RSF yang sebelum ini adalah sekutu dalam rampasan kuasa 2021 yang menggagalkan peralihan kuasa kepada pemerintahan awam.
Kini, kedua-dua pihak — tentera dan RSF — didakwa terlibat dalam jenayah perang, termasuk pembunuhan beramai-ramai dan keganasan seksual secara sistematik. Namun tiada tanda-tanda bahawa sebarang rundingan damai akan berlaku dalam masa terdekat.
Di London, para penderma antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (AS$592 juta) dan UK (AS$158 juta) berjanji menambah bantuan makanan dan perubatan kepada rakyat Sudan. Namun tanpa penyelesaian politik yang konkrit, bantuan itu hanyalah rawatan sementara kepada luka yang semakin parah.
“Kita tidak boleh pasrah kepada konflik yang berlarutan. Kita tidak boleh berada di sini, tahun depan, berbincang perkara yang sama,” tegas Encik Lammy. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg