Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB desak genjatan senjata kekal di Gaza, tidak cukup dua hari penuhi keperluan kemanusiaan

Nov 28, 2023 | 5:14 PM
BANTUAN KEMANUSIAAN PERLU DITAMBAH: Trak-trak yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza menerusi lintasan Rafah. Tetapi bantuan yang disalurkan jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk Palestin.
BANTUAN KEMANUSIAAN PERLU DITAMBAH: Trak-trak yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza menerusi lintasan Rafah. Tetapi bantuan yang disalurkan jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk Palestin. - Foto AFP

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, mendesak supaya gencatan senjata penuh kemanusiaan dilaksanakan antara Israel dengan Hamas dan bukannya gencatan senjata sementara, kerana “malapetaka kemanusiaan di Gaza semakin buruk dari hari ke hari”.

Perunding Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat telah mengusahakan lanjutan kepada gencatan senjata empat hari di Gaza yang tamat pada Isnin, kata sumber keselamatan Mesir di tengah-tengah tekanan global yang semakin meningkat untuk melanjutkan perjanjian yang telah menghentikan pertempuran selama tujuh minggu.

“Dialog yang membawa kepada perjanjian itu mesti diteruskan, menghasilkan gencatan senjata penuh kemanusiaan, untuk faedah penduduk Gaza, Israel dan wilayah yang lebih luas,” kata jurucakap Encik Guterres, Encik Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan.

“PBB akan terus menyokong usaha ini dalam setiap cara yang mungkin.

“Encik Guterres sekali lagi menggesa tebusan yang masih ditahan oleh Hamas juga dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat,” kata Cik Dujarric.

“Saya sangat berharap ini akan membolehkan kita meningkatkan lebih banyak lagi bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza yang (sedang) menderita – kerana mengetahui bahawa walaupun dengan jumlah masa tambahan itu, adalah mustahil untuk memenuhi semua keperluan penduduk,” kata beliau kepada pemberita.

PBB telah meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak empat hari lalu semasa gencatan senjata dan menghantar bantuan ke beberapa kawasan utara wilayah pantai yang sebahagian besarnya telah terputus bekalan selama beberapa minggu, kata Encik Dujarric.

“Tetapi bantuan ini hampir tidak sesuai dengan keperluan besar 1.7 juta orang yang kehilangan tempat tinggal. Malapetaka kemanusiaan di Gaza semakin buruk dari hari ke hari,” katanya.

PBB juga berharap dapat menggunakan lintasan sempadan Kerem Shalom, yang dikawal oleh Israel, selain Rafah yang ada sekarang.

“Saya sangat berharap akan disediakan lintasan lain untuk memudahkan pengedaran bantuan kemanusiaan dan ia juga akan memudahkan kawalan oleh pihak Israel. Jadi saya sangat berharap ini akan berlaku,” kata Encik Guterres.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menerusi hantaran di platform media sosial X, berkata Gaza kini aman daripada kebingitan bunyi perang.

“Ini memberi peluang kepada berjuta-juta kanak-kanak dan penduduk dewasa mendongak ke langit tanpa rasa takut roket akan menghentam mereka. Saya sokong pemberhentian perang yang amat diperlukan dalam konflik di Gaza ini diteruskan,’‘ katanya.

Tambah Encik Tedros, persetujuan yang dicapai itu menyediakan ruang untuk menilai keperluan besar di hospital dan kaedah mempertingkatkan segera stok bekalan perubatan dan banyak keperluan lain.

Selain itu katanya, bekalan makanan dan air mungkin menyelesaikan sedikit cabaran kebersihan yang semakin teruk di Gaza.

Dalam masa yang sama,  Iran menggesa gencatan senjata kekal di Gaza untuk menghentikan ‘jenayah’ Israel di wilayah itu ketika gencatan senjata antara Israel dengan Hamas memasuki hari terakhirnya.

“Sebagai Republik Islam Iran, kami mahu dan menjangkakan bahawa jenayah rejim Zionis terhadap rakyat Palestin akan dihentikan sepenuhnya,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Nasser Kanani.

Dengan gencatan senjata empat hari menghampiri penamat yang dijadualkan Rabu, Hamas berkata ia bersedia melanjutkannya dan membebaskan lebih banyak tebusan.

Gencatan senjata yang bermula Jumaat menyaksikan berpuluh-puluh tebusan dibebaskan, dengan lebih 100 tahanan Palestin dibebaskan oleh Israel sebagai balasan. – Agensi berita.

Saya sangat berharap ini akan membolehkan kita meningkatkan lebih banyak lagi bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza yang (sedang) menderita – kerana mengetahui bahawa walaupun dengan jumlah masa tambahan itu, adalah mustahil untuk memenuhi semua keperluan penduduk.
Jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Stephane Dujarric.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg