Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PBB gesa gencatan senjata kemanusiaan antara Israel-Hamas, resolusi disokong S’pura

Resolusi dapat sokongan 121 undi, 44 berkecuali manakala 14 termasuk Amerika dan Israel bantah usulan
Oct 28, 2023 | 08:30 PM



NEW YORK: Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) menggesa ‘perdamaian kemanusiaan’ segera antara Israel dan Palestin, selain menuntut perlindungan bagi orang awam dan akses bantuan ke Semenanjung Gaza.


Gesaan itu dibuat menerusi resolusi dirangka negara Arab yang meraih 121 undian menyokong gencatan senjata kemanusiaan segera, pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Jumaat.

Singapura antara negara yang berpihak pada gencatan senjata berkenaan dengan harapan bantuan kemanusiaan dapat terus dihulurkan PBB dengan selamat dan lancar di samping huraian dicapai selepas konflik Israel-Palestin ini berlarutan buat tempoh yang panjang.

Awalnya, resolusi itu mendapat sokongan 120 undi, 45 berkecuali, manakala 14 lagi, termasuk Israel dan Amerika Syarikat (AS), membantah.

Iraq, yang asalnya berkecuali, menukar undinya kepada menyokong selepas mengadu masalah teknikal, sekali gus menjadikan pengiraan terakhir ialah 121 undi menyokong, 44 berkecuali dan 14 membantah.

Biarpun resolusi itu tidak mengikat mana-mana pihak, ia memiliki pengaruh politik, terutama ketika tumpuan dunia terarah kepada tindakan Israel meningkatkan operasi darat di Gaza, yang disifatkan sebagai terburuk ke atas orang awam dalam sejarah 75 tahun pendudukan rejim Zionis.

Resolusi berkenaan perlu sokongan majoriti dua pertiga untuk diluluskan dan undian berkecuali tidak dikira.

UNGA mengundi selepas empat kali Majlis Keselamatan PBB (UNSC) gagal mengambil tindakan dalam dua persidangan sejak dua minggu lalu. Persidangan yang sama turut menegaskan “kepentingan mencegah ketidakstabilan serta lonjakan keganasan di rantau itu”.

Sidang terbabit turut menyeru “semua pihak melaksanakan sekatan maksimum dan mengajak golongan berpengaruh untuk turut serta ke arah matlamat berkenaan” susulan kebimbangan konflik terbabit mampu mencetuskan perang lebih luas.

Persidangan UNGA juga menyeru ‘pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap penahanan orang awam’.

Ia antara lain menggesa Israel membatalkan perintah supaya orang awam di Gaza berpindah ke selatan wilayah itu, selain secara “tegas menolak sebarang percubaan memindahkan penduduk awam Palestin secara paksa”.

Israel sebelum ini mengarahkan kira-kira 1.1 juta atau hampir separuh daripada penduduk di Gaza berpindah ke selatan, pada 12 Oktober lalu.

Mengulas resolusi gencatan senjata itu, Duta Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, berkata peperangan dan pembunuhan beramai-ramai mesti dihentikan, selain bantuan kemanusiaan perlu masuk ke Semenanjung Gaza.

Duta Israel ke PBB, Encik Gilad Erdan, pula berkata, PBB tidak lagi memegang sebarang keabsahan undang-undang atau relevan, selain menuduh pihak yang menyokong resolusi itu lebih menyokong “pertahanan pengganas Nazi”, bukannya Israel.

“Resolusi tidak masuk akal ini berani gesa gencatan senjata dilakukan. Matlamat resolusi ini ialah Israel perlu berhenti pertahankan diri daripada Hamas dan Hamas boleh ‘membakar’ kami,” katanya pada sidang UNGA selepas proses pengundian.

Selain itu, usaha meminda resolusi, termasuk menolak dan mengutuk “serangan serta tebusan Hamas”, yang diketuai Canada gagal meraih sokongan majoriti dua pertiga, selepas hanya 88 negara undi menyokong, 55 negara membantah dan 23 lagi berkecuali.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, memberi amaran Gaza berdepan “penderitaan manusia yang belum pernah berlaku sebelum ini” akibat kekurangan makanan, air dan elektrik ekoran insiden pengeboman terkini Israel.

“Saya mengulangi gesaan supaya gencatan senjata kemanusiaan, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran bekalan. Penderitaan semakin teruk dari semasa ke semasa.

“Penduduk Gaza bakal berdepan penderitaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sekiranya tanpa perubahan asas,” katanya dalam satu kenyataan. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >