KYIV: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat akibat serangan Russia di Ukraine apabila pertempuran itu melepasi 500 hari dan sehingga kini tiada tanda konflik itu akan berakhir.
Dianggarkan lebih 9,000 orang awam, termasuk 500 kanak-kanak telah dilaporkan terbunuh sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari tahun lalu, kata timbalan ketua Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia PBB di Ukraine (HRMMU), Cik Noel Calhoun, dalam satu kenyataan.
“Hari ini menandakan satu lagi peristiwa suram dalam perang yang terus memberi kesan buruk kepada orang awam di Ukraine,” katanya dalam kenyataan yang menandakan hari ke-500 kelmarin (6 Julai) sejak pencerobohan itu.
Bagaimanapun, wakil PBB sebelum ini mendakwa jumlah sebenar kematian berkemungkinan jauh lebih tinggi.
Walaupun pada tahun ini jumlah angka korban secara purata lebih rendah berbanding 2022, angka itu meningkat semula pada Mei dan Jun, kata pemantau.
Pada 27 Jun, seramai 13 orang awam termasuk empat kanak-kanak, terbunuh dalam serangan peluru berpandu di Kramatorsk di timur Ukraine.
Selain itu, di bandar barat Lviv, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dengan 37 lagi cedera semasa pengeboman awal Khamis yang disifatkan oleh datuk bandar sebagai serangan terbesar ke atas infrastruktur awam sejak pencerobohan bermula.
PBB berkata serangan itu juga pertama kali berlaku di kawasan yang dilindungi Konvensyen Warisan Dunia serta merosakkan bangunan bersejarah.
Russia kerap mengebom Ukraine menerusi serangan udara, termasuk tembakan peluru berpandu dan meriam sehingga membawa maut.
Serangan itu juga menyasarkan infrastruktur dan bekalan bagi menjejaskan punca kuasa dan sumber air orang awam.
Bandar Bucha dan Mariupol adalah antara mangsa kekejaman yang dilakukan Russia tahun lalu, selepas laporan dan imej pembunuhan beramai-ramai di sana mengejutkan dunia sehingga mendorong dakwaan jenayah perang selain pembunuhan beramai-ramai.
Pada April wartawan AFP melihat sendiri bandar di Bucha yang jalannya dipenuhi dengan mayat orang awam yang masih berpakaian.
Imej satelit kemudian menunjukkan beberapa mayat ditinggalkan di jalanan sejak pertengahan Mac, ketika bandar itu berada di bawah kawalan Russia manakala pihak berkuasa Ukraine berkata bahawa ratusan orang dibunuh di Bucha oleh tentera Moscow sebelum mereka berundur. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg