Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB kecam Perancis kenakan kod pakaian wanita di sukan Olimpik

Sep 27, 2023 | 12:17 PM
LAKUKAN PROTES: Cik Majid Siham memegang bola semasa perhimpunan bagi menyokong pasukan bola sepak wanita ‘Les Hijabeuses’ di hadapan bangunan bandar raya Lille sebagai membantah rang undang-undang mengharamkan pemakaian hijab dalam acara sukan.
LAKUKAN PROTES: Cik Majid Siham memegang bola semasa perhimpunan bagi menyokong pasukan bola sepak wanita ‘Les Hijabeuses’ di hadapan bangunan bandar raya Lille sebagai membantah rang undang-undang mengharamkan pemakaian hijab dalam acara sukan. - Foto REUTERS

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menegaskan ia menentang kod pakaian wanita, selepas Perancis melarang atlet Olimpiknya daripada memakai hijab semasa temasya sukan itu di Paris 2024.

“Tiada siapa yang patut mengarahkan seorang wanita apa yang perlu dipakai atau tidak dipakai,” kata jurucakap pejabat hak asasi PBB, Cik Marta Hurtado, kepada pemberita.

Komen Cik Hurtado dibuat selepas Menteri Sukan Perancis berkata bahawa atlet negaranya akan dihalang daripada memakai tudung semasa temasya itu, selaras dengan peraturan ketat negara yang mengamalkan sekularisme itu.

Menteri Sukan Perancis, Cik Amelie Oudea-Castera mengulangi pada Ahad bahawa pemerintahnya menentang sebarang paparan simbol agama semasa acara sukan.

“Apa maksudnya? Ini bermakna larangan terhadap sebarang jenis dakwah. Ini bermakna pengecualian mutlak dalam perkhidmatan awam,” katanya kepada televisyen France 3.

“Pasukan Perancis tidak akan memakai tudung?” tanya Cik Hurtado tanpa menyentuh secara langsung mengenai pendirian Perancis itu.

Tetapi, beliau menegaskan bahawa Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita menolak amalan diskriminasi.

“Mana-mana negara yang terlibat dalam konvensyen itu – dalam kes ini Perancis – mempunyai kewajipan untuk mengubah suai corak sosial atau budaya yang berdasarkan idea tentang kerendahan atau keunggulan mana-mana jantina,” kata Cik Hurtado.

“Amalan diskriminasi terhadap kumpulan boleh membawa akibat yang buruk,” ujar beliau.

“Itulah sebabnya... sekatan ke atas ungkapan agama atau kepercayaan, seperti pilihan pakaian, hanya boleh diterima dalam keadaan yang benar-benar khusus,” jelasnya.

Itu, tambahnya, bermaksud keadaan bagi “menangani kebimbangan terhadap keselamatan awam, ketenteraman awam, atau kesihatan awam atau moral dengan cara yang perlu dan berkadar”.

Di Perancis, isu pakaian keagamaan menjadi inti pati peraturan ketat di negara yang mengamalkan sekularisme itu.

Ini bertujuan untuk memastikan negara tersebut berkecuali dalam hal agama, sambil menjamin hak rakyat untuk bebas mengamalkan agama masing-masing.

Undang-undang Perancis melarang pemakaian simbol agama dalam beberapa konteks, seperti di sekolah pemerintah dan oleh penjawat awam.

Ia mengharamkan pemakaian penutup muka penuh atau purdah pada 2010.

Pada Jun, Majlis Negara Perancis mengekalkan larangan ke atas pemain bola sepak wanita memakai hijab. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg