Topik diikuti
Pergi ke BHkuPBB kecam serangan Houthi yang cetus ketegangan
Serangan ke atas Arab Saudi bolehkan negara itu pertahan diri selaras undang-undang antarabangsa
PBB kecam serangan Houthi yang cetus ketegangan
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan bersama pada 15 Oktober yang mengecam serangan yang ‘meningkatkan ketegangan’ oleh pemberontak Houthi yang disokong Iran ke atas Arab Saudi, termasuk ‘serangan melulu’ ke atas lapangan terbang Riyadh.
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi, telah diserang sebanyak 20 kali sejak awal Oktober.
Serangan hujung minggu lalu meragut nyawa 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Dalam kenyataan bersama yang dikongsi presiden Majlis Keselamatan, Encik Evangelos Sekeris dari Greece, badan PBB yang dianggotai 15 negara itu mengecam sekeras-kerasnya serangan Houthi yang berterusan dan meningkatkan ketegangan ke atas kerajaan Arab Saudi.
Majlis itu juga mengecam serangan dan ugutan berterusan Houthi terhadap perkapalan komersial di Laut Merah dan (Selat) Bab el-Mandeb.
Kenyataan itu turut menegaskan hak semula jadi kerajaan Arab Saudi untuk mempertahankan diri selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Sejak serangan ke atas lapangan terbang itu, gabungan Saudi melaporkan pada 15 Oktober bahawa ia memintas sebuah peluru berpandu di kawasan Madinah, salah satu kota paling suci dalam Islam.
Houthi, yang berulang kali berkata mereka tidak akan menyerang kota suci Islam, menafikan tanggungjawab mereka atas serangan itu.
Houthi melancarkan serangan peluru berpandu maut pada 15 Oktober ke atas istana presiden di Aden, ibu kota sementara kerajaan Yaman.
Serangan itu menghentam pusat perintah di dalam kompleks yang digunakan pasukan kerajaan dan gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong mereka.
Menteri Kesihatan Yaman, Encik Qasim Buhaibeh, berkata serangan itu mengakibatkan lima orang maut dan 16 cedera, dalam kalangan mereka yang bertugas mengawal tapak itu dan pekerja awam.
Perang saudara Yaman, dengan Arab Saudi memimpin gabungan tentera yang menyokong kerajaan sejak 2015, marak semula pada September selepas gencatan senjata yang bertahan bertahun-tahun runtuh. – AFP.