Topik diikuti
Pergi ke BHkuJemaah terperangkap dalam serangan Houthi ke atas Arab Saudi
Jemaah terperangkap dalam serangan Houthi ke atas Arab Saudi
RIYADH: Jemaah di Arab Saudi yang datang menziarahi tempat paling suci dalam Islam mungkin tidak terfikir mereka akan terperangkap dalam perang udara.
Namun, sebahagian mereka mengalami sendiri serangan Houthi dari Yaman, manakala yang lain terpaksa mengubah rancangan.
Rakaman letupan besar yang membunuh 13 orang dan mencederakan 300 di terminal berlepas lapangan terbang Riyadh, yang dihentam peluru berpandu Houthi pada 10 Oktober, menunjukkan ramai penumpang berihram yang menuju ke Makkah, sedang beratur menunggu pemeriksaan dokumen.
Media Saudi melaporkan seorang imam warga Bangladesh turut terbunuh dalam serangan itu. Beliau mengetuai sekumpulan yang mempunyai puluhan jemaah, dan beberapa daripada mereka cedera.
Walaupun Houthi berjanji tidak akan menyerang Makkah atau Madinah, dua tempat paling suci dalam Islam yang menarik jutaan jemaah setiap tahun, mereka menyasarkan lapangan terbang Arab Saudi yang lain sebagai tindak balas terhadap serangan Saudi ke atas mereka.
“Saya sangat bimbang untuk keluarga dan diri saya,” kata Encik Fadi Anwar, warga Jordan yang tinggal di Makkah, ketika duduk di halaman masjid utama Makkah dengan memakai ihram.
“Kami sentiasa menerima amaran (amaran ke telefon daripada pihak berkuasa) dan ia menyebabkan kami sangat cemas.”
Pegawai Saudi berkata kerajaan itu selamat dan keselamatan pengunjung dihargai melebihi segala-galanya.
Jaminan itu diberikan walaupun pemerintah Barat telah memberi amaran supaya tidak menggunakan kebanyakan lapangan terbang Arab Saudi.
Walaupun kebanyakan jemaah antarabangsa terbang terus ke lapangan terbang Madinah atau Jeddah, ramai yang lain bergerak melalui hab udara utama Arab Saudi yang lain, termasuk ramai jemaah yang sudah tinggal di sana.
Encik Al Amin Hassan Mohammed dari Sudan, yang melawat ahli keluarga yang berpangkalan di Arab Saudi sebelum menunaikan umrah di Makkah, berkata beliau berada di Riyadh semasa serangan 10 Oktober.
“Kami letih dan bimbang. Kami keluar dari rumah dan berbual sesama sendiri,” katanya.
Encik Mohammed mempunyai seorang anak perempuan yang sudah berkahwin di Dammam, bandar di Wilayah Timur Arab Saudi yang berhampiran Dhahran, tempat Houthi menyasarkan bangunan Saudi Aramco pada 13 Oktober. Beliau pernah menunaikan umrah di Makkah sebelum ini.
Seperti Encik Anwar dan jemaah lain yang kini berada di kota suci itu, Encik Mohammed menunaikan umrah, iaitu ibadah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun, berbeza daripada haji tahunan.
Halaman luas Masijidil Haram dipenuhi jemaah berpakaian putih yang mengelilingi Kaabah pada 13 Oktober.
Makkah menarik jutaan orang setiap tahun, sama ada semasa haji atau umrah, dari dalam dan luar Arab Saudi, dan serangan itu menjadikan sebahagian mereka gelisah.
“Semoga Allah menjauhkan perkara ini daripada kami dan semua Muslim, sama ada di Arab Saudi atau di tempat lain,” kata Encik Anwar. – Reuters.