Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB salur semula bantuan dari dermaga AS di Gaza

May 24, 2024 | 2:40 PM
Gaza
Sebuah trak membawa bantuan kemanusiaan merentasi Trident Pier, dermaga sementara yang dibina Amerika Syarikat, untuk menyalur bantuan ke Gaza. - Foto REUTERS

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyambung semula pengangkutan bantuan kemanusiaan yang tiba di dermaga yang dibina Amerika Syarikat di luar Jaluran Gaza selepas penghantaran dihentikan selama dua hari ekoran beberapa lori bantuan telah dipintas oleh rakyat Palestin.

Penghantaran bantuan mula tiba pada 17 Mei ketika Israel berada di bawah tekanan sejagat supaya membenarkan lebih banyak bekalan masuk ke wilayah pantai yang terkepung dan dilanda krisis kebuluran itu.

PBB sedang menyelaraskan pengagihan bantuan tetapi tetap bertegas bahawa penghantaran bantuan melalui darat adalah cara “paling berdaya maju, berkesan dan cekap” bagi menangani krisis kemanusiaan di wilayah padat dengan 2.3 juta penduduk.

PBB telah menyatakan sekurang-kurangnya 500 trak sehari diperlukan untuk memasuki Gaza.

Sebanyak 10 trak bantuan – dipandu dari dermaga oleh kontraktor PBB – tiba di gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Deir El Balah pada 17 Mei.

Tetapi keesokannya, hanya lima muatan berjaya sampai ke gudang selepas 11 yang lain dipintas oleh rakyat Palestin.

Jurucakap WFP, Cik Shaza Moghraby, berkata penghantaran disambung semula pada 21 Mei dengan 17 trak tiba di gudang, manakala pada 22 Mei pula sebanyak 27 trak.

“Semua komoditi telah dikira dan selamat tiba tanpa sebarang kejadian dilaporkan,” kata Cik Moghraby sambil menambah bahawa sebahagian bantuan akan diagihkan oleh WFP, manakala selebihnya adalah untuk kumpulan bantuan lain yang beroperasi di Gaza.

Pembinaan dermaga itu – diumumkan oleh Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pada Mac – dianggarkan menelan kos AS$320 ($433 juta).

Seorang pegawai Amerika berkata pada 23 Mei bahawa setakat ini kira-kira 800 tan metrik bantuan telah dihantar ke Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg