GENEVA: Israel telah disoal siasat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 11 November dan 12 November atas pelbagai laporan yang mendakwa penyeksaan terhadap tahanan Palestin, khususnya sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Israel sedang menjalani semakan berkala di hadapan Jawatankuasa PBB Menentang Penyeksaan.
“Jawatankuasa itu amat terkejut dengan penerangan yang kami terima, dalam sebilangan besar laporan alternatif, tentang apa yang kelihatan sebagai penyeksaan dan layanan buruk yang sistematik dan meluas terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak,” kata pelapor badan itu, Encik Peter Vedel Kessing.
“Terdapat dakwaan bahawa penyeksaan telah menjadi alat dasar negara yang disengajakan dan meluas... daripada penangkapan kepada soal siasat kepada pemenjaraan,” tambahnya.
Jawatankuasa tersebut terdiri daripada 10 pakar bebas yang memantau pelaksanaan Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Merendahkan Maruah oleh negara anggota.
Memetik laporan di hadapan jawatankuasa itu, Encik Kessing berkata bahawa sejak serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang mencetuskan perang di Gaza, penyeksaan dan layanan buruk telah meningkat, mencapai “tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya” dan dijalankan tanpa hukuman.
Laporan tersebut, katanya, dibuat oleh pelbagai agensi PBB, pertubuhan bukan pemerintah Israel, Palestin dan antarabangsa, serta sumber lain.
“Pemukulan yang teruk, termasuk pada alat kelamin; kejutan elektrik; dipaksa kekal dalam posisi tekanan dalam tempoh yang lama; layanan tidak berperikemanusiaan yang disengajakan dan kebuluran; dan penghinaan seksual yang meluas dan ancaman rogol,” kata Encik Kessing.
Pada Julai 2024, pejabat hak asasi manusia PBB menerbitkan laporan yang menyatakan bahawa rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel semasa perang Gaza telah ditahan secara rahsia dan dalam beberapa kes diberikan rawatan yang mungkin dianggap sebagai penyeksaan.
Tuduhan serupa telah dilemparkan terhadap Hamas mengenai layanan mereka terhadap tebusan yang ditahan di Jaluran Gaza.
Duta Israel ke PBB di Geneva, Encik Daniel Meron, menolak dakwaan tersebut, melabelkannya sebagai “maklumat salah”, terutamanya, katanya, daripada pihak Suruhanjaya Siasatan yang diamanahkan oleh PBB, dan Cik Francesca Albanese, pelapor khas bebas PBB mengenai hak di wilayah Palestin.
Encik Meron berkata Israel “komited untuk menegakkan kewajipannya selaras dengan nilai dan prinsip moral kami, walaupun menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh organisasi pengganas”.
Jawatankuasa itu dijadualkan menerbitkan penemuannya mengenai Israel pada 28 November. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg