Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peguam tentera simpanan Israel desak bicara kes dera banduan Palestin dibatalkan

Nov 3, 2025 | 10:36 AM
FOTO FAIL: Penunjuk perasaan sayap kanan mengibarkan bendera Israel di luar pusat tahanan Sde Teiman selepas Polis Tentera Israel tiba di lokasi tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan penderaan terhadap seorang tahanan Palestin, berhampiran Beersheba di selatan Israel, 29 Julai 2024.
FOTO FAIL: Penunjuk perasaan sayap kanan mengibarkan bendera Israel di luar pusat tahanan Sde Teiman selepas Polis Tentera Israel tiba di lokasi tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan penderaan terhadap seorang tahanan Palestin, berhampiran Beersheba di selatan Israel, 29 Julai 2024. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Sekumpulan peguam yang mewakili lima anggota tentera simpanan Israel yang dituduh melakukan penderaan berat terhadap seorang tahanan Palestin menuntut agar perbicaraan mereka dibatalkan, dengan alasan proses undang-undang telah dicemari dan tidak lagi adil.

Tuntutan itu dibuat dalam satu sidang media pada 2 November, beberapa hari selepas Ketua Perundangan Tentera Israel, Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi, mengakui bahawa beliau telah mengarahkan kebocoran rakaman kamera pengawasan mengenai insiden penderaan tersebut kepada media tempatan - langkah yang mencetuskan kontroversi besar dan menggugat kepercayaan terhadap sistem kehakiman tentera.

Mejar Jeneral Tomer-Yerushalmi, yang berkhidmat sebagai Peguam Negara Tentera, meletakkan jawatan pada 31 Oktober lalu selepas mengakui kebocoran rakaman itu.

Pada 2 November, beliau dilaporkan hilang selama beberapa jam sebelum ditemui selamat berhampiran pantai di utara Tel Aviv. Polis mengesahkan terdapat kebimbangan terhadap keselamatannya apabila kenderaannya ditemui tanpa pengawasan.

Lima anggota tentera simpanan itu didakwa pada Februari lalu atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki Palestin dari Gaza yang ditahan di penjara di Pangkalan Tentera Sde Teiman pada Julai 2024. Antara kecederaan yang dilaporkan termasuk tulang rusuk patah, paru-paru kiri tertusuk, dan koyakan pada bahagian dubur mangsa akibat ditikam dengan objek tajam.

Nama mangsa dan tertuduh tidak didedahkan kepada umum, namun kes ini telah mencetuskan perpecahan mendalam dalam masyarakat Israel berhubung isu akauntabiliti terhadap layanan tentera terhadap tahanan Palestin, terutamanya ketika perang di Gaza sedang berlangsung.

Rakaman yang bocor kepada media menunjukkan sebahagian serangan selama kira-kira 15 minit itu, walaupun wajah tentera dan mangsa sebahagian besar tersembunyi. Beberapa bahagian menunjukkan tahanan disekat ke dinding sebelum rebah ke lantai.

Empat lelaki bertopeng muncul di belakang para peguam semasa sidang media di luar Mahkamah Agung di Baitulmakdis. Mereka dikenal pasti sebagai empat daripada lima tertuduh.

“Hari ini kami tahu bahawa kami menjadi saksi kepada proses undang-undang yang cacat, berat sebelah dan direka untuk menindas,” kata peguam kanan, Encik Adi Keidar dari organisasi perundangan sayap kanan Honenu, yang mewakili beberapa tertuduh. “Kami menuntut keadilan dan pembatalan segera perbicaraan ini.”

Keidar turut menegaskan bahawa semua anggota tentera menafikan tuduhan terhadap mereka.

Tomer-Yerushalmi dalam surat peletakan jawatannya yang disiarkan media Israel berkata, beliau mengarahkan pembebasan rakaman tersebut untuk “menangkis propaganda palsu terhadap pihak pendakwa tentera” dan melindungi kakitangannya daripada kempen delegitimasi oleh pihak yang menentang pendakwaan terhadap anggota tentera.

Namun, langkah itu mengundang kecaman termasuk daripada Menteri Pertahanan Israel Katz, yang menuduh beliau “memfitnah tentera dengan tuduhan darah palsu” dan berikrar akan melucutkan pangkatnya.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pula menggesa agar “siasatan bebas dan berkecuali” dijalankan terhadap kebocoran tersebut. “Insiden di Sde Teiman telah mencalar imej negara Israel dan mencemarkan reputasi tenteranya,” katanya dalam kenyataan pertama selepas peletakan jawatan Tomer-Yerushalmi.

Kes ini mencetuskan perdebatan luas di Israel, terutama ketika pemerintah pimpinan Netanyahu terus berusaha melemahkan kuasa kehakiman -langkah yang dilihat oleh pengkritik liberal sebagai ancaman terhadap demokrasi.

Penyokong tentera yang dituduh berpendapat bahawa perbicaraan ini tidak seharusnya dijalankan kerana ia “menghina pengorbanan askar” dalam perang menentang Hamas. Mereka juga mendakwa tahanan yang dipukul merupakan anggota unit elit Hamas, walaupun dakwaan itu tidak pernah disahkan pihak berkuasa.

Tuduhan terhadap tentera di Sde Teiman mencetuskan kekecohan apabila polis tentera menyerbu pangkalan tersebut untuk menahan mereka. Insiden itu mencetuskan rusuhan apabila puluhan penyokong dan beberapa ahli parlimen sayap kanan daripada gabungan kerajaan Netanyahu berhimpun di luar pangkalan sebagai tanda solidariti dengan tentera yang ditahan.

Menurut laporan, ramai penduduk Palestin yang pernah ditahan di Sde Teiman mendakwa mereka turut mengalami penderaan fizikal dan psikologi oleh anggota tentera.

Siasatan oleh The New York Times pada 2024 mendedahkan ribuan tahanan dari Gaza ditempatkan di Sde Teiman dalam keadaan tidak berperikemanusiaan tanpa akses kepada peguam dan tanpa jaminan undang-undang. Tapak itu kini menjadi simbol tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh tentera Israel terhadap tahanan Palestin.

Kes Sde Teiman kini bukan sahaja menjadi ujian terhadap keadilan sistem tentera Israel, tetapi juga mencerminkan dilema moral negara itu dalam perang yang semakin dipersoalkan dunia. “Apa yang berlaku bukan hanya tentang lima askar, tetapi tentang maruah dan nilai undang-undang yang sepatutnya ditegakkan,” kata seorang peguam kanan tentera yang enggan dinamakan.

Dengan tekanan politik, kebocoran maklumat, dan kemarahan awam yang memuncak, kes ini dijangka terus menggoncang keyakinan rakyat Israel terhadap keutuhan institusi kehakiman dan ketelusan militari negara itu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg