DAMSYIK: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran pada 22 Jun bahawa usaha memulihkan perpecahan dan menstabilkan selatan Syria tergendala hampir setahun tanpa sebarang kemajuan.

Ini selepas keganasan sektarian yang mengorbankan nyawa di sebuah wilayah yang kebanyakannya didiami kaum Druze menggegarkan negara itu.

Kaum Druze merupakan sebuah kumpulan etnik dan agama yang bertutur dalam bahasa Arab dan kebanyakan mereka menetap di Timur Tengah – terutamanya di Lebanon, Syria, Israel dan Jordan.

Siasatan PBB pada Mac lalu mendapati lebih 1,700 orang, yang sebahagian besarnya merupakan orang awam daripada puak Druze serta beberapa anggota masyarakat Badwi, terbunuh di wilayah selatan Sweida pada Julai 2025.

Laporan itu menyatakan pasukan pemerintah Syria, pejuang puak dan kumpulan bersenjata Druze mungkin telah melakukan jenayah perang.

Satu peta hala tuju pimpinan pemerintah yang disokong di peringkat antarabangsa telah dilancarkan pada September 2025.

Ia bertujuan memulihkan ketenteraman dan memperbaiki hubungan dalam kalangan puak Druze, masyarakat Badwi dan pihak pemerintah.

Timbalan Utusan Khas PBB untuk Syria, Encik Claudio Cordone, memberitahu Majlis Keselamatan pada 22 Jun:

“Tiada sebarang kemajuan dicatatkan dalam pelaksanaan peta hala tuju September 2025 bagi pembinaan kepercayaan dan penyepaduan semula di Sweida.”

Encik Cordone berkata isu-isu asas masih belum diselesaikan, sementara gesaan sebilangan masyarakat Druze agar wilayah itu berpisah telah mengancam perpaduan dan keutuhan wilayah Syria.

Meskipun mereka membentuk sebahagian besar penduduk Sweida, masyarakat Druze merupakan golongan minoriti di Syria secara keseluruhan.

Kes penculikan, penculikan balas dan persaingan dalam kalangan puak Druze terus menggugat keselamatan di wilayah berkenaan, tambah beliau.

Encik Cordone berkata seramai 13,500 pelajar di Sweida tidak dapat menduduki peperiksaan nasional pada Jun, selepas rundingan yang disokong PBB gagal menyelesaikan perselisihan faham mengenai lokasi dan aspek keselamatan.

Menurut PBB, kebanyakan pelajar di wilayah itu terlepas menduduki peperiksaan untuk dua tahun berturut-turut.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan cabaran yang dihadapi pihak berkuasa peralihan Syria di Sweida, yang menjadi kawasan pergolakan politik dan keselamatan sejak mantan Presiden Bashar al-Assad digulingkan pada 2024.

Menurut pegawai Syria, termasuk Gabenor Sweida, Encik Mustafa al-Bakour, yang dilantik oleh pemerintah Damsyik, kumpulan bersenjata Druze telah menyekat mereka daripada mencapai sebarang kemajuan.

Beliau memberitahu saluran Syria TV milik Qatar pada April lalu, puak berkenaan telah menghalang usaha memulihkan institusi pemerintah, memperbaiki perkhidmatan dan membina semula kepercayaan.

Encik al-Bakour berkata pihak pemerintah terus membiayai gaji kakitangan awam, menyokong sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta memulihkan prasarana di Sweida meski berdepan cabaran keselamatan di sana.

Beliau menegaskan Damsyik kekal komited terhadap proses dialog dan menolak tuduhan puak Druze bahawa pemerintah pusat telah menyekat bekalan makanan serta barangan keperluan lain ke wilayah tersebut.

Pemimpin Druze, yang tidak sehaluan menolak dakwaan tersebut dengan berkata mereka hanya melindungi masyarakat mereka, susulan keganasan yang tercetus pada 2025. 

Mereka turut menuduh Damsyik menghakis kepercayaan puak berkenaan melalui tindakan yang diambil semasa pertempuran tersebut.

Encik Cordone turut membangkitkan kebimbangan mengenai peralihan politik negara itu sambil menyatakan parlimen peralihan Syria masih belum dibentuk, meskipun pilihan raya sudah lebih lapan bulan berakhir. 

Presiden Ahmed al-Sharaa masih perlu melantik satu pertiga daripada keseluruhan Ahli Parlimen tersebut.

“Kelewatan ini mencetuskan kebimbangan,” kata Encik Cordone kepada Majlis Keselamatan.

Kementerian Penerangan Syria tidak memberikan respons segera terhadap permintaan untuk mengulas mengenai perkara berkenaan. – Reuters.