Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setahun selepas kejatuhan Assad: Cabaran bina masa depan Syria baru

Di sebalik sorakan dan slogan, ‘Satu negara, satu rakyat’, Syria masih berdepan cabaran institusi, ketegangan sektarian dan tekanan ekonomi mendalam
Dec 15, 2025 | 5:30 AM
Orang ramai berdiri di atas bumbung bangunan yang sebahagiannya rosak ketika perarakan sempena ulang tahun pertama penyingkiran mantan Presiden Syria Bashar al-Assad, di Idlib, Syria, pada 8 Disember 2025.
Orang ramai berdiri di atas bumbung bangunan yang sebahagiannya rosak ketika perarakan sempena ulang tahun pertama penyingkiran mantan Presiden Syria Bashar al-Assad, di Idlib, Syria, pada 8 Disember 2025. - Foto EPA

DAMSYIK: Setahun selepas kejatuhan Bashar al-Assad, ribuan rakyat Syria berpusu-pusu ke pusat bandar Damsyik untuk meraikan ulang tahun bersejarah itu dengan bunga api, muzik dan perarakan tentera.

Namun di sebalik sorakan dan slogan, ‘Satu negara, satu rakyat’, negara yang baru keluar daripada perang saudara selama hampir 14 tahun masih berdepan cabaran institusi, ketegangan sektarian dan tekanan ekonomi yang mendalam.

Perkembangan di Syria memperlihatkan dua sisi yang berbeza – euforia kebebasan selepas tumbangnya dekad pemerintahan autoritarian selama puluhan tahun, dan realiti getir membina semula sebuah negara yang terlerai hancur akibat konflik berpanjangan

Pada pagi 8 Disember, laungan azan di Masjid Umawi disambut oleh puluhan ribu rakyat termasuk Presiden Ahmed al-Sharaa, tokoh yang memimpin gabungan pemberontak yang menumbangkan Assad.

Sepanduk besar bertulis, ‘Zaman gelap telah berakhir’ mengingatkan rakyat betapa panjangnya tempoh pemerintahan keluarga Assad yang bermula pada awal 1970-an.

Seorang peniaga, Encik Mohamed Hariri, 48 tahun, menyifatkan suasana itu dengan penuh emosi:

“Penindasan telah berakhir. Kami kini kekal optimis tentang masa depan,” katanya, menyamakan detik itu dengan pembebasan psikologi.

Optimisme itu berakar dan lahir daripada trauma yang dikongsi bersama.

Pemerintahan keluarga Assad, daripada Hafez hingga Bashar, bergantung pada rangkaian keselamatan yang kejam, penjara politik seperti Sednaya, serta kawalan mutlak terhadap kebebasan bersuara.

Perang saudara yang tercetus pada 2011 memusnahkan bandar besar, mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan menjadi pelarian.

Pada Disember 2024, episod tragis itu berakhir apabila pemberontak menawan Damsyik dan menggulingkan rejim.

Sejak itu, Encik Sharaa berusaha mengubah wajah Syria – berpidato di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertemu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan memujuk Amerika agar melonggarkan sekatan ekonomi yang lama membelenggu negara.

Dalam ucapannya pada malam sambutan, beliau menegaskan: “Pengakhiran pertempuran dengan rejim lama hanyalah permulaan pertempuran baharu, pertempuran menyelaraskan kata dengan tindakan, janji dengan pelaksanaan.”

Walaupun simbol kebebasan muncul di sana sini seperti ketiadaan poster Assad di bangunan pemerintah dan kebolehan rakyat memasuki pejabat pemerintah tanpa rasa takut, Syria baru tidak terlepas daripada masalah mendalam yang diwarisi era sebelumnya.

Ekonomi rapuh dan subsidi dipotong

Pemotongan subsidi roti dan bahan api menimbulkan tekanan besar terhadap masyarakat.

Golongan berpendapatan rendah berdepan harga melambung ketika peluang pekerjaan masih terhad akibat kerosakan prasarana dan pelaburan yang perlahan.

Encik Azab Toumeh, 30 tahun, menyifatkan kesempitan hidupnya dengan berkata:

“Saya tidak nampak pembangunan atau harapan. Saya bekerja setiap hari untuk enam dolar, dan menjaga 14 anak saudara yang yatim selepas abang saya terbunuh dalam perang.”

Kekecewaan seperti itu menunjukkan jurang antara idealisme pascarevolusi dengan keupayaan kerajaan baharu menangani kemiskinan struktural.

Keganasan sektarian ujian terbesar

Walaupun Assad tumbang, ketegangan tidak semestinya reda.

Pembunuhan lebih 1,600 orang Alawiyah pada Mac dan pertempuran antara anggota kumpulan Druze dengan tentera pemerintah di Sweida mencerminkan betapa dalamnya luka sektarian.

Aktivis hak asasi, Cik Najwa Altaweel, berkata: “Kami bermimpi membina negara bersama. Tetapi selepas pembunuhan di Sweida, mimpi itu lenyap.”

Bagi ahli minoriti Alawiyah yang bukan sebahagian daripada elit Assad, kekecewaan juga wujud.

Seorang pakar perubatan dari Latakia, Dr Fidaa Deeb, menyatakan: “Apa yang kami rasakan hari ini ialah kebimbangan. Tanda-tanda kesilapan rejim lama seolah-olah muncul kembali.”

Pandangan itu menimbulkan persoalan sama ada Syria baharu benar-benar mampu memecahkan corak penindasan sektarian yang berakar selama puluhan tahun.

Wilayah Kurdi: Isu kuasa pusat dan wilayah terus membara

Larangan pentadbiran Kurdi di timur laut terhadap sambutan ulang tahun menandakan jurang politik yang masih teguh.

Hubungan antara Encik al-Sharaa dengan pentadbiran ini kekal rapuh, mempengaruhi kestabilan keseluruhan negara.

Penduduk Kurdi di Damsyik turut menyuarakan kegelisahan.

“Rejim buruk Bashar sudah berakhir, tetapi kami tetap bimbang tentang apakah yang akan menyusul selepas ini,” kata Encik Zinan Othman, 47 tahun.

Hilangkan Trauma Negara: Dari Ruang Udara ke Ruang Sosial

Perang saudara Syria bukan hanya konflik geopolitik. Ia juga trauma bersama yang mengubah hubungan rakyat dengan negara, jiran dan masa depan mereka.

Proses penyembuhan memerlukan masa panjang dan pembinaan institusi yang telus.

Buat kali pertama dalam lebih sedekad, perjalanan antara daerah bukan lagi risiko maut.

Jutaan pelarian dalam dan luar negara kini mempunyai peluang kembali ke kampung halaman.

Tiada lagi hukuman kerana berbual politik

“Dinding yang mempunyai telinga” – ungkapan yang sinonim dengan pemerintahan Assad kini semakin hilang maknanya.

Perbualan politik kembali berlaku dalam ruang awam tanpa ketakutan.

Helikopter yang dulu bawa maut, kini sebar taburan bunga

Pemerintah baru cuba memulihkan simbol nasional yang trauma.

Helikopter tentera, yang selama bertahun-tahun menabur bom tong, kini menggugurkan bunga ketika sambutan kebangsaan.

Ia usaha simbolik yang cuba menukar memori peperangan kepada naratif harapan.

Seorang penduduk Aleppo menggambarkan perubahan itu dengan metafora paling menyentuh: Dahulu bunyi pesawat bermakna kematian; kini ia mungkin membawa pulang pelabur, pelarian atau pelancong.

Dinamik Politik al-Sharaa

Walaupun mendapat pujian kerana memulihkan hubungan antarabangsa, Encik al-Sharaa, dikritik kerana memusatkan kuasa pada kelompok penasihat tertentu.

Beberapa pecahan dalam tentera mendakwa proses pembinaan semula angkatan darat berat memihak kepada “golongan yang setia” berbanding pegawai berpengalaman.

Selain itu, keluarga mangsa hilang masih menuntut keadilan.

Cik Sharifa Hazber, yang kehilangan suaminya pada 2018, berkata: “Saya perlu tahu sama ada dia ditembak atau digantung. Itu hak saya.”

Permintaan seperti itu menggambarkan betapa besar tugas yang menanti pemerintah dalam melaksanakan proses keadilan transisi.

Transformasi Syria pasca-Assad boleh dilihat sebagai fasa pascaautoritarian yang masih mencari bentuknya.

Ada ruang untuk optimisme termasuk pemansuhan wajib tentera, peningkatan kebebasan awam dan pembukaan semula negara kepada pelaburan antarabangsa.

Namun risiko tetap besar, antaranya perpecahan etnik, kelemahan institusi dan struktur ekonomi yang masih rapuh.

Seorang penganalisis pakar politik Syria dari Universiti Saint Joseph Beirut, Dr Samer al-Khatib, pernah menyatakan bahawa revolusi bukanlah satu destinasi, tetapi proses yang memerlukan masa dan disiplin politik untuk membuahkan hasil.

Pemerhatian itu jelas menggambarkan kedudukan Syria hari ini sebuah negara yang masih berada di persimpangan antara pembinaan semula dengan ketidakpastian.

Di tengah-tengah pertarungan antara harapan dengan realiti, suara Encik Mohamed Hariri, masih bergema:

“Penindasan telah berakhir. Kini, masa depan bergantung kepada kita.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg