Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB terima pakai pakatan untuk masa depan

Sep 23, 2024 | 1:35 PM
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, bercakap semasa ‘Sidang Puncak Masa Depan di PBB di New York, pada 22 September.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, bercakap semasa ‘Sidang Puncak Masa Depan di PBB di New York, pada 22 September. - Foto AFP

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima pakai “Pakatan untuk Masa Depan”, yang disifatkan oleh Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, sebagai “perubahan langkah ke arah multilateralisme yang lebih berkesan, inklusif, berangkaian”.

Pakatan itu, yang juga termasuk lampiran mengenai usaha ke arah masa depan digital yang bertanggungjawab dan mampan, telah diterima pakai tanpa undian pada 22 September – permulaan Sidang Puncak Masa Depan selama dua hari itu.

Perjanjian itu dicapai selepas rundingan selama sembilan bulan.

“Kami di sini bertekad membawa kembali multilateralisme yang diketepikan,” kata Encik Guterres.

Sebagai pembuka tirai sidang peringkat tinggi tahunan Perhimpunan Agung PBB, berpuluh-puluh ketua negara berhimpun untuk menerima pakai pakatan itu.

Pemimpin berikrar memperkukuh sistem pelbagai hala untuk “mengikuti perubahan dunia” dan “melindungi keperluan dan kepentingan generasi semasa dan akan datang” yang menghadapi “krisis berterusan”.

“Kami percaya ada jalan menuju masa depan yang lebih cerah untuk semua manusia,” kata dokumen pakatan itu.

Ketua PBB itu telah lama mendesak pakatan tersebut, yang meliputi tema termasuk keamanan dan keselamatan, tadbir urus sejagat, pembangunan mampan, perubahan iklim, kerjasama digital, hak asasi manusia dan generasi akan datang.

Ia membentangkan kira-kira 56 tindakan luas untuk dicapai oleh negara anggota.

Penerimaan pakatan itu, bagaimanapun, menghadapi kelewatan singkat apabila Timbalan Menteri Ehwal Luar Russia, Encik Sergey Vershinin, memperkenalkan pindaan, menekankan “prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara”.

Bantahan Russia disokong oleh sekutu Belarus, Korea Utara, Iran, Nicaragua dan Syria, tetapi usul pindaannya telah ditolak.

“Pakatan ini memberi kami harapan dan inspirasi untuk masa depan yang lebih baik,” kata Presiden Sierra Leone, Encik Julius Maada Bio.

Negara membangun sangat lantang dalam menuntut komitmen konkrit mengenai pembaharuan institusi kewangan antarabangsa agar lebih mudah mendapatkan pembiayaan.

Pakatan dan lampirannya adalah tidak terikat. Ini telah menimbulkan kebimbangan mengenai pelaksanaan – terutamanya prinsip perlindungan orang awam dalam konflik yang dilanggar setiap hari. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg