Bagi negara kecil seperti Singapura, multilateralisme bukanlah satu pilihan tetapi satu talian hayat yang penting.
Ini kerana tanpanya, negara yang lebih besar dan kuat akan berfikir mereka lebih berkuasa tanpa mengendahkan undang-undang dunia, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata demikian dalam satu mesej video prarakaman bagi Panggilan Global Sidang Puncak Masa Hadapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 September.
Dalam video tersebut, Encik Wong berkata tanpa kestabilan dan ketertiban sistem pelbagai hala berasaskan peraturan, prinsip yang menjaga kedaulatan dan keselamatan Singapura akan terjejas.
“Kepercayaan terhadap multilateralisme semakin berkurangan pada saat ini apabila ia amat diperlukan.
“Persaingan geopolitik menghalang kerjasama antarabangsa. Terdapat juga tanda-tanda dasar perlindungan dan dasar sehala yang semakin meningkat.
“Kita perlu memastikan sistem pelbagai hala kekal sesuai untuk tujuan, bukan sahaja untuk menangani isu-isu hari ini, malah juga cabaran-cabaran baru dan baru muncul pada masa hadapan,” kata Encik Wong.
Video ucapan Encik Wong telah distrim di sesi panggilan sejagat menerusi laman web TV PBB, menjelang Sidang Puncak Masa Hadapan yang akan diadakan pada 22 dan 23 September.
Pada sidang puncak yang akan datang itu, negara-negara akan mencapai Pakatan untuk Masa Hadapan – satu rundingan antara negara bagi menangani isu seperti pembangunan mampan, keamanan dan keselamatan, sains dan teknologi, belia dan tadbir urus sejagat.
Dalam video itu, Encik Wong berkata sidang tersebut adalah daya usaha yang tepat pada masanya memandangkan dunia sedang melalui tempoh amat sukar seperti konflik berterusan, perubahan iklim dan kemunculan penyakit berjangkit.
Beliau menambah isu-isu itu adalah sesuatu yang tidak boleh ditangani oleh satu pihak atau negara sahaja, dan ia perlu ditangani dengan tindakan pelbagai hala yang bersepadu di wadah seperti PBB.
“Oleh itu, Sidang Puncak Masa Hadapan ini adalah peluang generasi kita, untuk menggiatkan semula sistem pelbagai hala, dengan PBB sebagai terasnya.
“Untuk sekali lagi kita menerapkan komitmen kita kepada prinsip-prinsip Piagam PBB dan untuk mempercepatkan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan,” kata Encik Wong.
Beliau menambah Singapura menyokong penuh Pakatan untuk Masa Hadapan sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mempromosikan prinsip dan cita-cita Piagam PBB.
Hanya dengan berpegang teguh kepada prinsip ini, katanya, barulah negara-negara boleh menjamin kesejahteraan, keselamatan dan integriti negara masing-masing.
“
“Persaingan geopolitik menghalang kerjasama antarabangsa. Terdapat juga tanda-tanda dasar perlindungan dan dasar sehala yang semakin meningkat. Kita perlu memastikan sistem pelbagai hala kekal sesuai untuk tujuan, bukan sahaja untuk menangani isu-isu hari ini, malah juga cabaran-cabaran baru dan baru muncul pada masa hadapan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg